Sabtu,22 November 2014

Vaksin pelindung di negara asing

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD

TAHUN ini bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Pasti sudah ada rancangan bercuti buat setiap keluarga yang mahu menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga tersayang.

Pun begitu, sudahkah anda membuat persiapan kesihatan, fizikal dan mental?
Adakah anda menitikberatkan soal persiapan sebelum pergi melancong? Persiapan bukan hanya tertumpu kepada pakaian atau makanan, terutama yang lebih penting iaitu kesihatan.


Pernahkah anda membuat pemeriksaan kesihatan sebelum memulakan sebarang percutian? Sama ada ke negara jiran mahupun merentasi dunia, perancangan adalah faktor terpenting bagi memastikan percutian berjalan lancar.

Ramai yang merancang untuk berbeli-belah apabila tiba ke destinasi, memikirkan lawatan ke tempat tertentu, ingin mencuba mencuba makanan eksotik tetapi anda tidak pernah terfikir mungkin jatuh sakit.

Kebanyakan pelancong tidak menyedari perancangan pelancongan bukan sekadar menempah tiket, tempat tinggal serta memastikan pasport dikemas kini tetapi turut membabitkan rundingan bersama doktor berkenaan penyakit di negara yang bakal dilawati dan bagaimana melindungi diri daripada risiko berkenaan.

Bekas Presiden dan Ahli Majlis Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC), Prof Datin Dr Hamimah Hassan, berkata berdasarkan statistik Pertubuhan Pelancongan Sedunia (WTO), ketibaan pelancong antarabangsa dari seluruh dunia pada 2009 bagi tujuan perniagaan, percutian dan urusan lain berjumlah 880 juta.

“Ketibaan antarabangsa dijangka mencecah 1 bilion pada 2010 dan 1.6 bilion menjelang 2020. Di Malaysia, 31 peratus rakyat negara ini didapati melancong ke luar negara untuk bercuti dalam tempoh 12 bulan lalu,” katanya.

Bergantung kepada jenis pengangkutan, kesihatan pelancong, gaya hidup yang diingini dan epidemiologi penyakit berjangkit di negara destinasi, melancong ke luar negara mendedahkan pelancong kepada risiko kesihatan.

Bukan saja pelancong mudah dijangkiti penyakit berkaitan melancong, malah pelancong mungkin pembawa bagi penyakit berkenaan seterusnya mendedahkan masyarakat sekeliling kepada risiko jangkitan.

Penyakit berkaitan melancong yang umum termasuk hepatitis, demam kepialu dan influenza yang boleh tersebar melalui makanan serta minuman tercemar, amalan seksual yang tidak selamat atau melalui pemindahan titisan sewaktu batuk, bersin atau bercakap.

Menurut Dr Hamimah, tahap keseriusan bagi sesetengah penyakit seperti hepatitis dan demam kepialu mungkin berbeza tetapi ada segelintir pesakit yang boleh mengalami masalah kesihatan kronik akibat komplikasi daripada penyakit ini yang sepatutnya boleh dicegah sejak awal.

“Berdasarkan kajian, hepatitis A dan B mewakili penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin yang paling lazim diikuti demam kepialu. Pelancong dari negara maju yang tidak dilindungi merekodkan kadar insiden bulanan jangkitan hepatitis A antara 300 hingga 2,000 bagi 100,000 pelancong apabila melawat negara membangun.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut melaporkan hampir 2 bilion individu di dunia dijangkiti virus hepatitis B dan hampir 350 juta hidup dengan jangkitan kronik akibat virus ini, apatah lagi 600,000 meninggal dunia setiap tahun akibat hepatitis B akut atau kronik,” katanya.

Berdasarkan penemuan ini, cara terbaik bagi meminimumkan risiko dan mencegah jangkitan adalah dengan mendapat perlindungan awal dalam bentuk vaksin. Dr Hamimah turut menegaskan kepentingan membuat rancangan untuk kesihatan sebelum melancong bagi membolehkan masa mencukupi bagi jadual imunisasi.

“Masa yang disyorkan untuk berjumpa doktor ialah sekurang-kurangnya empat hingga lapan minggu sebelum melancong. Pelancong juga tidak sepatutnya dikekang dengan tempoh masa yang disyorkan.

“Meskipun hanya satu hari sebelum percutian, anda masih boleh mendapatkan manfaat daripada perunding perubatan sama ada nasihat berkenaan risiko kesihatan atau langkah pencegahan dan imunisasi.

“Fikirkan kos yang perlu anda tanggung jika jatuh sakit di negara orang, sama ada kos rawatan di luar negara dan kos percutian yang tergendala,” katanya yang berharap masyarakat lebih peka mengenai kesihatan sebelum memulakan pengembaraan.

Beliau berkata, sebenarnya situasi berkenaan boleh dicegah dengan adanya pencegahan awal dan kesedaran terhadap diri sendiri.

“Secara ringkas, perancangan, kaedah pencegahan dan langkah berjaga-jaga yang sesuai boleh melindungi kesihatan seseorang dan meminimumkan risiko mendapat penyakit berjangkit sewaktu melancong.

“Jadi, pada percutian anda yang akan datang jangan lupa untuk menambah satu perkara penting dalam senarai semak iaitu mendapat taklimat doktor sebelum melancong demi ketenangan minda ketika bercuti dan bertindak segera untuk mendapatkan perlindungan,” katanya.

Bagi melancarkan misi pelancongan, anda boleh melayari laman web Fit-to-Fly (www.fit2fly.com.my) yang menyediakan petua pelancongan serta risiko kesihatan yang perlu diketahui pelancong.

