Khamis,23 Oktober 2014

Serbu ‘sarang’ lerai kenderaan curi

Kuala Selangor: Rahsia kehadiran individu mencurigakan di sebuah rumah di satu kawasan terpencil di Kampung Bukit Hijau, dekat sini, terbongkar selepas rumah itu didapati menjadi lokasi kumpulan tertentu menjalankan aktiviti haram.

Rumah terbabit didapati dijadikan tempat meleraikan kenderaan haram dan aktiviti itu terbongkar sebaik polis menyerbu kediaman itu kelmarin selepas beberapa hari melakukan intipan hasil maklumat orang ramai.


Serbuan diketuai sepasukan anggota diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor Asisten Superintendan Ramle Bakar bersama 12 anggota dan seorang pegawai.

Ketua Polis Daerah Superintendan Mohd Taib Ahmad berkata, serbuan dilakukan jam 3.30 petang dan ketika diserbu, polis menemui lima lelaki yang asyik meleraikan komponen sebuah kenderaan menggunakan pelbagai kelengkapan.


Menurutnya, susulan itu, polis menahan semua lelaki terbabit berusia 22 hingga 33 tahun dan pemeriksaan terhadap rangka kenderaan yang dileraikan mereka mendapati ia sebuah kenderaan yang dilaporkan hilang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/07
`