ZULHUSNI ketika menerima Anugerah Ikon Akdemik UM 2018.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) mengajar anggotanya untuk bekerja dalam kumpulan dan mengawal tekanan dalam apa juga situasi.

Leftenan Muda Muhammad Zulhusnie Khalib, 22, dari Universiti Malaya (UM) berkata, cara kerja berkumpulan yang dilatih Anggota Tentera Malaysia (ATM) berkesan dan menjadikan ilmu sahsiah itu satu kebiasaan dalam kehidupannya.

“Pada saat susah dan senang, sesama ahli kumpulan akan berkongsi cerita dan dilatih bekerja dalam tekanan menjadi kunci kejayaan dalam setiap apa yang saya lakukan.

“Walau banyak mana sekali pun kerja yang diberikan, saya tetap boleh mengawal tekanan dan akan sempurnakan dengan baik,” katanya.

Muhammad Zulhusnie yang juga penuntut Sarjana Muda Pendidikan Islam (Pengajian al-Quran) menyertai PALAPES Laut sejak 2015.

Katanya, dia begitu meminati badan beruniform sejak di sekolah menengah ketika menyertai Kadet Polis selain terbabit dengan pasukan pengakap dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Muhammad Zulhusnie yang dianugerahkan Kadet Terbaik Akademik Keseluruhan bakal menjalani latihan di KD Sri Klang di bawah Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sementara itu, rakannya, Leftenan Muda Muhammad Zahid Hamidi, 22, berkata, penyertaan dalam barisan PALAPES Laut memupuk disiplin dan daya kepemimpinan bagi memenuhi aspek keperluan seorang individu yang berkaliber pada masa depan.

“Sepanjang tiga tahun menjalani latihan bersama PALAPES Laut, pelbagai latihan dapat saya pelajari, bukan saja belajar dari segi teori, tetapi juga praktikal.

“Pengalaman baharu antaranya, mengenai ilmu perkapalan, navigasi dan rutin harian sebagai anggota Pegawai TLDM,” katanya.


MUHAMMAD ZAHID ketika perbarisan konvokesyen UM.

Penuntut Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Rekabentuk dan Pembuatan Terbantu Komputer) itu bercita-cita menyertai anggota tetap TLDM.

“Saya ingin berkhidmat untuk negara dan bangsa bagi memastikan kedaulatan dan keamanan tanah air terpelihara.

“Selain itu, saya juga ingin meneruskan impian untuk menjadi seorang jurutera profesional satu hari nanti,” katanya.

Muhammad Zahid berkata, dia terpanggil untuk menyertai PALAPES kerana mahu meneruskan legasi keluarga yang berlatarbelakangkan ketenteraan.

“Mengikut jejak langkah ayah, Kolonel Hamidi Achin yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Memerintah di 73 Rejimen Semboyan Diraja.

“Berbekalkan pengalaman dua tahun di Maktab Tentera Diraja (MTD), saya ingin merasai bagaimana latihan bersama PALAPES Laut yang mempunyai struktur latihan yang berbeza berbanding latihan di MTD,” katanya.

Muhammad Zahid menerima pelbagai anugerah atas pencapaian dalam PALAPES Laut antaranya Anugerah Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan PALAPES Laut UM, Anugerah Terbilang Dayasari (Bentara Panglima), Anugerah Ikon Akademik UM, Anugerah Kepimpinan Badan Beruniform (Lelaki) dan Anugerah Bakti Siswa Badan Beruniform (Lelaki).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 1:04 PM