KEMAHIRAN komunikasi dapat ditingkatkan
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Majlis istiadat konvokesyen adalah acara dinantikan setiap tahun bagi yang bakal bergelar graduan dan warga kampus secara keseluruhannya.

Kita sedia maklum, majlis itu bertujuan meraikan kejayaan mahasiswa yang bertungkus- lumus menamatkan pengajian mereka, selama empat atau lima tahun pengajian.

Bagaimanapun, ia tidak hanya tertumpu kepada majlis berkenaan semata-mata kerana turut menjanjikan pelbagai kemeriahan lain.

Setiap tahun, pesta konvokesyen antara pengisian yang merancakkan lagi majlis istiadat konvokesyen.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr M Iqbal Saripan, pesta konvokesyen adalah satu program berskala besar dan membabitkan pelbagai lapisan warga universiti.


KONVOKESYEN acara meraikan graduan yang berjaya menamatkan pengajian.

“Kami memang sangat menggalakkan mahasiswa turut serta dalam pesta ini bagi mendedahkan mereka kepada bidang keusahawanan.

“Terbabit dalam penjualan di pesta ini secara langsung akan memberi pengalaman, membantu membentuk dan meningkatkan ciri keusahawanan mahasiswa. Ia sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk menjana pendapatan sampingan,” katanya yang tidak menafikan mahasiswa turut berpeluang menyertai aktiviti mempromosi, menjual makanan atau minuman, hasil pertanian dan produk bersesuaian.

“Pembabitan secara langsung dalam aktiviti seumpama ini bukan saja mendedahkan mereka kepada perkara asas dalam perniagaan, malah ia bagaikan latihan secara tidak formal, mempraktikkan pengetahuan dan teori keusahawanan yang dipelajari di dewan kuliah.

“Ini dapat mengasah kemahiran mereka untuk menceburi bidang perniagaan apabila tamat pengajian kelak,” katanya.


PELBAGAI produk berasaskan pertanian turut disediakan di tapak Pesta Konvokesyen UPM.

Terdapat banyak kelebihan yang diperoleh penuntut apabila membabitkan diri dalam pesta konvokesyen.

“Di sini (pesta konvokesyen) mereka dapat mempelajari dan meningkatkan kemahiran dengan menjalinkan kerjasama antara satu sama lain dalam satu pasukan.

“Melalui pembabitan ini, mereka juga dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan ini antara asas penting dalam semua peringkat urus niaga,” katanya.

Menjawab persoalan kesibukan persiapan menyertai pesta konvokesyen boleh menjejaskan pembelajaran mahasiswa, Dr M Iqbal berkata, secara amnya pengajian tidak terganggu kerana mereka boleh menyusun jadual harian masing-masing.


BUNGA bersama anak patung antara yang banyak dijual.

“Selepas itu, cuti pertengahan semester 1 2018/2019 bermula dan ini akan memberi ruang atau masa yang lebih banyak serta fleksibel kepada mahasiswa untuk menumpukan perhatian terhadap aktiviti ini,” katanya.

Mengulas berkenaan pesta konvokesyen di UPM pula beliau berkata, sebagai universiti yang mempunyai kekuatan dalam bidang pertanian, acara itu menjadi platform mempamer hasil penyelidikan dan inovasi dalam sains pertanian.

Katanya, Ekspo Pertanian diadakan sempena Pesta Konvokesyen UPM dengan menyediakan peluang bagi warga universiti itu terutama mahasiswanya untuk mempromosi, menjual pelbagai hasil pertanian dan produk berasaskan pertanian kepada pengunjung.


SEMANGAT kerjasama dapat dipupuk dalam kalangan mahasiswa.

“Program ini bukan hanya membabitkan mahasiswa, tapi juga secara kolektif bersama staf daripada hampir semua pusat tanggungjawab di UPM.

“Penganjuran acara ini diuruskan dan diselia satu Jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Ekspo Pertanian yang diterajui Pengarah Taman Pertanian Universiti.

“Selain itu, pesta ini juga membabitkan pelbagai kategori rakan universiti yang lain seperti agensi kerajaan, pemain industri dan NGO.

“Antara lain, mereka ini terdiri daripada pengeluar bahan tanaman dan bunga-bungaan, terutama orkid dan pengusaha produk hiliran lain yang berasaskan pertanian,” katanya.


MENGASAH kemahiran dalam bidang perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 1:24 PM