Selasa,23 Disember 2014

Sengatan otai rock

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

KONSERT rock bersama orkestra bukan satu perkara baru kerana sudah dirintis kumpulan Metallica dan Scorpions sejak beberapa tahun lalu.

Namun, usaha Bahagian Muzik Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menganjurkan Konsert Balada Orkestra Kuala Lumpur bersama kumpulan rock, boleh dipuji kerana mengangkat martabat kumpulan ini daripada terus dipandang lekeh segelintir pihak.

Ia juga satu idea kreatif bagi membuka mata peminat mengenai kewujudan Orkestra DBKL yang selama ini tidak dipandang masyarakat. Pada persembahan pertama, April lalu, konsert ini menampilkan kumpulan Bumiputra Rockers (BPR).

Dalam persembahan yang berlangsung di Auditorium DBKL, malam minggu lalu, konsert yang diadakan dengan kerjasama Data Crest Sdn Bhd ini menampilkan ‘otai’ rock, kumpulan Utopia, Bandi Amok bersama pendatang baru, Asha Fayyed.


Boleh dikatakan, auditorium yang boleh memuatkan 600 orang itu hampir penuh. Namun jika aspek promosi dipertingkatkan, tentunya ramai ‘mat rock’ akan hadir menyaksikan konsert yang diadakan secara percuma ini. Agak menarik kerana selain orang muda, golongan yang agak berusia seperti otai rock juga hadir menonton.


Persembahan di bawah pimpinan Shadan Ahmad yang menampilkan 35 pemuzik dimulakan dengan instrumental lagu Fantasia Bulan Madu. Pentas dibuka dengan persembahan Asha yang menyanyikan lagu Joget Berseru Kasih, Seruling Kasih dan Bila Cinta Menangis.

Biarpun baru muncul dengan album pertama, finalis Bintang Asli Remaja 2006 ini tidak gugup beraksi di hadapan ­peminat yang hadir. Pengalaman luasnya yang sering diundang menjayakan persembahan pada majlis kenamaan di Negeri Sembilan, digunakan sebaiknya untuk berkomunikasi dengan peminat.

Kumpulan baru yang menggelarkan nama mereka Kaca, mempertaruhkan lagu Sesat Dalam Terang, Janji Yang Kau Janji dan Bayangan Sutera untuk memikat penonton. Seperti namanya, kumpulan anak muda ini berjaya ‘menghiris’ perasaan penonton dengan persembahan yang agresif di pentas.

Sudah tentu kehadiran Utopia dan Amok adalah kemuncak persembahan ini. Dengan barisan lagu-lagunya yang masih segar sehingga kini, nyata peminat begitu merindui Utopia. Sebaik nama mereka disebut pengacara, semua yang hadir bersorak kegembiraan.

Sempat juga penonton me­nyanyikan lagu Selamat Harijadi buat penyanyinya, Afee, yang menyambut ulang tahun kelahirannya pada 26 November.

Walaupun dipanjat usia, Afee tidak goyah menyanyikan lagu bernada tinggi, Di Sini Pasti. Sempat juga dia bercerita mengenai pengalamannya ketika menyanyikan lagu ciptaan M Nasir dan lirik Usop Kopratasa itu.

“Ramai budak muda tanya bagaimana nak menyanyikan lagu itu kerana mereka susah nak menyanyikannya ketika berkaraoke. Sebenarnya, ketika merakamkan lagu itu, saya sendiri tak senang duduk. Ada ketikanya saya kena berdiri, duduk dan keluar seketika dari studio sebelum rakaman,” katanya.

Lagu popular lain yang turut dinyanyikan pada malam itu adalah Maya Percintaan, Jemala Kasih dan Mithali Cintaku. Boleh dikatakan, hampir keseluruhan nyanyian Afee diiringi nyanyian daripada peminat yang hadir.

Kemunculan Amok yang menjadi artis terakhir juga mengundang sorakan peminat. Sudah tentu ramai yang ingin menyaksikan apakah konsep muzik berat yang dibawakan mereka serasi de­ngan orkestra seperti ­dibuktikan Metallica.

Jawapannya memang ‘ya’ kerana persembahan Amok memang menghiburkan dan memanaskan suasana hingga penonton tidak berganjak. Boleh dikatakan malam itu milik Amok kerana Bandi menyampaikan lapan lagu iaitu Lancang Kuning, Fikirkan Boleh, Matahari, Dikir Timur, Untukmu Sayang, Pergi Tak Kembali dan lagu baru, Itu Janji. Persembahan diakhiri dengan lagu Joget Tari Lenggang yang turut disertai semua artis yang terbabit pada malam itu.

Amat menarik mendengar­kan lagu Lancang Kuning dan Joget Tari Lenggang yang rancak diadunkan bersama orkestra. Gandingan ini membawa nafas baru buat lagu malar segar sebegini, sekali gus dapat membuktikan kehebatan pemuzik rock kita sekiranya diberi peluang.

Lebih daripada itu, Bandi juga membuktikan pengalaman luasnya dalam seni apabila mampu berkomunikasi dengan baik dengan penonton. Bukan setakat menyanyi, dia boleh dikategorikan sebagai penghibur kerana boleh berlawak dengan peminat serta menyelitkan kata-kata nasihat sepanjang persembahannya.

Sementara itu, ketika ditemui sebelum konsert, Shadan memberitahu, kolaborasi mereka dengan kumpulan rock tercetus selepas persembahan Ambang 2010 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Katanya, ketika itu ditampilkan Amy Search dan Ella bersama orkestra. Ternyata sambutan diterima daripada peminat begitu menggalakkan dan mencetuskan idea untuk tampil dengan orkestra bersama otai rock pula.

“Kebanyakan lagu mereka masih popular sehingga ­sekarang. Cara ini juga dirasakan terbaik untuk merapatkan lagi orkestra DBKL dengan warga kota serta pemuzik rock. Kami mengadakan latihan selama tiga minggu untuk persembahan ini.

“Lagu Amok paling susah untuk digandingkan dengan orkestra kerana susunan muziknya, tapi dengan latihan yang cukup, ditambah pengalaman dan kemahiran yang ada pada pemuzik kami, perkara ini tak mustahil dilakukan,” katanya.

Bandi pula teruja atas ­kesudian DBKL menjemput mereka beraksi. Biarpun menyifatkan konsep sebegini agak keting­galan berbanding pemuzik luar, dia gembira kerana Amok akhirnya diberi peluang.

“Pemuzik Malaysia lambat buat konsep ini walaupun ­sebenarnya kita boleh buat. Apapun, saya bersyukur kerana ini kali pertama Amok beraksi dengan orkestra. Ia satu benda yang bagus bagi membuktikan kebolehan dan menaikkan martabat pemuzik rock.

“Apa yang dibuat DBKL ini satu tindakan berani. Mulanya saya sendiri agak risau adakah gandingan ini akan menjadi. Apabila bekerja de­ngan mereka dan menga­dakan latihan bersama, ternyata mereka begitu profesional, seterusnya menjadikan persembahan pada malam ini sangat hebat dan menghiburkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2010/11/29
`