Khamis,23 Oktober 2014

Tak selesa rahim jatuh

SAYA berusia 36 tahun dan mempunyai lima anak. Berat saya 42 kilogram dengan ketinggian 151 sentimeter. Saya tidak pernah melakukan sebarang pembedahan.

Masalahnya, saya berasa seakan-akan peranakan saya mudah jatuh dan sentiasa rasa kembang pada bahagian pintu faraj. Faraj saya juga sentiasa keluar cecair seperti lendir warna jernih yang banyak. Ada jururawat menyuruh saya mengangkat kaki ke atas dalam keadaan baring dan menolak peranakan menggunakan tangan serta melakukan kemutan. Namun masalah saya hanya hilang sementara saja dan berulang kembali. Benarkah tekaan saya mengenai peranakan jatuh? Bagaimana kita boleh mengetahui peranakan kita jatuh? Apakah pendapat doktor?

SIDAH,
Melaka

MUNGKIN. Ini dapat dipastikan melalui pemeriksaan fizikal mudah oleh doktor sakit puan. Sekiranya bahagian rahim yang 'jatuh' itu sudah turun sehingga keluar daripada faraj (iaitu kelihatan) ataupun apabila anda disuruh meneran, bahagian rahim terbabit turun lagi sehingga kelihatan pada pintu faraj, maka sah anda mempunyai peranakan jatuh yang lebih dikenali sebagai prolaps uterus atau rahim. Hamil dan meneran sewaktu bersalin banyak kali terutama jika sebanyak lima kali atau lebih, ia juga satu faktor risiko prolaps rahim, lebih-lebih lagi jika proses meneran mengambil masa yang lama, bayi bersaiz besar, kembar, penggunaan alat bantuan forsep dan seumpamanya.


Jika prolaps tidak kelihatan, pemeriksaan fizikal tambahan yang mudah boleh dilakukan untuk mengetahui keadaan sebenar.

Terdapat empat peringkat prolaps rahim berdasarkan 'jauh mana' ia turun atau keluar. Peringkat pertama prolaps rahim tidak dapat dilihat tanpa melakukan pemeriksaan dalaman secara membandingkan aras jatuh berdasarkan aras tulang punggung tertentu iaitu spina iskum.


Selain itu, doktor akan memeriksa sama ada terdapat juga prolaps pundi kencing (dinamakan cystocele) dan prolaps usus rektum (dinamakan rectocele) kerana kedua-dua organ ini juga berada di kawasan dinding faraj. Bahagian abdomen anda juga akan diperiksa untuk mengesan sebarang pembengkakan atau ketumbuhan yang boleh menyebabkan terjadinya prolaps ini.


Benar panduan yang diberikan oleh jururawat terbabit tetapi seperti yang anda alami, ia hanya untuk sementara. Menolak kembali prolaps rahim ke dalam dapat melegakan buat sementara waktu, namun ia akan kembali jatuh apabila seseorang mula berdiri atau berjalan atau meneran. Senaman kemutan juga membantu melambatkan atau mengelakkan prolaps rahim menjadi lebih teruk, tetapi ia tidak mengubati atau memulihkan prolaps yang sudah berlaku. Rawatan sebenar adalah secara pembedahan. Buat sementara waktu, ada rawatan secara memasukkan gegelang khas (disebut cincin pessari) ke dalam faraj untuk 'menahan' rahim secara menganduh cincin pada bahagian tulang punggung. Ini juga untuk sementara waktu dan dikeluarkan atau dicuci semula sebelum dimasukkan kembali setiap satu hingga tiga bulan.

Selain itu, eloklah juga anda mengurangkan risiko yang menambah tekanan intra-abdominal (tekanan dalam 'perut') kerana ia juga boleh menjadikan prolaps rahim bertambah teruk. Faktor risiko terbabit adalah batuk berpanjangan, sembelit (meneran), mengangkat barang berat dan seumpamanya. Bagi ketinggian anda, berat badan sebenarnya dikira sedikit kekurangan. Untuk makluman, berat badan berlebihan juga boleh meningkatkan risiko prolaps rahim.


Artikel ini disiarkan pada : 2010/12/12
`