Khamis,18 Disember 2014

Setiap inci laman dimanfaat

Oleh Hartini Mohd Nawi

KEHIJAUAN pelbagai spesies tanaman yang melatari segenap penjuru landskap di kediaman Mohd Adikan Hasan, 60, cukup memukau dan menterjemahkan keindahan semula jadi.

Tidak hairanlah saban hari, kediaman unik itu menerima kunjungan tetamu kerana terpegun dengan keunikan landskapnya.


Latar landskap hijau jelas kelihatan dari pintu pagar hingga ruang masuk utama yang turut memberikan suasana santai dan selesa sepanjang masa.

Elemen landskap kediaman yang terletak di Taman Seri Delima, Kepong, Kuala Lumpur ini diperincikan dengan barisan tanaman gantung yang diletakkan pada pintu pagar.


Di kiri dan kanan laluan ke pintu masuk utama pula diserikan dengan pelbagai spesies tanaman dalam pasu termasuk bonsai unik yang turut menarik perhatian.


"Suasana begini diwujudkan bagi memanfaatkan keluasan laman dan keindahan semula jadi landskap yang terlalu subjektif maknanya.

Foto

BERSANTAI...Mohd Adikan dan Fatimah menghabiskan masa di laman.

Foto

TIDAK TERLEPAS PANDANG...kolam air berpancuran binaan sendiri.

Foto

BERBEZA...teratai segar ditanam dalam kolam.

"Saya dan keluarga selesa dan seronok melihat latar landskap ini yang dibina lebih kurang 30 tahun lalu," kata pesara kerajaan itu.


Tidak dinafikan idea penataan landskap turut dikongsi isteri tercinta Fatimah Ahmad, 60, yang sering menemaninya menyelenggara landskap laman itu.

Di satu sudut khas binaan kolam kreatif yang ditanam teratai pastinya membuatkan mata sesiapa pun tidak terlepas pandang. Beralih pula pada ruang yang menempatkan set kerusi dan meja santai berhampiran kolam air berpancuran.


Ketenangan lebih dirasai sebaik saja terpandang kolam air berpancuran itu kerana Mohd Adikan begitu kreatif mengilhamkan sendiri reka bentuknya.


"Tanpa belanja besar, suasana tenang dan damai dapat kita nikmati kerana segalanya memerlukan kreativiti atau sedikit olahan daripada kerja tangan kita sendiri.


"Kolam air berpancuran ini saya bina sendiri dan hasilnya memberikan kepuasan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata," kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu.


Keindahan kolam berkenaan turut diserikan dengan kehadiran pelbagai spesies tanaman hijau termasuk paku-pakis dan pokok hutan yang ditanam dalam pasu gantung.


"Ruang ini juga mempunyai kenangan tersendiri apabila pernah seorang rakan yang berkunjung ke kediaman ini menghabiskan masa beberapa jam hanya kerana terpukau dengan binaan kolam air berpancuran.


"Pernah dia memberitahu saya bahawa nilai keindahan dan ketenangan semula jadi bukan bergantung kepada mahal atau murah elemen hiasannya, tetapi daya kreativiti paling penting," katanya.


Tidak ketinggalan sedikit ruang bersebelahan pintu masuk dijadikan ruang santai kedua dengan gaya hiasan sempurna dan kemas.


Rak kasut dibina berlatarkan cermin hiasan dengan ruang dinding dihiasi beberapa bingkai gambar kreatif yang menarik.


Mohd Adikan berkata semua perhiasan itu termasuk cermin adalah berasaskan bahan terbuang dengan sedikit daya kreativiti.


Paling bermakna apabila minat mengindahkan latar landskap kediaman turut dikongsi bersama sahabatnya Johari Saharudin, 59.


Malah, ketika penulis mengunjungi kediaman ini, Johari ada bersama kerana berbangga dengan keunikan landskap hasil terjemahan idea Mohd Adikan.


"Landskap semula jadi inilah yang mengeratkan persahabatan di antara kami hingga kini dan setiap hari saya mengunjungi kediaman ini dek terpukau keunikannya," kata Johari yang juga tinggal di taman berkenaan.


Sementara Mohd Adikan pula terharu dengan kesudian Johari menemaninya mencari spesies tanaman dan elemen hiasan terbaik untuk mengindahkan lagi suasana laman. "Biasanya spesies tanaman yang saya pilih dari jenis senang hidup dan diselenggara selain berupaya mewujudkan suasana hijau atau menarik sepanjang masa.


"Dalam melengkap elemen hiasan pula, bahan terbuang yang masih boleh diguna pakai sememangnya menyerikan sudut landskap laman ini," katanya.


Bagi mengelakkan kebosanan dan pandangan biasa, reka letak pasu dan elemen hiasan diubah suai kedudukan supaya suasana sentiasa segar, nyaman dan hidup.


Dari aspek penyelenggaraan pula, Mohd Adikan lebih selesa menyiram, memangkas dan membaja setiap tanaman di lamannya itu ketika pagi.


"Petuanya mudah kerana suasana pagi bagaikan terapi semula jadi yang memberikan semangat dan permulaan hari penuh makna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2010/10/22
`