JUNG GIYOUNG bersama Dr Mohd Razali bertukar dokumen Surat Niat yang ditandatangani lalu membuka lembaran kerjasama strategik antara UTeM dan BFSU.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Keunikan dan kecemerlangan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menjadi tumpuan universiti ternama dari serata dunia dalam menjalin hubungan strategik berimpak dunia.

Baru-baru ini, UTeM menerima lawatan delegasi dari universiti ternama di Korea Selatan iaitu Busan University of Foreign Studies (BUFS).

Pihak BUFS diwakili Presidennya Dr Jung Giyoung disambut oleh pihak UTeM yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Datuk Dr Mohd Razali Muhamad bersama dengan pegawai kanan UTeM.

Menurut Dr Mohd Razali Muhamad, lawatan BUSF ini tertumpu kepada perbincangan dua hala ke arah melaksanakan projek antarabangsa secara bersama.

Katanya, antara yang dirangka adalah berhubung dengan pelaksanaan program mobiliti staf dan siswa antara kedua-dua universiti di samping program pertukaran budaya dan bahasa.

“Di samping itu, pihak kami turut berminat dalam aspek penyemarakan ekonomi dan pertukaran teknologi antara Malaysia dan Korea Selatan menerusi kedua-dua institusi pengajian tinggi,” katanya.


BERGAMBAR kenangan sempena dengan jalinan kerjasama

Pada pertemuan itu, kedua-dua pihak menandatangani dokumen Surat Niat dalam meneruskan agenda Memorandum Persefahaman (MoU) yang dijangka akan dilaksanakan pada September nanti.

Dalam lawatan itu, delegasi turut dibawa meninjau salah satu projek kerjasama yang berjaya antara UTeM dan syarikat pengeluar peralatan elektrik dan telekomunikasi terkemuka dunia iaitu Samsung yang terletak di Kampus Teknologi UTeM Ayer Keroh iaitu UTeM Samsung Internet of Things.

Sejurus itu mereka turut dibawa melawat rangkaian Makmal Berteknologi Tinggi di Kampus Teknologi UTeM Ayer Keroh yang dilengkapi kemudahan teknologi perindustrian moden yang selari dengan pihak industri di seluruh dunia.

Dalam lawatan delegasi dari BFSU Korea Selatan ini turut dihadiri oleh wakil dari Pejabat Exco Pendidikan, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri serta wakil dari Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) bagi menyalurkan maklumat mengenai peluang pelaburan yang ditawarkan oleh Kerajaan Melaka kepada pelabur asing di negeri ini.


JUNG GIYOUNG (tiga kiri) mendengar penerangan mengenai teknologi terkini di rangkaian Makmal Berteknologi Tinggi Kampus Teknologi UTeM Ayer Keroh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 1:24 PM