Sabtu,29 November 2014

Yuna penyeri The Croods

Lembaran 2013 nyata membawa sinar besar buat penyanyi lagu Terukir Di Bintang, Yunalis Zarai, 27. Apa tidaknya, selepas memenangi Anugerah Juara Lagu Ke-27 pada awal Januari lalu, pencapaiannya semakin menyerlah.

Mesra dengan panggilan Yuna, usaha anak jati dari Subang Jaya, Selangor itu untuk menapak serta membina namanya di persada muzik antarabangsa terutama di Amerika Syarikat nampaknya membuahkan hasil cukup positif dan memberangsangkan.

Segala kepayahan Yuna sebelum ini mula terbalas apabila satu demi satu peluang diraihnya dan paling bermakna sudah tentu jalinan kerjasama yang diperoleh daripada karyawan muzik ternama di Hollywood seperti David Foster.

Menjadi artis naungan label Verve Music Group dimiliki Foster yang pernah memenangi trofi Grammy sebanyak 16 kali pastinya ibarat ‘bulan jatuh ke riba’ buat Yuna. Berkat kesabaran dalam perjuangan seninya kian terbalas.


Bersama Verve, kini Yuna juga sudah merakamkan beberapa lagu sentuhan Foster. Pun begitu, peluang besar yang membuka mata masyarakat Malaysia terhadap pencapaian Yuna di Amerika ketika ini apabila dia dipilih menyanyikan lagu tema, Shine You Way untuk filem animasi, The Croods.


Diarahkan Kirk De Mincco dan Chris Sanders, The Croods juga adalah produk seni terbitan produksi ternama Hollywood, DreamWorks Studios milik sutradara tersohor, Steven Spielberg bersama rakan kongsinya, Jeffrey Katzenberg dan David Geffen.

Yuna yang berbicara mengenai peluang kerjasamanya dalam filem The Croods itu melalui jawapan yang dihantar menerusi e-mel memaklumkan, dia memperoleh tawaran itu daripada pihak DreamWorks yang menghubungi ejennya.

“Mereka (DreamWorks) menghubungi ejen saya dan bertanya sama ada saya mahu bekerjasama dalam projek filem itu. Apapun, saya bangga dapat bekerjasama dengan komposer dan penerbit hebat seperti Alan Silvestri.

“Pengalaman bekerja de-ngan Silvestri cukup menyeronokkan dan tidaklah sukar. Bagi saya, dia seorang yang begitu profesional dan mudah bekerja dengannya. Bahkan, syukur semuanya berjalan lancar,” kata Yuna.

Yuna yang juga pertama kali berduet dengan vokalis Owl City, Adam Young untuk menyanyikan lagu Shine You Way itu memaklumkan mereka berdua sebenarnya tidak bertemu ketika sesi rakaman lagu itu dilakukan.

Serasi dengan Adam Young

Ujar Yuna, rakaman dilakukan secara berasingan kerana ketika itu Young berada di Minessota dan dia pula di Los Angeles (LA). Bagaimanapun, Yuna berkata, mereka berpeluang bersua muka ketika menjalani penggambaran muzik video lagu itu.

Dia seorang penyanyi yang berbakat, baik, sangat bagus dan manis orangnya. Selain itu, kami juga boleh serasi kerana mempunyai banyak persamaan.

“Kami berdua bukan saja masih mentah, tetapi kami juga pemalu dan perjalanan muzik kami pun bermula di laman sosial, myspace,” katanya memberitahu rakaman lagu Shine You Way dilakukan sekitar Januari lalu dan Yuna mengambil masa selama dua hari untuk merekodkannya.

Mengulas mengenai peluang kerjasamanya dengan produksi gergasi Hollywood seperti DreamWorks, Yuna berkata, dia tidak pernah terfikir sama sekali akan memperoleh peluang yang hebat itu.

“Apatah lagi, selama ini pun sejak remaja saya sudah menonton filem animasi terbitan DreamWorks. Jadi, apabila mendapat peluang bekerjasama dengan mereka, ia adalah satu perasaan yang hebat dan saya teruja.

“Bagaimanapun, buat masa ini saya belum dapat menonton sepenuhnya filem The Croods. Saya hanya menonton sedikit saja sebelum memulakan rakaman lagu Shine You Way.

“Apapun, bagi saya filem ini mempunyai plot cerita yang sangat baik kerana ia mengajar penonton untuk menjadi yakin, tidak pernah takut serta memupuk hubungan kekeluargaan yang erat. Ia juga bagaikan satu pengembaraan dan banyak perkara baru boleh dipelajari,” katanya.

Menyentuh pula pembabitannya dalam mana-mana promosi untuk The Croods, Yuna berkata, dia tidak turut serta.

Bahkan, berbicara mengenai projek terbarunya, Yuna berkata, dia kini bersiap sedia untuk terbabit dalam rakaman EP dan kemudian fokus pula pada proses rakaman album keduanya.

Menurut Yuna, rakaman EP dibuat sebagai pengenalan kepada projek terkininya dengan label baru, The Verve. The Croods yang kini sudah ditayangkan di seluruh dunia turut meminjam suara bintang terkenal Hollywood seperti Nicolas Cage, Ryan Reynolds dan Emma Stone.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/23
`