PEMENANG bergambar selepas tamat program.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) meliputi guru dan mahasiswa universiti awam (UA) berperanan penting memberikan idea bernas untuk memulihara kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan kehidupan manusia, flora, fauna dan biodiversiti.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Sulaiman Wak berkata, hal itu amat penting dalam usaha membudayakan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan warga kampus.

Katanya, pembudayaan itu perlu diterapkan bermula di peringkat bilik darjah, sekolah sehingga ke IPT, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan masyarakat umum tanpa mengira latar belakang pendidikan, usia, bangsa dan agama.

“Sifat sayang dan kecintaan terhadap alam sekitar melalui wadah pendidikan akan membentuk kebahagiaan dan kesejahteraan hidup semua lapisan masyarakat di negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan Pertandingan Debat Terbuka Ilmu Khas (DeTIK) Ke-5 di IPG Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Alam Sekitar (Pembangunan), Norlin Ja’afar; Pengarah IPGKIK, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali; Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datin Dr Noor Akman Shabudin dan Timbalan Rektor IPG Malaysia, Dr Rusmini Ku Ahmad.

DeTIK 2018 adalah pengisian Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Wilayah Persekutuan yang dilancarkan Menteri Wilayah persekutuan Khalid Abd Samad di IPGKIK dan diadakan bersama rakan kolaboratif iaitu Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim; DBKL serta Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan.

Dalam pertandingan berprestij itu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) A berjaya mengekalkan kejuaraan manakala pasukan yang kali pertama menyertai DeTIK, IPG Kampus Bahasa Melayu muncul naib juara, disusuli tempat ketiga, Universiti Teknologi Petronas (UTP) B dan keempat, IPG Kampus Pulau Pinang.

Sementara itu, Dr Mohd Suhaimi berkata, DeTIK menjadi medan terbaik kepada mahasiswa muda supaya cakna terhadap isu pendidikan yang menjadi teras kepada usul yang diperdebatkan sejajar tema Pendidikan dan Alam sekitar.

“DeTIK 2018 terus unggul dan berada dalam kelas tersendiri bagi membahaskan isu pendidikan negara, sebagai satu-satunya debat pendidikan di negara ini.

“Sebanyak 64 pasukan pendebat muda yang berusia 18 hingga 21 tahun dari IPT seluruh negara menyertai DeTIK kali ini dan penganjuran disokong seramai 55 juri pelbagai latar belakang serta pengalaman dalam arena perdebatan,” katanya.

Sementara itu, Pendebat Terbaik Pertandingan Akhir, Nur Syafiqah Mohamad Paris, 19, berkata, mahasiswa Jurusan Ekonomi dan Sains Pengurusan UIAM berkata, perdebatan menjadi wadah untuk percambahan idea dengan memberikan hujah secara ilmiah serta merentasi sempadan keilmuan.

“Perdebatan juga tidak boleh hanya terhad dalam pertandingan semata mata, tetapi haruslah bijak digunakan semasa perkongsian pendapat dan cadangan, sekali gus menjadikan debat sebagai guru dalam kehidupan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Hakim DeTIK 2018, Dr Mohd Fahmy Abdullah berkata, mutu perbahasan pendebat menunjukkan peningkatan ketara berbanding edisi sebelum ini sehingga sukar menentukan pasukan muncul juara.

“Mereka terlalu berkarisma membahaskan tema alam sekitar yang wajar diberi perhatian oleh kerajaan demi kelestarian dan kesejahteraan bukan saja masyarakat malah meliputi flora dan fauna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 1:45 PM