Selasa,21 Oktober 2014

Tiga maut kemalangan di Melaka

MELAKA: Tiga maut dalam satu kemalangan melibatkan sebuah van dan lori di Kilometer 191.9 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Johor Bahru dekat susur keluar Ayer Keroh di sini, awal pagi tadi.

Mangsa yang maut dalam kejadian pada 3.30 pagi itu merupakan seorang warga Indonesia bertaraf penduduk tetap Bosimai Tooh, 41, serta dua lagi warga Indonesia Aditiawarman, 37, dan Poniman Zubir, 26.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata siasatan awal mendapati van yang dipandu Bosimai sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Baharu sebelum dipercayai melanggar belakang lori sebaik tiba di tempat kejadian.

"Kita percaya van tersebut mungkin dipandu laju sebelum melanggar belakang lori yang sedang mendaki jalan berbukit di lokasi kemalangan," katanya.

Beliau berkata akibat pelanggaran itu, ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Jasin untuk dibedah siasat.

Katanya pemandu lori Che Alfadzilah Isa, 38, yang dalam perjalanan ke Senai Johor tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24
`