PESERTA bersama Ling (dua dari kanan).
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Mendepani cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0), syarikat telekomunikasi Digi komited membantu generasi muda dengan menubuhkan Akademi Digi bagi melahirkan generasi berinovasi dan berfikiran kreatif.

Ketua Pengurusan Lestari Digi Philip Ling berkata, sesuai dengan perkhidmatan yang disediakan, Akademi Digi memberi peluang kepada peserta meluaskan penggunaan rangkaian Internet ke kawasan terpencil dengan mengadakan aktiviti yang memberi manfaat kepada mereka.

Katanya, bermula Julai lalu, 132 Akademi Digi ditubuhkan di hampir seluruh negara sebagai pusat pendidikan pada masa depan.

“Berbeza dengan pusat Internet yang lain, Akademi Digi mencipta kelainan iaitu menyediakan program berasaskan pengekodan secara praktikal kepada peserta.

“Peserta akan mempelajari dan menggunakan asas pengekodan bagi mengembangkan kemahiran dalam mencipta dan menulis kod perisian aplikasi mengikut modul yang disediakan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ling berkata, program selama lima bulan itu bukan saja dibuka kepada pelajar sekolah rendah atau sekolah menengah, tetapi kepada sesiapa saja berminat dengan syarat perlu mengikuti kelas sehingga tamat kursus berkenaan.

Katanya, bagi memastikan keberkesanan dan kelancaran program itu, Akademi Digi turut bekerjasama dengan ARUS Academy dalam membangunkan 10 modul yang sesuai untuk mereka mempelajarinya dalam tempoh ditetapkan.


SUASANA di dalam kelas Akademi Digi.

“Modul yang dihasilkan memfokuskan teknik dan kemahiran dengan pada peringkat awal, peserta diperkenalkan dengan kemahiran teknikal merangkumi pengawal mikro pengaturcaraan.

“Kemahiran teknikal itu dilengkapi dengan subjek elektif lain merangkumi konsep Markerthon, lukisan tiga dimensi (3D) dan pengisian penciptaan (rekaan dan video).

“Kemahiran bukan teknikal turut diterapkan dalam program ini seperti pemikiran reka bentuk, pemodelan perniagaan dan teknik perkembangan idea,” katanya.

Beliau berkata, sebaik tamat program berkenaan, 20 peserta akan dipilih untuk mengikuti kem yang akan diadakan di Pulau Pinang iaitu Digi Maker Camp (DMC) selama lima hari.

Katanya, peserta yang terpilih mengikuti DMC akan diberi tugasan untuk menghasilkan satu projek yang dapat membantu menyelesaikan masalah komuniti di kawasan mereka, selain berpeluang mengunjungi Cytron Technologies Sdn Bhd, ARUS Academy dan Tech Dome untuk melihat sendiri cara penghasilan produk.


PHILIP (kiri) bersama Pengurus Pusat Internet Pangsapuri Saujana Ria Wangsa Permai, Faezah Noor memberi penerangan kepada seorang peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 12:59 PM