KOJI (duduk tengah) bergambar bersama empat perantis selepas tamat majlis konvokesyen.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Bidang penyelenggaraan kenderaan yang dilihat memberi peluang cerah pada masa akan datang meyakinkan perantis, Lo Coln Prescott untuk memburu impian menjadi mekanik berjaya.

Lo, 24, diumumkan Pelajar Terbaik program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) pada Majlis Graduasi Sekolah Teknikal Isuzu kali ketiga.

Menurut Lo, pertambahan kenderaan di negara ini terutama kereta memerlukan servis penyelenggaraan secara berkala bagi memastikan enjin sentiasa dalam keadaan baik.

“Bidang automotif menjanjikan peluang kerja yang banyak kerana keperluan pada masa kini.

“Lihat saja, setiap isi rumah memiliki kenderaan masing-masing, jadi kenderaan ini memerlukan servis atau pembaikan jika berlaku kerosakan. Selagi kenderaan itu ada, selagi itu juga pusat menyelenggara atau bengkel untuk kenderaan diperlukan,” katanya.

Menurutnya, selepas tamat latihan di sekolah teknikal itu, dia akan ditempatkan bekerja di pengedar ISUZU di Ipoh, Perak iaitu Weng Fatt Otomobil Sdn Bhd.

Selain Lo, tiga lagi perantis iaitu M Somarajan, 19, Ooi Jian Lun, 19, dan Muhammad Fakhri Azmi, 24, turut diraikan pada majlis graduasi SLDN itu.

Keempat-empat perantis itu dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap II (SKM II) dalam bidang Servis dan Penyelenggaraan Kenderaan Komersial.


LO bersama ayah dan ibunya.

Majlis penganugerahan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia Sdn Bhd, Ryo Kakogawa dan Timbalan Pengarah SLDN Samsuri Arif.

Menurut Koji, SLDN di Sekolah Teknikal ISUZU adalah usahasama antara ISUZU Malaysia Sdn Bhd (IMSB) bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia dan Syarikat Automotive Corporation Malaysia Sdn Bhd (ACM) sebagai pusat latihan praktikal.

Katanya, sekolah itu dilancarkan pada April 2016 sebagai langkah menyokong usaha kerajaan dan ISUZU Motor Limited (IML), Jepun dalam memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan melanjutkan pengajian mereka ketika bekerja.

“SLDN adalah satu konsep latihan membabitkan latihan yang dijalankan di dua tempat iaitu di industri meliputi 70 hingga 80 peratus.

“Di pusat latihan pula sebanyak 20 hingga 30 peratus. Jangka masa adalah selama lapan bulan,” katanya.

Faedah kepada perantis di Sekolah Teknikal ISUZU

• Elaun (Tempoh Latihan) RM1,200

• Gaji Bulanan (Tempoh Bekerja) RM1,500

• Layak bekerja di pusat servis yang bertauliah selama satu tahun enam bulan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 1:05 PM