Isnin,22 Disember 2014

Video seks Hulk Hogan tersebar

IA seperti masa percubaan selepas dia berpisah de-ngan isterinya Linda Hogan pada 2007 dan Hulk Hogan mengakui sepenuhnya dalam tempoh empat bulan itu dia bagaikan menjadi ‘gila’.

Bekas ahli gusti berkenaan atau nama sebenarnya Terry Bollea meniduri terlalu ramai wanita hingga dia tidak tahu siapa yang merakam pita video seks yang tersebar ketika ini.

Rakaman itu dikatakan menyiarkan lelaki berusia 58 tahun berkenaan melakukan hubungan seks bersama seorang wanita berambut hitam yang tidak dikenali identitinya.

Bercakap mengenai waktu sebenar pita itu mungkin dirakam, selepas perpisahan dengan Linda, Hogan memberitahu TMZ.com kelmarin: “Dia bukan seorang saja wanita berambut hitam yang saya tiduri dalam tempoh beberapa bulan itu.”


“Saya tidak ingat nama wanita yang saya tiduri, lebih-lebih lagi yang muda,” katanya.


Legenda ahli gusti itu berkata, pita itu sekurang-kurangnya sudah dirakam lima tahun lalu kerana dia belum begitu lama hidup bersama isterinya sekarang Jennifer McDaniel.

Hogan turut musykil mengapa pita itu muncul sekarang selepas ia disembunyikan begitu lama.

Hogan berkata: “Mengapa seseorang menyimpannya untuk tempoh sekurang-kurangnya lima tahun?”

Hogan berkata, dia diperangkap dan pita itu yang kini boleh didapati di merata tempat adalah “pencerobohan peribadi yang dahsyat”.

Dia juga berkata, ia dirakam “secara rahsia” dan dia tidak pernah bersetuju dengan rakaman itu atau pengedarannya.

“Terry Bollea terkejut dengan pengedaran tidak sah rakaman video secara rahsia itu,” kata peguamnya, David Houston dalam satu kenyataan.

“Hogan sama sekali tidak bersetuju dengan rakaman itu ataupun pengedarannya. Ia jelas sekali satu bentuk pencerobohan peribadi yang dahsyat dan melanggar undang-undang jika ia adalah rakaman asli. Kami akan mengambil tindakan undang-undang atas jenayah itu,” katanya.

Pengasas syarikat hiburan dewasa Vivid Entertainment, Steve Hirch memberitahu TMZ bahawa dia ditawarkan video itu daripada seorang individu dengan harga tertentu.

Wanita berambut hitam dalam rakaman video itu dikatakan bukan isteri Hogan sekarang, Jennifer yang dikahwini pada 2010 selepas berpisah dengan Linda pada 2008.

Tidak diketahui bila pita video itu dirakam.

Ini bukan kali pertama Hogan terbabit dengan kes mahkamah.

Pada akhir tahun lalu, Hogan menyaman bekas isterinya, Linda mendakwa wanita itu menipu dan memfitnah dirinya dalam buku tulisan bekas isterinya itu.

Hogan memfailkan dokumen saman 18 halaman di Florida.

Dia mendakwa Linda menulis “Wrestling the Hulk - My Life Against the Ropes” bertujuan untuk memulihkan kerjaya sendiri.

Linda menulis bekas suaminya itu mendera dirinya ketika perkahwinan mereka dan melakukan hubungan homoseks. Dalam bukunya, Linda mendakwa: “Hogan mengoyakkan baju saya, membaling lampu dan menolak saya ke katil dengan tangannya mencekik leher saya ketika kami bergaduh.

“Saya sentiasa takut dia akan bunuh saya ketika dia marah,” katanya.

Ketika wawancara Jun tahun lalu, Linda mendakwa Hogan melakukan hubungan homoseks dengan rakan gustinya.

Hogan berkata, dakwaan itu menjejaskan reputasinya.

Linda menerima lebih 70 peratus aset pasangan itu dalam penyelesaian perceraian mereka,
baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/12
`