Khamis,23 Oktober 2014

Tips penjagaan kereta: Penjajaran roda elak tersasar

Kereta saya kerap bergerak sendiri ke kanan walaupun stereng menghala lurus ke hadapan. Ada kawan yang mengatakan bahawa saya perlu membuat ‘alignment’.

Kereta saya baru enam bulan diguna dan ini kali pertama saya menghadapi masalah ini. Harap dapat memberikan pendapat untuk menyelesaikan masalah ini.

Pandu Senget,
Johor Bahru, Johor


Apa yang dikatakan sebagai ‘alignment’ itu adalah merujuk kepada penjajaran roda kereta.


Penjajaran roda adalah sebahagian daripada proses penyelenggaraan kereta yang standard. Ia adalah proses menyesuaikan sudut roda supaya semuanya dihalakan pada arah yang betul mengikut spesifikasi pembuat kereta.

Pelarasan ini untuk menyusun ataupun menjajarkan hala tayar mengikut arah kereta. Penjajaran roda yang betul akan meningkatkan prestasi tayar dan mengurangkan kehausan.

Selain itu, objektif utama penjajaran adalah untuk memastikan bahawa pergerakan kenderaan adalah lurus tanpa memusing stereng ke sebelah kiri atau ke kanan.

Kenderaan anda boleh dihantar bagi penjajaran semula di kedai kedai tayar yang menawarkan khidmat itu menggunakan kamera yang dipasang pada unit pengapit roda hadapan yang direka khas.

Biasanya akan terdapat empat unit kamera dalam sistem penjajaran roda (satu unit kamera untuk setiap roda).

Kamera itu akan berkomunikasi antara satu sama lain bagi mendapatkan kedudukan fizikal masing-masing sebelum maklumat itu disalurkan ke komputer pusat yang akan memaparkan sudut letak setiap roda anda.

Berdasarkan maklumat yang dikumpul, penjajaran roda akan dilakukan oleh mekanik dengan mengikut spesifikasi pengeluar kenderaan.

Dalam kes yang lebih teruk akibat pelanggaran lopak yang kuat ataupun kemalangan, akan membuatkan bahagian kenderaan perlu digantikan jika bengkok atau rosak sehinggakan pelarasan secara manual tidak lagi mampu dilakukan.

Harus difahamkan bahawa tidak semua kenderaan mempunyai roda yang selari pada
mata kasar.

Sebelum adanya sistem komputer dan juga penjajaran empat roda, ia dilakukan menggunakan benang yang ditarik ke sekeliling semua roda.

Malah ada lagi mekanik ‘senior’ yang menggunakan teknik mata atau benang bagi pemeriksaan akhir sebelum memandu uji kenderaan yang sudah dijajarkan semula.

Penjajaran sudut juga boleh diubah daripada spesifikasi asal bagi mendapatkan ciri pengendalian tertentu, namun ia hanya dilakukan dalam sukan permotoran bagi menyelaraskan sudut tayar tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12