Khamis,23 Oktober 2014

Skuad hoki wanita yakin lepasi kelayakan Olimpik

KUALA LUMPUR: Walaupun skuad hoki lelaki yang mempunyai reputasi lebih tinggi gagal menempah tiket ke Olimpik London pada Julai, skuad wanita pula optimis dapat melepasi kelayakan Olimpik di Jepun pada April ini.

Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia, Dr S. Shamala berkata, sebelum ke Jepun, skuad wanita negara terlebih dahulu akan ke Korea Selatan selama 10 hari, dari 16 April ini untuk mengadakan latihan dan menyertai perlawanan persahabatan dengan pasukan negara tersebut.

"Skuad kemudian akan menghadapi kelayakan Olimpik di Kakamigahara, Jepun yang akan berlangsung dari 26 April hingga 6 Mei," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata skuad negara akan menentang Jepun, Belarus, Chile, Azerbaijan dan Austria pada kelayakan tersebut.


Di atas kertas, skuad negara yang menduduki ranking ke-23, Persekutuan Hoki Dunia (FIH), bakal menghadapi saingan sengit daripada pasukan yang mempunyai ranking yang lebih baik. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/27
`