PELAJAR KV dalam pertandingan robotik kebangsaan.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


BIDANG vokasional sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri. Selepas tamat Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), pasti ramai yang mencari haluan untuk meneruskan pembelajaran bergantung keputusan masing-masing.

Tidak dinafikan, aliran sains menjanjikan masa depan dan peluang yang cerah. Namun, jangan mudah berasa rendah diri jika anda tidak mendapat tempat dalam aliran sains.

Masih banyak peluang terbuka buat anda dalam bidang lain terutama kemahiran.

Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Kolej Vokasional Ekonomi Rumah Tangga (KVERT) Setapak, Kuala Lumpur Sharifah Husain berkata, sama seperti aliran lain juga, bidang kemahiran mampu melahirkan pelajar ke peringkat yang lebih tinggi dalam pendidikan.

Katanya, hal ini dapat diperhatikan apabila sebahagian pelajar di sekolah menengah teknik (SMT) atau kolej vokasional (KV) berjaya melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat universiti mahupun politeknik.


ANTARA latihan yang diberikan.

“KV memberi laluan kepada pelajar yang sederhana dalam akademik memilih bidang kemahiran diminati mengikut kecenderungan masing-masing.

“Pelajar akan didedahkan dengan teori dan praktikal seawal usia 16 tahun seiring kehendak majikan yang memerlukan kemahiran serta pengalaman bekerja,” katanya.

Katanya, kesetaraan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membolehkan pelajar KV menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Pelajar KV layak untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dengan syarat mereka perlu memenuhi beberapa kriteria ditetapkan iaitu pertama mempunyai pengalaman kerja sekurang-kurangnya dua tahun dan memiliki Sijil Program Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL),” katanya.

Katanya, pelajar KV juga boleh terus memohon program sarjana muda ditawarkan universiti dengan syarat memperoleh keputusan cemerlang dalam akademik.


INFOGRAFIK.

“Pelajar perlu mendapat kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, purata nilai gred keseluruhan (PNGK) akademik sekurang-kurangnya 2.00 dan PNGK vokasional 2.67.

“Selain itu, pelajar itu juga perlu melengkapkan semua modul vokasional yang ditawarkan dan memohon kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi, sebelum program KV mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” katanya.

Di KV, pelajar mengikuti sistem semester iaitu empat semester (dua tahun) bagi Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan empat semester (dua tahun) juga untuk pengajian diploma.

“Di peringkat diploma, ketika pelajar di tahun ketiga dan keempat mereka didedahkan dengan pembentangan amali atau subkursus. Situasi ini sama seperti yang diamalkan di universiti awam dan swasta.

“Kesetaraan SVM-SPM turut mewajibkan pelajar mengambil enam subjek teras SPM iaitu bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral,” katanya.

Bagi pelajar yang ingin meneruskan pengajian, Sharifah berkata, beberapa universiti turut menawarkan kursus pada peringkat sarjana muda iaitu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Universiti Kuala Lumpur (UniKL), University College Agriculture Malaysia (UCAM) serta Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

Katanya, setakat ini, KV menawarkan lebih 70 program kemahiran membabitkan sebanyak 90 KV di seluruh negara.

Sharifah berkata, berdasarkan rekod daripada Kementerian Pendidikan, lebih 80 peratus lepasan KV mendapat pekerjaan mengikut bidang pilihan sebaik tamat pengajian sekali gus membuktikan mereka menerima pengiktirafan daripada industri.


LEPASAN PT3 boleh memilih aliran pengajian yang diminati.

Beliau berkata, sebahagian pelajar KV sebaik tamat latihan praktikal dan sebilangan belum sempat menamatkan pengajian sudah ditawarkan peluang pekerjaan. Ini membuktikan kursus ditawarkan KV memenuhi kehendak industri.

“Jumlah graduan DVM yang mendapat pekerjaan adalah lebih tinggi berbanding sasaran awal yang ditetapkan iaitu sebanyak 70 peratus bekerja, 20 peratus menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dan 10 peratus lagi menjadi usahawan.

“Bagaimanapun, data yang diperoleh menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila lebih 80 peratus pelajar ditawarkan bekerja oleh pihak industri dan ini membuktikan kursus kemahiran di KV menepati matlamat penubuhan KV iaitu melahirkan tenaga kerja mahir,” katanya.

Katanya, rata-rata lepasan KV bekerja sama ada makan gaji atau membuka perniagaan sendiri mengikut kemahiran yang diperoleh.

“Masing-masing berjaya peroleh pendapatan minimum RM1,500 ke atas. Ada juga gajinya cecah RM10,000. Harapan dan sasaran, pelajar KV yang sedang jalani latihan praktikal (OJT) iaitu 85 peratus daripada mereka akan terus ditawarkan kerja.

“Sasaran kami di KV, biarlah graduan bekerja nanti akan dapat gaji minimum RM1,000 ke RM1,500,” katanya.

Jelas beliau, kerjasama dengan pelbagai industri melalui perjanjian persefahaman (MoU) dan Perjanjian Nota Persefahaman (NoU) yang dibuat KV memudahkan pelajar mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 10:30 AM