PENYELENGGARAAN motor salah satu program PIMA.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


TIDAK dinafikan saban tahun pasti ada pelajar yang tercicir atau gagal menguasai pembelajaran pada tahap Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Oleh itu, pihak sekolah menyahut cabaran Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan untuk tampil dengan program yang dikenali sebagai Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA).

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besi, Kuala Lumpur Zainudin Mohamad berkata, SMK itu adalah sekolah kedua selepas SMK Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor yang menyahut seruan Kementerian Pendidikan untuk melahirkan modal insan berkemahiran, yakin diri dan bersedia menyertai pasaran kerja selaras dengan minat kecenderungan pelajar itu sendiri.

Katanya, program itu terbuka kepada pelajar tingkatan empat yang berminat dengan syarat mendapat kebenaran daripada ibu bapa mereka.

Sebanyak lima program kursus ditawarkan iaitu mekanik penyejukbekuan dan penyamanan udara, terapi spa, pembuatan pakaian wanita, teknologi kimpalan arka dan gas, perkhidmatan menyelenggara motosikal dan automotif.

“Pelajar ini perlu menduduki Pentaksiran Psikometrik pada tahun semasa dan mendapat surat tawaran bagi menyertai program ini. Mereka juga perlu menandatangani surat perjanjian yang sudah ditetapkan.

“Antara objektif utama program ini ialah mengatasi masalah keciciran dalam kalangan murid di peringkat sekolah menengah, menyediakan alternatif pembelajaran kepada pelajar berisiko keciciran dan menimbulkan minat belajar melalui praktikal atau amali dengan bekerja di industri.

“Selain membentuk sahsiah diri dan pembangunan karakter yang mantap berbekalkan pengetahuan dan kemahiran pekerjaan serta memberi peluang mempraktikkan ilmu selain teori dipelajari di industri ke dalam dunia pekerjaan yang sebenar,” katanya.

Jelasnya, pelajar yang mengikuti program ini akan berada di sekolah selama dua hari sementara tiga hari lagi di industri.

“Mereka akan belajar lima subjek teras di sekolah iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral.

“Jangka masa pembelajaran mata pelajaran teras ini hendaklah dalam tempoh dua tahun secara keseluruhannya,” katanya.

Kata Zainudin, corak pembangunan ekonomi yang berhasrat menyediakan tenaga manusia khususnya terhadap tenaga kerja profesional, mahir dan separa mahir, pendidikan teknologi, teknik dan vokasional (TVET) turut didedahkan kepada pelajar PT3.


PEPERIKSAAN PT3 penentu aliran yang sesuai.

Katanya, salah satu pengisian bagi program selepas PT3, kaunselor sekali lagi diberi tanggungjawab untuk memberi input berkaitan aliran teknikal dan vokasional.

“Hal ini bagi membolehkan pelajar tahu membezakan kedua-dua aliran ini yang dilihat seperti sama tapi hakikatnya mempunyai bidang kerja berbeza.

“Kursus yang dipelajari di sekolah menengah teknik (SMT) lebih kepada teori tapi kurang kerja kemahiran. Antara kursus yang ditawarkan ialah seperti kejuruteraan awam, elektrik, mekanikal sains pertanian dan perdagangan.

“Kolej vokasional pula tertumpu kepada bidang kemahiran yang melahirkan pekerja mahir dan separuh mahir dalam alam pekerjaan kelak,” katanya.

Katanya, melalui program Laluan Kerjaya, kaunselor membuka minda pelajar untuk jelas dalam menaakul kedua-dua aliran yang berbeza fungsi dan organisasi.

Minat perlu diutamakan pelajar selain tidak mengambil pendekatan mengikut kawan untuk memasuki aliran teknikal atau vokasional atau atas kehendak ibu bapa semata-mata.

Bermakna pelajar hendaklah jelas dan faham akan tujuan memilih aliran TVET ini untuk kelangsungan masa depan yang lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 10:05 AM