Ia disediakan khusus untuk rakyat Malaysia, antara lain menyediakan maklumat mengenai imunisasi yang disyorkan mengikut negara dilawati. Sama ada anda mencari petua mengatasi kepenatan akibat perubahan masa (jet lag), menilai risiko kesihatan atau mencari lokasi klinik, laman web ini amat berguna sebagai rujukan informatif serta dipercayai.



SOALAN LAZIM


1: Mengapakah saya perlu mendapatkan suntikan vaksin sebelum melancong?

Vaksinasi sebelum perjalanan adalah amalan biasa di luar negara. Bagaimanapun, di Malaysia, kesedaran terhadap penyakit berkaitan pengembaraan agak rendah.
Tidak kira sama ada anda menuju destinasi domestik atau antarabangsa, amat penting bagi anda melengkapkan diri dengan maklumat mengenai kemungkinan ancaman kesihatan dan langkah-langkah untuk mencegah penyakit berkaitan.

Menjalani vaksinasi sebelum berlepas adalah pelaburan bijak untuk kesihatan antaranya kerana:

  • Vaksinasi akan melindungi anda daripada jangkitan/penyakit berbahaya. Pemvaksinan menggunakan mekanisme pertahanan semula jadi badan, bagi melindungi diri terhadap jangkitan atau penyakit tertentu. Ia juga membantu anda kekal sihat dengan mencegah jangkitan yang boleh merosakkan perjalanan dan menyebabkan kos yang tidak dijangka.

  • Di kebanyakan negara, penyakit seperti polio dan hepatitis A adalah endemik (sentiasa wujud) dan merupakan ancaman kesihatan utama.

  • Banyak penyakit merebak melalui makanan dan air yang tercemar misalnya hepatitis A, polio dan demam kepialu yang secara tidak langsung akan meninggikan risiko dijangkiti penyakit jika tidak mengambil vaksin.

  • Sebagai manfaat tambahan, vaksin menawarkan banyak perlindungan lama, sekurang-kurangnya untuk beberapa beberapa tahun.


    2: Bagaimanakah cara mengetahui bilangan atau dos yang diperlukan?

    Anda perlu berunding dengan doktor mengenai jenis vaksinasi yang diperlu sebelum berlepas. Doktor menasihati mengenai wabak penyakit di seluruh dunia dan memberi cadangan vaksin individu bergantung kepada destinasi pelancongan.
    Antara vaksin yang pasti disyorkan ialah pelalian taun, pertusis, polio, hepatitis A, hepatitis B, kepialu, dan demam kuning.


    3: Adakah sesetengah negara memerlukan vaksin tertentu sebelum memasuki sempadannya?

    Negara tertentu memerlukan beberapa jenis vaksinasi sebelum perjalanan. Pun begitu, kebanyakan memerlukan pelalian demam kuning sebelum masuk. Di Arab Saudi, vaksin meningitis dimestikan terhadap semua jemaah asing yang tiba bagi menunaikan haji atau umrah. Semua vaksin lain yang disyorkan untuk pelancong bergantung kepada negara dilawati, tempoh penginapan, dan jadual perjalanan.


    4: Berapa jauhkah perjalanan yang dinasihatkan mengambil vaksin?

    Sebaiknya, vaksin perjalanan diberikan sekurang- kurangnya dua hingga empat minggu sebelum memulakan perjalanan. Kebanyakan vaksin mengambil masa untuk berkesan dalam badan dan terdapat vaksin yang perlu diberi dalam beberapa hari atau adakala, berminggu. Sesetengah vaksin diberikan beberapa kali dan harus bermula empat hingga lima minggu sebelum melancong.


    5: Adakah apa-apa lagi keperluan selain vaksin?

    Bergantung kepada destinasi, anda mungkin memerlukan preskripsi untuk pil antimalaria. Adakala pelancong juga boleh mendapat manfaat daripada ubatan yang menghalang mabuk laut. Penghalau serangga juga berguna untuk banyak destinasi.


    6: Adakah insurans kesihatan saya meliputi kos vaksin pelancongan?

    Kebanyakan syarikat insurans kesihatan menganggap perjalanan antarabangsa suatu aktiviti elektif, oleh itu tidak merangkumi vaksin perjalanan.


    7: Apakah kesan sampingan vaksinasi dan berapa lama kesannya?

    Vaksinasi boleh dikatakan tiada kesan sampingan, cuma anda mungkin mengalami sedikit kemerahan di tempat suntikan selain selesema. Bagaimanapun, kesan sampingan ini cuma kira-kira dua hari hingga seminggu.


    8: Jika saya menghidap kanser, leukemia, Aids atau masalah sistem imunisasi yang lain, bolehkah saya mendapatkan vaksin?

    Ya, boleh. Sekiranya anda mempunyai penyakit ini, anda akan termasuk dalam kumpulan berisiko tinggi, dan vaksinasi sebelum perjalanan akan memberi manfaat disebabkan sistem pertahanan badan rendah.


    9: Jika saya hamil, apakah langkah berjaga-jaga yang perlu saya lakukan?

    Masa paling selamat bagi wanita hamil untuk perjalanan adalah trimester kedua (18-24 minggu). Sebelum anda membuat keputusan untuk mengambil vaksin, bincang risiko dan faedah vaksinasi dengan doktor. Sesetengah vaksin dan beberapa pil antimalaria mesti dielakkan. Jangan lupa membincangkan cara menangani risiko yang berkaitan perjalanan serta rawatan alternatif pencegahan.

    Artikel ini disiarkan pada : 2011/11/20
  • Artikel Lain

    `