PERBARISAN ketika hari konvokesyen.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Penubuhan pasukan pertahanan yang terdiri daripada intelek prasiswazah di universiti awam (UA) dilihat sejajar dengan inspirasi kerajaan dalam usaha membentuk warganegara cemerlang dan mantap dari segi fizikal dan mental dalam menghadapi pelbagai anasir yang mendatang.

Konsep pertahanan sesuatu negara perlu dilihat pada barisan keduanya iaitu kekuatan anak watan yang bersedia menjadi askar sukarela.

Dalam aspek teori ketenteraan, pertahanan negara tidak boleh bergantung kepada askar semata-mata kerana barisan belakang (sukarela) juga penting.

Oleh yang demikian, Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) yang dulunya dikenali sebagai Reserve Officer Training Unit (ROTU) adalah program kerjasama di antara Kementerian Pertahanan dengan Kementerian Pendidikan untuk mahasiswa di UA membabitkan diri dalam barisan pertahanan negara.

Ketua Cawangan Latih PALAPES Universiti Malaya (UM) Mejar Dr Syed Abdul Razak Sayed Mahadi berkata, penubuhan PALAPES adalah untuk melahirkan pegawai simpanan bagi memenuhi keperluan Angkatan Tentera Malaysia selain menyokong usaha kerajaan dan UA dalam membentuk kualiti seorang warganegara yang sempurna, berdisiplin dan mempunyai ciri-ciri mempertahankan kepentingan negara.

“Seorang pegawai kadet akan dilatih dalam tempoh tiga tahun secara sambilan apabila latihan biasa meliputi subjek berkaitan ketenteraan akan diadakan setiap hujung minggu.

“Selain itu, latihan lanjutan dan latihan intensif juga akan diadakan setahun sekali secara sepenuh masa selama tiga minggu,” katanya.

Dr Syed Abdul Razak berkata, program PALAPES kini merangkumi setiap cabang perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu PALAPES Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara.


AKTIVITI bermalam di dalam hutan antara latihan kepada kadet.

Beliau berkata, setiap pasukan PALAPES mempunyai Markas Latihan cawangan masing-masing, masa kini, PALAPES ditubuhkan di 18 IPTA dan satu di IPTS.

Katanya, kokurikulum PALAPES sama ada darat, laut dan udara amat mencabar yang memerlukan kesabaran, komitmen, kewibawaan serta kemampuan penuntut kerana perlu memiliki ketahanan mental dan fizikal tinggi.

“Bagaimanapun, pilihan di tangan penuntut selepas mereka melalui beberapa latihan sama ada sudah mula ‘jatuh cinta’ dalam ketenteraan.

“Aktiviti yang dijalankan mampu mendidik mahasiswa menjadi seorang yang lebih berani, berjiwa kental kerana latihan dilakukan menguji keupayaan dari segi mental mahupun fizikal,” katanya.

Mengikuti program PALAPES di universiti bukan hanya satu aktiviti kokurikulum biasa, sebaliknya penuntut yang berjaya menamatkan latihan dan ditauliahkan sebagai Pegawai Tentera berpangkat leftenan muda berpeluang diserapkan dalam Rejimen Askar Wataniah.

Kadet PALAPES dididik untuk menyelesaikan sesuatu tugasan dalam masa singkat walaupun dikelilingi banyak tekanan. Sifat kepemimpinan akan dipupuk dan ia akan membantu di alam pekerjaan nanti tidak kira dalam menyampaikan arahan mahupun menerima arahan.

Latihan bersifat berkumpulan juga diterapkan kerana mereka bakal berdepan cabaran melawan mental dan ketahanan diri semasa menjalani latihan di samping pengurusan masa dengan komitmen akademik.


ASAS ketenteraan seperti latihan menembak antara yang dijalani kadet.

Dr Syed Abdul Razak yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Antropologi dan Sosiologi berkata Anggota PALAPES memiliki kemahiran insaniah yang pelbagai serta memenuhi kehendak industri kerana bakat mereka diasah semasa dalam pasukan selain memiliki asas ketenteraan.

Katanya, sebaik tamat latihan, kadet PALAPES akan diberikan watikah pelantikan ditandatangani Yang di-Pertuan Agong apabila watikah itu begitu penting kerana melambangkan ciri kepimpinan, jati diri dan nilai tambah yang berbeza berbanding graduan lain.

“Kesepaduan antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan menubuhkan PALAPES menjadi batu asas kukuh untuk perancangan masa depan negara.

“Penubuhan PALAPES melahirkan ramai pemimpin negara yang cemerlang akademik dan kejituan jati diri dari segi semangat kepemimpinan, jati diri dan nilai cinta kepada negara,” katanya.


YANG di-Pertuan Agong memeriksa perbarisan kadet PALAPES.

Berikutan ada segelintir individu yang mendakwa menyertai PALAPES hanya untuk mendapat elaun dan penginapan tanpa terbabit aktif dengan aktiviti kokurikulum lain, Dr Syed Abdul Razak menyangkal dakwaan itu.

Katanya, kelebihan kediaman dan elaun itu adalah penghargaan universiti ke atas pengorbanan masa dan tenaga yang dilakukan anggota PALAPES bagi menghabiskan latihan ketenteraan serta pengajian.

“Penempatan kediaman diberikan kepada kadet PALAPES juga sebagai usaha untuk memudahkan penyampaian arahan, selain memudahkan pemantauan disiplin kadet.

“Perkara itu hanya pandangan awal bagi sesetengah kadet, tetapi selepas mereka jalani latihan dan nilai sahsiah sudah dibentuk, itu bukan lagi niat utama mereka,” katanya.

INFO

• Sejarah awal PALAPES bermula dengan penubuhan Batalion Pertama Infantri Askar Wataniah Cawangan UM pada 3 April 1965.

• Peruntukan masa untuk latihan semua Pegawai Sukarela dan Pegawai Kadet di PALAPES merangkumi Latihan Tempatan 240 jam setahun. Latihan Berterusan 14 hari setahun dan Latihan Kem Tahunan 15 hari setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 1:27 PM