Rabu,22 Oktober 2014

Soseh Soseh: Hidup mewah, karier tak seberapa

Seorang rakan SS memang menggilai laman sosial Instagram dan selalu juga memaparkan gambar-gambar terkininya di situ. Maklumlah, dengan sedikit proses ‘touch up’ gambar akan nampak menarik dan mampu mencuri perhatian rakan-rakannya yang lain.

Apabila ada rakan-rakan lain yang mengusik, SS perhatikan dia akan tersengih-sengih sendirian. Kadangkala perangainya nampak macam orang tak normal tapi asalkan dia tak ganggu orang lain, SS boleh terima.

Pada masa sama, dia juga rajin melihat perkembangan terbaru artis tempatan yang memilih medium ini bagi menyampaikan perkembangan terkini kepada peminat.

Pantang mereka masukkan gambar terbaru, pasti ada peminat yang suka dan berikan komen.


Dalam pada membelek Instagram itu, rakan SS terpandang gambar seorang artis yang menarik perhatiannya. Bukanlah rakan SS ini pelik melihat wajah artis wanita itu kerana dia sememangnya cantik dan bergetah.


Sebaliknya, rakan SS terpegun melihat kemewahan yang dipaparkan dalam gambar ini. Memang agak mengejutkan dan sukar dipercayai kerana penampilannya bersama kereta mewah berharga ratusan ribu yang dikatakan miliknya, serta gaya hidup yang agak moden dan mahal.

Disebabkan tak berpuas hati, dia menunjukkan gambar ini kepada SS sebagai pengesahan. Dengan sekali imbas saja, SS boleh cam memang sah tak lain dan bukan ialah seorang artis wanita yang pernah mencetuskan kontroversi dengan kisah peribadinya.

Seperti rakan SS itu, SS pun terkejut dengan gaya hidup mewahnya. Paling sukar nak percaya, dia sudah mampu memiliki kereta yang bukan calang-calang orang mampu pakai.

Lagipun secara kasarnya, SS tak nampak langsung kariernya diterima oleh peminat. Album tak laku, manakala lakonannya dalam sebuah filem pun tak menyerlah sangat sekadar mengisi ruang saja.

Bagaimanapun, menerusi satu sumber, SS diberitahu artis ini mampu hidup mewah sekelip mata kerana dibela oleh golongan kenamaan. SS terkedu kerana individu yang membelanya ini lebih daripada seorang.

Menerusi perkenalan dengan individu kaya raya ini, artis ini sering ditawarkan mengadakan persembahan di sebuah negeri. Namun bukan setakat buat persembahan, artis ini rambang mata apabila melihat wang ringgit sehingga berani menggadaikan maruah menjadi perempuan simpanan.

SS hairan kerana sampai ke tahap begitu sekali dia menggadaikan dirinya. Ingatkan selepas berlaku kontroversi dulu dia serik dan tak mengulangi tindakan kurang bijaknya sehingga dicemuh oleh ramai pihak.

Rupa-rupanya, dia masih mengulangi perangai lama. Paling tak tahan berani pula berkongsi segala-galanya di Instagram. Kata dulu sudah insaf tapi tetap juga nak buat perkara tak elok. Kalau pecah tembelang tak tahulah apa nak dijawabnya nanti.


SS: Setiap hari berdoa agar rezeki yang diperoleh diberkati Allah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/14
`