JURUTERAPI mengurut bagi mengurangkan kecederaan atlet.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Aktiviti sukan memberikan faedah kepada kesihatan, namun turut mendedahkan seseorang kepada kecederaan yang seterusnya menjejaskan prestasi diri dan berpotensi menjadi lebih teruk sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Keadaan itu mewujudkan permintaan tinggi kepada unit sokongan seperti fisioterapi dan urut sukan yang memberikan fokus kepada perkhidmatan pemulihan serta pencegahan kecederaan.

Timbalan Pengarah (Pengurusan Latihan) Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Langat, Khairul Azhar Abdul Rahim berkata, kecederaan antara faktor penyebab ahli sukan profesional gagal meneruskan prestasi cemerlang mereka.

Katanya, kecederaan juga antara penyebab ahli sukan terpaksa bersara daripada menyertai arena kompetitif.

“Kehadiran juruterapi sukan amat penting dalam memastikan hal seperti ini ditangani dengan baik. Menerusi kaedah urutan sukan, sedikit sebanyak dapat mencegah serta mengurangkan peratusan kecederaan terhadap atlet.

“Melalui kajian saintifik, terbukti kombinasi teknik urutan moden mampu memberikan persediaan, kelegaan dan menjadi satu daripada kaedah pemulihan fungsi tubuh, sekali gus memberikan kelebihan kepada ahli sukan dalam meningkatkan prestasi mereka,” katanya.

Menyedari hal itu, Khairul Azhar berkata, Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia (BPKB), Kementerian Belia dan Sukan memperkenalkan program Terapi Sukan pada 2011 sebagai usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam bidang juruterapi sukan di negara ini.

“Pelaksanaan program ini bukan hanya memenuhi permintaan terhadap juruterapi sukan, malah peluang pekerjaan dapat diisi oleh tenaga kerja tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing,” katanya.

Bidang terapi sukan diperkenalkan sebagai satu daripada kursus kemahiran yang dikendalikan di bawah Kementerian Belia dan Sukan melalui Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Langat.

Kursus itu dikendalikan secara sepenuh masa untuk belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengikuti program Sijil Lanjutan Teknologi Terapi Sukan di Jabatan Perkhidmatan Sukan IKBN Kuala Langat.

Menerusi aplikasi prinsip sains sukan dan fisiologi, penuntut didedahkan kepada dunia terapi sukan melalui sistem latihan kemahiran meliputi pengajaran dan pembelajaran dijalankan melalui kaedah 70:30, iaitu 70 peratus latihan secara amali dan 30 peratus sesi pembelajaran teori.

Mengulas lanjut, Khairul Azhar berkata, pihaknya turut mendedahkan aspek juru urut sukan dan kaedah rawatan kecederaan sukan.

Katanya, antara mata pelajaran yang diajar kepada pelajar jurusan berkenaan adalah Relaxation Massage, Pre and Post Sport Massage, Remedial Massage, Athlete Performance Massage, Corporate Massage dan Promotion and Client Service.


PERKHIDMATAN urutan sukan bukan saja kepada atlet tempatan, malah antarabangsa.

“Permintaan yang tinggi terhadap penuntut dan pensyarah Jabatan Perkhidmatan Sukan IKBN Kuala Langat untuk memberikan perkhidmatan urutan sukan bukan saja kepada atlet tempatan, malah antarabangsa.

“Aktiviti sukan rekreasi juga menyaksikan permintaan tinggi untuk juru terapi sukan menunjukkan perkhidmatan ini amat diperlukan bukan hanya sebagai sokongan kepada atlet profesional, malah membantu dalam pengurusan acara sukan negara,” katanya.

Beliau berkata, bidang terapi sukan mempunyai peluang pekerjaan yang sangat luas.

“Graduan kursus ini berpeluang berkhidmat sebagai juruterapi sukan dan pembantu fisioterapi kepada atlet dan pasukan sukan profesional.

“Buat masa ini, permintaan amat tinggi kepada lepasan jurusan ini untuk berkhidmat dalam pasukan dan persatuan sukan tempatan serta luar negara. Mereka juga berpeluang berkerja sebagai juruterapi sukan di pusat pemulihan anggota dan rehabilitasi sukan,” katanya.

Sambil menegaskan program itu mampu memberi pelbagai nilai tambah kepada pelajar, Khairul Azhar berkata, golongan itu juga juga berpeluang berkerja sebagai jurulatih peribadi di gimnasium dan mengisi pelbagai jawatan sokongan dalam bidang pengurusan sukan.

“Impian bergelar usahawan juga sangat mudah untuk direalisasikan menerusi bidang ini memandangkan permintaan tinggi kepada terapi sukan, pelajar boleh mengambil peluang dengan mengusahakan perniagaan perkhidmatan urutan sukan dan urutan korporat yang amat tinggi permintaannya dalam penganjuran acara sukan serta acara korporat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 2:07 PM