Khamis,23 Oktober 2014

Syok Sabtu: Macam pisang goreng panas

Oleh MOHD HAFIZEE MOHD AROP

Kuala Lumpur: Kempen Syok Sabtu yang diadakan bagi mendekati pembaca di seluruh negara semalam, menerima sambutan di luar jangkaan apabila rata-rata orang ramai menyerbu Geng Rovers Harian Metro (HM) untuk membeli akhbar itu.

Bagaikan pisang goreng panas apabila ada pembaca membeli sehingga 30 naskhah akhbar untuk menyertai peraduan Lagi Mudah Menang yang menawarkan hadiah sehingga RM300,000 hanya untuk sehari sempena kempen itu.

Peraduan sehari itu memberi peluang kepada pembaca memenangi hadiah pertama berupa wang tunai RM100,000 dengan menjawab tiga soalan teka silang kata dan slogan.

Pemenang utama turut menerima baucar PETRONAS bernilai RM1,000, 20 pemenang tempat kedua menerima wang tunai RM5,000 bersama baucar bernilai RM100, manakala 100 pemenang tempat ketiga akan menerima wang tunai RM1,000 bersama baucar RM50.

Foto

KETUA Pegawai Eksekutif NSTP Mohammad Azlan Abdullah (dua dari kiri) bersama Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid (kiri) dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar (tiga dari kiri) melepas kenderaan yang menyertai Harian Metro Syok Sabtu di Balai Berita NSTP, Kuala Lumpur, semalam.

Foto

PENGARANG Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar (kiri) bersama kakitangan Harian Metro mempromosi Harian Metro Syok Sabtu di Ampang.

Foto

PEMBACA cilik, Amir Suzaini Mahadi, 11 dan ayahnya mengisi borang peraduan dalam akhbar Harian Metro sempena promosi akhbar ini.

Foto

GENG Rovers Metro menarik minat orang ramai membeli akhbar Harian Metro.


Bagi menghargai pembaca yang membeli akhbar itu, HM memberi beberapa hadiah percuma seperti baucar kepada pembaca yang membeli lebih daripada dua naskhah, manakala pembaca yang membeli 10 naskhah menerima botol air eksklusif HM.


Sempena kempen itu juga, HM mencatat sejarah apabila mencetak sebanyak 1.1 juta naskhah yang menjadi rekod tertinggi jumlah pengedaran akhbar di negara ini.

Perubahan kandungan yang lebih santai dan menampilkan lebih banyak laporan berita eksklusif pada setiap Sabtu itu menarik perhatian pembaca, terutama pembaca setia akhbar itu.

Seramai 90 kakitangan yang menaiki kenderaan pacuan empat roda Raja Rimba dilepaskan pada kempen itu dari Balai Berita Bangsar dan Balai Berita 2 (BB2) Shah Alam untuk mendekati pembaca di 48 lokasi.

Majlis pelepasan di Balai Berita Bangsar disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Mohammad Azlan Abdullah, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP Datuk Abdul Jalil Hamid dan Pengarang Kumpulan HM Datuk Mustapa Omar.

Acara di BB2 pula disempurnakan Timbalan Pengarang Kumpulan HM Abdul Ghaffar Ismail, Pengurus Besar Logistik Jabatan Pengedaran NSTP Mohd Azrai Ariffin dan Ketua Bahagian Jualan Pengedaran NSTP Ahmad Suhairi Samsudin.

Mohammad Azlan berkata, penampilan lebih banyak laporan berita eksklusif pada setiap Sabtu itu mampu membawa impak kepada HM untuk kekal sebagai akhbar nombor satu negara ini.

Katanya, borang penyertaan peraduan diterbitkan dalam bentuk ‘wrap-around’ pada akhbar HM itu adalah cara terbaik untuk terus menarik minat pembaca.

“Ini adalah satu cara yang digunakan untuk menarik minat pembaca, terutama golongan muda, iaitu mengadakan peraduan serta mendekati mereka kerana trend pembaca HM ialah dalam kalangan golongan itu.

“Untuk Kempen Syok Sabtu, kita bukan saja menyasar­­kan kawasan yang mempunyai jumlah pembaca tertinggi tetapi secara keseluruhan, termasuk kawasan kaum Cina dan India,” katanya.

Sementara itu Mustapa bersiaran secara langsung dalam program berita terbitan TV3 iaitu Buletin 1.30 bagi mempromosikan kempen Syok Sabtu HM di tapak Karnival Jom Heboh di Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/01