Ahad,23 November 2014

Uji kekuatan, ketahanan diri

Oleh Nor Faizah Mohamed

Erotik, lucah malah pelbagai lagi tanggapan sering dilabelkan kepada aksi tarian di tiang kerana sejak dulu masyarakat dihidangkan dengan liuk lentuk wanita seksi di kelab malam.

Biarpun tarian tiang kini mula diangkat sebagai satu daripada teknik senaman alternatif, ramai yang masih skeptikal dan memandang sinis terhadap mereka yang melakukannya meskipun tarian tiang dikategorikan dalam sukan ekstrem.

Andai ada yang berminat pun, cumalah golongan wanita manakala lelaki pula berasakan ia aktiviti kurang maskulin.

Persepsi itu cuba diubah juara tarian tiang kategori pole fit di Kejohanan Tarian Tiang Antarabangsa (IPC), Adam Tan yang menyifatkan sukan ini berupaya meningkatkan kekuatan dan ketahanan diri secara serentak.


“Boleh dikatakan tarian tiang ini antara senaman menyeluruh untuk tubuh, di mana setiap bahagian otot bergerak bagi menampung kedudukan badan di tiang.


“Teknik akrobatik yang dipraktikkan juga membuatkan otot di perut, lengan serta belakang lebih aktif, sekali gus dapat membentuk postur dengan lebih baik.

“Bagi saya, tidak timbul masalah maskulin atau tidak jika seseorang lelaki melakukannya. Saya rasa lelaki lebih mudah melakukan tarian tiang kerana mempunyai kekuatan bahagian atas tubuh untuk menahan diri di tiang.

“Tarian tiang juga memaksa seluruh tubuh bergerak dan secara tidak langsung ia membantu meningkatkan tahap fleksibiliti tubuh kita.

“Secara ringkasnya, tarian tiang ini adalah kombinasi latihan kekuatan, ketahanan dan fleksibiliti dalam satu aktiviti menyeronokkan. Ia seperti yoga, pilates dan kardio, semuanya dalam satu,” katanya.

Adam mula membabitkan diri dalam sukan tarian tiang sejak 2008 selepas melihat kakaknya, Emily Tan, mengendalikan kelas tarian tiang di pusat latihan Viva Vertical yang mana Emily adalah pengarah latihan di pusat itu.

“Saya mulanya sekadar ingin mencuba. Saya lihat ia senaman yang menyeronokkan. Bermula daripada suka-suka, saya kemudiannya berminat untuk serius dalam sukan ini.

“Selepas enam bulan berlatih, saya tampil melakukan persembahan buat pertama kali­nya di Kejohanan Pole Idol. Saya bagaimanapun cuma menduduki tempat ketiga,” ujarnya yang kini antara tenaga pengajar tarian tiang di Viva Vertical.

Pengalaman itu membuatkan jejaka ber­usia 22 tahun ini terus teruja untuk menyertai kejohanan dan IPC menjadi pentas berikutnya yang berlangsung di Tokyo, Jepun pada 2010.

Adam muncul juara bagi kategori pole art yang memberi tumpuan kepada aspek artistik dalam tarian tiang.

Gelaran juara sekali lagi menjadi miliknya di Kejohanan Pole Malaysia 2011, di mana Adam mengungguli kategori keseluruhan. Pencapaian itu membolehkannya beraksi di IPC, Hong Kong tahun lalu dan pulang dengan kejuaraan bagi kategori pole fit.

Asasnya dalam tarian hip hop cuba diguna­kan sebaiknya dalam setiap persembahan.

“Saya bermula sebagai penari hip hop dan ia akan terus menjadi keutamaan saya. ­Aktiviti tarian tiang ini pula saya lakukan secara separuh masa kerana ia lebih kepada aktiviti kecergasan.

“Saya tidak begitu aktif dalam sukan lain dan jarang ke gimnasium. Justeru, tarian tiang ini sudah cukup sebagai rutin senaman ­lengkap untuk tubuh saya,” ujarnya.


Alternatif terbaik

Bagi Yasuaki Tsutsui, lokasi gimnasium yang agak jauh dari rumah serta tempat kerja menyukarkannya melakukan aktiviti kecergasan.

Ditambah dengan pengalamannya ­dalam industri sarkas ketika menetap di Australia beberapa tahun lalu, Yasuaki memilih tarian tiang kerana rutin akrobatik yang sama seperti yang dilakukannya sebelum ini.

“Ketika itu, rutin akrobatik saya tertumpu pada hayunan trapez dan gimnastik ­artistik. Dan apabila saya berpindah ke Malaysia tahun lalu, saya mencari aktiviti yang hampir sama hingga menemui studio Viva Vertical.

“Saya memilih tarian tiang kerana rutin serta pergerakannya sama dengan apa yang saya lakukan dulu. Ia memberi peluang untuk saya beraksi dan pada masa sama memastikan tubuh saya sentiasa dalam keadaan cergas.

“Tarian tiang juga meningkatkan lagi ­stamina saya malah ia membuatkan ­bahagian atas tubuh khususnya bahu ­serta lengan lebih kuat dan fleksibel,” ujar lelaki berusia 29 tahun ini.

Eksekutif khidmat pelanggan yang berasal dari Tokyo, Jepun ini bagaimanapun belum tampil dalam mana-mana per­sembahan atau kejohanan kerana mahu meningkatkan lagi skilnya.

“Itu adalah antara sasaran saya ­(untuk beraksi di kejohanan tarian tiang).
Tapi saya baru saja aktif dalam sukan ini, ­tidak sampai setahun. Jadi masih ­
banyak yang perlu saya pelajari sebelum beraksi di ­mana-mana kejohanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09

Artikel Lain

`