MOKHTAR.
MOKHTAR ketika memberikan kursus.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Sering kali Matematik dan Sains dilabel antara subjek paling 'digeruni' pelajar kerana perlu mengingati jalan pengiraan yang menguji keupayaan akal.

Maka tidak hairanlah kebanyakan pelajar mendapat markah yang kurang memuaskan atau 'cukup-cukup' makan saja.

Situasi ini kerap berlaku dalam kalangan pelajar, malah ia menerbitkan iri hati apabila melihat orang lain mendahului dalam subjek Matematik.

Melihat kelemahan Matematik yang sering dihadapi pelajar, satu kaedah mudah dicipta bagi membantu melahirkan masyarakat pintar.

Kaedah Mokhdar yang diperkenalkan Mokhtar Mansor, satu platform yang dipercayai menghasilkan ledakan kemampuan pelajar mengurus input matematikal.

Katanya, ia menjadi teras paling penting bukan saja dalam subjek matematik, malah dalam untuk Sains, Sejarah, Geografi dan Pengetahuan Agama Islam.

“Antara punca yang dikenal pasti pelajar tidak dapat menguasai Matematik dengan baik ialah penggunaan sebutan penuh pada digit dan simbol dalam bahasa Melayu yang terlalu panjang.

“Keadaan ini menyukarkan otak menyimpan dan memproses maklumat dengan cepat,” katanya.

Mokhtar, berkata apabila kelemahan ini berjaya diatasi ternyata pelajar Melayu memang handal dalam Matematik dan ia sudah pun terbukti dengan kejayaan formulasi Matematik Mokhdar yang diasaskannya sejak dua dekad lalu.

Mokhdar, ialah suatu kaedah sangat mudah yang mampu menghasilkan kekuatan memori luar biasa terhadap input ‘mathematical’ dan semua ini adalah teras penting dalam pemikiran sains serta matematik.

“Apabila diterapkan kaedah ini ke dalam minda seseorang, yang mengambil masa antara empat ke 10 hari bagi pelajar normal, kecekapan belajar kedua-dua subjek itu akan berubah serta-merta.

“Malah Mokhdar dibudayakan sebagai bahasa minda, nombor kad pengenalan sepanjang 12 digit boleh diingat dalam tempoh kurang daripada 0.3 saat, sedangkan orang lain ada yang mengambil masa sehingga lima atau 10 minit.

“Sebab itu orang yang mengamalkan kaedah ini mampu mengingati banyak rumus, langkah penyelesaian masalah, hasil eksperimen, statistik, jadual kimia berkala, tarikh dan peristiwa sejarah seperti ketinggian gunung tanpa mendera otak untuk menghafal,” katanya.

Kaedah Mokhdar bukan saja menjadikan pelajar ampuh dan efisien dalam mengakses Matematik tetapi apabila minda pelajar sudah aktif dan berkelajuan tinggi, subjek lain yang memerlukan daya ingatan kepada digit dan formula seperti Kimia, Fizik, Sains Sejarah dan Sains Geografi boleh diingati dengan mudah.

Mokhtar berkata, kaedah Mokdar sesuai dipelajari daripada kanak-kanak awal usia, pelajar sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti.

Mereka yang berminat untuk menyertai kursus kaedah Mokhdar boleh menghubungi di talian 012-6387545.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 2:12 PM