RISAU terhadap tabiat sehingga sanggup tahan lapar.
Bersama Kaunselor
sitifatimah@upm.edu.my


Saya mempunyai sikap boros yang sukar dikawal. Meskipun saya sedar sumber kewangan agak terhad, namun nafsu berbelanja itu sering mengganggu.

Saya risau juga dengan tabiat ini, namun mempunyai rakan yang mempunyai minat dan tabiat sama.

Kami sanggup menahan nafsu makan semata-mata kerana ingin membeli barangan yang digemari. Kini saya mulai terfikir masalah ini memandangkan saya mempunyai tanggungjawab membantu keluarga iaitu adik yang masih bersekolah.

Saya harap agar puan dapat membantu saya dalam mengatasi masalah ini.

KUSUT

Kuala Lumpur

Untuk mengatasi sikap boros, anda perlu melakukan beberapa cara agar sumber pendapatan sama ada elaun pengajian (bagi pelajar) atau gaji tidak cepat habis.

1. Bayar yang penting dulu

Setelah menerima elaun atau gaji, sebaiknya anda membuat anggaran yang rapi agar segala perbelanjaan anda selama sebulan itu boleh dikawal.

Bayar mana-mana yang penting terlebih dahulu, kemudian asingkan sebahagian daripada wang tersebut untuk disimpan.

Selebihnya gunakan untuk keperluan seharian sehingga tiba elaun atau gaji yang akan datang. Selain itu, anda juga boleh pisahkan wang anda dalam dua tabung. Satu tabung untuk kegunaan peribadi, satu lagi tabung untuk keperluan harian. Cara ini membantu anda agar tidak belanja berlebihan.

2. Hentikan atau kawal urus niaga secara dalam talian

Jika anda benar-benar ingin mengubah sikap boros anda itu, berhenti mengeluarkan wang untuk perkara yang tidak penting, elakkan atau kurangkan urus niaga membeli-belah secara dalam talian.

Tabiat ini amat berbahaya jika tidak dikawal kerana anda dapat membeli tanpa perlu ke tempat jualan. Tanpa disedari, banyak wang dilaburkan tanpa kawalan.

Atas dasar itu, kurangkan juga penggunaan Internet bagi laman web yang mendedahkan anda dengan tawaran hebat yang menarik perhatian.

3. Jangan dilayan/tergoda dengan e-mel tawaran diskaun

Berhenti melanggan e-mel yang selalu mengirimkan penawaran iklan diskaun dan penjualan barang. Godaan untuk berbelanja atau membeli bukan hanya ketika anda berkunjung ke pusat membeli-belah sahaja, namun nafsu berbelanja itu tetap ada ketika anda melihat tawaran diskaun barangan yang anda sukai.

Kawal sikap boros atau nafsu berbelanja anda dan jangan terpikat dengan produk murah yang mana akan menyusahkan diri anda di kemudian hari.

4. Lakukan sendiri

Memang lebih mudah mengupah seseorang melakukan pekerjaan rumah yang anda mungkin tidak sukai.

Namun, perkara itu akan mempengaruhi pengeluaran berlebihan yang menghabiskan wang. Mulai sekarang belajarlah mengurus sendiri keperluan peribadi anda,seperti mengemas rumah, membasuh baju dan sebagainya.

Sebagai siswa, kerja rumah seperti mencuci pakaian itu boleh dilakukan sendiri mengikut kesesuaian masa agar wang tidak dibazirkan untuk urusan mendobi.

5. Lebih selektif dalam membeli barang

Ketika anda sedang menjamu mata, pasti ada saja barang yang mahu anda dimiliki atau beli. Padahal, belum tentu anda memerlukan barangan itu pada setiap saat.

Dahulukan kepentingan utama, kemudian barulah kepentingan sekunder dan selebihnya belajarlah menabung.

6. Biasakan hidup berjimat cermat

Bagi penuntut, pilih kedai makan yang menawarkan harga yang berpatutan. Selain itu, makan secara berpada-pada.

Usah terlalu terpengaruh dengan nafsu makan yang melampau sehingga terpaksa memperuntukkan sejumlah wang yang banyak untuk makan yang mahal dan mewah.

Sebaliknya, bagi mereka yang bekerja, maka memasak makanan di rumah lebih baik membeli di luar ataupun menikmatinya di restoran.

Harganya mungkin lebih mahal jika makan di luar dan secara tidak langsung ia menambahkan lagi sikap boros anda yang mana pengeluaran wang anda akan mengalir denga lebih laju.

7. Jauhi kawan yang gemar berbelanja

Biasanya orang cenderung mengeluarkan wang kerana gagal mengawal nafsu berbelanja atau godaan daripada orang sekeliling, terutama para shopaholic .

Jauhi kawan yang suka berbelanja kerana ia mengundang keinginan anda untuk berbelanja. Dalam situasi anda, rakan baik juga mempunyai tabita yang sama.

Maka berbincanglah dengan beliau untuk bersama-sama mengawal sifat boros ini demi kehidupan yang lebih sederhana.

8. Buat kiraan perbelanjaan dalam sebulan

Semak bahagian mana pengeluaran anda paling boros. Di samping itu,sebelum pergi ke mana-mana kompleks membeli-belah, susun sendiri jadual perbelanjaan anda.

Beli yang penting untuk keperluan anda. Di samping itu, sediakan waktu paling kurang sehari apabila anda mahu membeli barang yang memerlukan perbelanjaan besar.

Ia membuka ruang untuk anda berfikir kembali untuk membeli barangan tersebut dan menilai kembali kedudukan kewangan anda.

Siti Fatimah Abdul Ghani

Kaunselor Berdaftar di Bahagian Kaunseling UPM

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2017 @ 4:26 PM