NUR ZULHAFIZAH di samping gegantung FESKUM 2018.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Festival Konvokesyen Universiti Malaya (FESKUM) mempertaruhkan pelbagai aktiviti yang bukan hanya dimanfaatkan mahasiswanya malah pelbagai lapisan masyarakat.

Bertemakan Warna-warni Kehidupan Kampus, program tahunan kali ke-58 dianjurkan sepenuhnya Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Universiti Malaya (UM) berlangsung hingga 27 Oktober ini.

Penasihat FESKUM yang juga merangkap Penolong Pendaftar Kanan Hal Ehwal Pelajar & Alumni UM Rozaini Abdul Rahim berkata, FESKUM adalah platform terbaik untuk meraikan graduan dan menunjukkan kemeriahan Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya dengan penganjuran pelbagai aktiviti, program serta kempen yang menarik.

“Ia dapat menggalakkan mahasiswa mengaplikasikan elemen keusahawanan melalui penjualan pelbagai produk dan perkhidmatan di gerai yang membabitkan badan pelajar berdaftar dan kolej kediaman bagi menjana pendapatan sampingan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah FESKUM Nur Zulhafizah Zakaria, 25, menegaskan, pemilihan tema FESKUM 2018 kali ini sangat tepat kerana mengetengahkan kepelbagaian latar belakang mahasiswa dan aktiviti kampus yang mewarnai kehidupan warganya.

“Persiapan bagi menjayakan FESKUM 2018 berjalan lancar. Saya berharap masyarakat dapat meluangkan masa bagi mengunjungi gerai yang dibuka dan mendekati warga UM.

“Kami juga melantik 350 mahasiswa UM untuk membantu memantau setiap aktiviti dan program yang disediakan,” katanya yang juga pelajar tahun empat, Fakulti Pendidikan itu.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Muhammad Luqman Mohamad Sabri, 20, pula berkata, kali kedua menyertai FESKUM melalui projek Royale Bistro memberi banyak kebaikan kepadanya.

Jelasnya, selain meningkatkan kemahiran insaniah, dia turut mempelajari ilmu keusahawanan.

“Projek Royale Bistro ialah satu projek di bawah kelab keusahawanan di mana visi untuk melahirkan mahasiswa yang menceburi dalam bidang berkenaan.

“Antara ilmu yang dipraktikkan ialah bagaimana untuk memulakan sesuatu perniagaan dan berani mengambil peluang atau risiko.

“Saya turut diberi pendedahan berkenaan bagaimana bekerja dalam sesebuah organisasi,” katanya.

Katanya, kemahiran insaniah juga menjadi perkara yang sangat penting selain dapat melatih kemahiran berkomunikasi kerana diperlukan untuk menarik pelanggan datang ke gerai.

“Keyakinan diri dapat ditingkatkan, kerana saya berhadapan dengan pelbagai situasi yang baharu dan secara tidak langsung mengajar untuk lebih bersedia menghadapi cabaran lebih sukar pada masa akan datang,” katanya.

Di samping itu, Setiausaha FESKUM 2018, Michelle Chin Loke Ee, 23, berkata, FESKUM 2018 mempunyai empat program utama iaitu UMAYESCAPE, Malam Kerohanian Islam 2018, Larian Panda dan e-Sukan.

“Keempat-empat program ini adalah acara utama yang dirancang sejak lima bulan lalu. Ia mempunyai sasaran komuniti tersendiri kerana kami menyedari warga UM dan penduduk di sekitar universiti ini mempunyai latar budaya yang pelbagai dan minat masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 1:00 PM