SEBAHAGIAN pelajar selepas menerima skrol masing-masing.
Sarah Aina Shawal
sarah.aina@mediaprima.com.my

Jadual belajar yang tersusun menjadi kunci kejayaan penerima anugerah emas Majlis Graduasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hillcrest Kali Keempat, Vigesh Ravi yang cemerlang dalam peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baru-baru ini.

Vigesh berkata, sebagai pelajar, pembahagian masa yang seimbang untuk akademik dan kokurikulum amat penting selain fokus dengan apa yang disampaikan guru di dalam kelas.

“Tanpa perancangan yang sistematik, mungkin sukar untuk saya memperoleh keputusan cemerlang, terutama pada peperiksaan percubaan lalu.

“Saya berharap mampu mengulangi kecemerlangan ini pada peperiksaan SPM sebenar dengan memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil,” katanya ketika ditemui di Dewan Auditorium Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, baru-baru ini.

Pada majlis itu, anugerah kecemerlangan seperti anugerah emas, perak dan gangsa diberikan kepada pelajar yang mencatatkan kejayaan pada peperiksaan percubaan SPM, baru-baru ini. Turut hadir, Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.


AHMAD Zaini menyampaikan skrol kepada pelajar tingkatan lima ketika Majlis Graduasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hillcrest Kali Keempat.

Sementara itu, Penolong Kanan Pentadbiran dan kokurikulum SMK Hillcrest, Norzaini Yusof berkata, pihaknya mengadakan majlis graduasi itu sebagai simbolik berakhirnya tempoh persekolahan di sekolah berkenaan.

Beliau berkata, majlis itu diharap menjadi kena­ngan manis kepada pelajar dan mampu mendorong mereka untuk terus berusaha melakar kejayaan seterusnya dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Melihat kepada pencapaian pelajar tahun ini ada penurunan sedikit disebabkan kesukaran dalam soalan percubaan baru-baru ini, jika dibandingkan pada tahun lalu, namun itu bukan halangan bagi mereka melakukan yang lebih baik dalam peperiksaan sebenar.

“Sekolah turut membuat pelbagai inisiatif sebagai program pecutan akhir yang mampu membantu mereka mempertingkatkan prestasi dalam memperoleh kecemerlangan seperti gilapan mutiara yang memberi fokus kepada mata pelajaran tertentu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 11:48 AM