Ahad,26 Oktober 2014

Semarak minat teroka sains angkasa lepas

CABARAN yang dicatatkan di bawah antara modul program yang dijalankan ketika Program Cabaran Angkasawan 1Malaysia (PCA1M) yang berlangsung di De Baron Resort, Langkawi, Kedah pada Januari lalu.

CABARAN 1: MIKROGRAVITI DAN MAGNETIK
Untuk bergelar angkasawan, kefahaman mengenai kepentingan medan magnet terhadap bumi sangat penting. Melalui program ini, pelatih bakal didedahkan dengan keadaan orbit yang memiliki graviti sangat lemah dan tidak menampung berat.

Pelatih akan diberi peluang mencipta alat yang dapat menghasilkan medan magnet dalam program ini. Selain itu, mereka diberi pemahaman mengenai medan magnet di ruang angkasa lepas.

CABARAN 2: PROJECTILE MOTION

Ringkasnya, program ini adalah kefahaman mengenai konsep sains gerakan parabola dalam sains angkasawan. Pendedahan ini lebih tertumpu terhadap satu teori klasik berkenaan daya gerakan atau lantunan yang dipengaruhi oleh graviti.
Melalui program ini, pelatih juga akan diberi pengenalan mengenai pengalaman semasa pemilihan program angkasawan.


CABARAN 3: SESI PSIKOLOGI
Selain kefahaman mengenai sains angkasa lepas, individu yang ingin bergelar angkasawan perlu memiliki psikologi mantap, terutama daripada aspek pemikiran, emosi, motivasi, hubungan peribadi, keupayaan, akademik dan kepemimpinan.
Tiga panel psikologi yang akan melakukan penilaian terhadap tahap psikologi setiap pelatih.

CABARAN 4: KETAHANAN FIZIKAL
Cabaran ini adalah tahap penting, ia membabitkan aktiviti ikhtiar hidup. Dalam program ini, pelatih akan melakukan aktiviti lasak yang yang bukan saja menguji fizikal, malah mental mereka.
Dalam satu pengisian program, pelatih tidak boleh tidur satu malam dan perlu melakukan pelbagai aktiviti pada waktu malam berkenaan. Antaranya memasak makanan dengan sumber terhad, melakukan aksi serang hendap ala-tentera dengan mengawal kawasan yang ditetapkan, melakukan senaman tekan tubi dan berendam dalam air laut jika melakukan kesalahan.


Secara ringkas, program anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Agensi Angkasa Negara dan Yayasan Angkasawan Negara (YAM) itu adalah satu inisiatif untuk peserta merasai pengalaman unik mengenai kaedah pemilihan calon angkasawan.

Pemilihan aktiviti yang diberikan kepada peserta itu juga antara cara seseorang angkasawan dilatih sebelum berlepas ke angkasa lepas.

Pun begitu, dalam PCA1M cabaran yang dijalankan sepanjang program ini hanya 25 peratus diadaptasi daripada program sebenar pemilihan seorang angkasawan.

Menjelaskan dengan lanjut mengenai rasional PCA1M diadakan di seluruh negara baru-baru ini dan betapa relevannya ia dilaksanakan secara berterusan kelak, ikuti pandangan Pengarah Program Angkasawan Negara, Kolonel Dr Zulkefli Md Jusoh dan Angkasawan Kedua Negara, Mejar Dr Faiz Khaleed yang bertanggungjawab merealisasikan program berkenaan, termasuk pendapat pemenang PCA1M, Awang Shahrizan Awang Abu Bakar, 28.


IMPIAN DI SEBALIK PENGANJURAN PCA1M - Kolonel Dr Zulkefli

"SAYA percaya, mungkin ramai beranggapan PCA1M adalah satu program melahirkan bakat muda negara untuk menjadikan mereka angkasawan.

Anggapan ini salah. Program ini sebenarnya adalah aspirasi untuk memupuk minat dan mendidik generasi muda kita supaya menceburkan diri dalam penerokaan bidang sains angkasa.

Kita ingin mewujudkan kesedaran umum mengenai ilmu angkasa lepas ini kepada masyarakat hingga ke akar umbi bagi meneruskan kesinambungan terhadap Program Angkasa Negara (PAN) yang berjaya membawa Datuk Sheikh Muszaphar ke ISS (Stesen Angkasa Antarabangsa) melaksanakan misi saintifik di angkasa sebelum ini.

Melalui PCA1M, kita bukan saja memberi pengetahuan terhadap ilmu angkasa lepas kepada peserta, tetapi turut membuka peluang kepada mereka merasai bagaimana seorang angkasawan itu dipilih, meskipun hanya 25 peratus diadaptasi daripada pemilihan sebenar.

Yang penting, kita cuba menyampaikan ilmu angkasa ini secara bersepadu lagi. Kita bukan mahu melahirkan seorang lagi angkasawan, tetapi cuba mengembangkan bidang ini secara total.

Ramai tidak tahu, apa yang dijalankan sepanjang PCA1M tidak saja bermanfaat terhadap pemerolehan ilmu, malah peserta boleh aplikasikan apa yang mereka pelajari sepanjang program dalam kehidupan harian.

Misalnya, daripada segi aspek kepemimpinan, kerjasama berpasukan, disiplin, ketahanan fizikal dan mental mereka. Ia baik untuk membentuk peribadi seseorang, terutama generasi muda kita.

Saya gembira dengan pencapaian PCA1M. Kira-kira 38,000 calon terbabit pada fasa pertama tahun lalu, dan 28 orang lagi berjaya mara ke fasa kedua. Ia menunjukkan minat generasi muda kita dalam program ini sungguh menggalakkan.

Peserta, Awang Shahrizan (Awang Abu Bakar) yang memenangi keseluruhan program ini bakal mengikuti lawatan ke pusat latihan angkasawan Yuri Gagarin di Star City, Russia, yang dijadualkan pada tahun depan.

Pun begitu, bagi saya, semua 28 peserta yang layak ke fasa kedua adalah pemenang. Jika kita ingin lihat kemajuan di bidang sains dan teknologi, khususnya sains angkasa, merekalah (peserta) pelapisnya.

Buat masa ini, kita membincangkan untuk mengadakan kesinambungan PCA1M. Kita inginkan rentetan lanjut daripada program pertama ini supaya kita ada generasi pelapis.

Jika ada lagi program lanjutan PAN, kita sudah ada calon yang berkelayakan," kata Dr Zulkefli.


UNTUK APA PCA1M DILAKSANAKAN - Mejar Dr Faiz

"RAMAI mempersoalkan, untuk apa program ini dijalankan? Saya suka persoalan ini ditimbulkan. Cuba lihat negara maju seperti Amerika Syarikat dan Russia yang hampir separuh abad membuat penerokaan terhadap angkasa lepas. Tanya mereka, untuk apa mereka menjalankan program angkasa lepas?

Kuasa besar Asia, iaitu China juga kini giat dalam program angkasa mereka. Korea Selatan pula antara negara Asia terbaru melahirkan angkasawan.

Seoul mendapatkan tempat di dalam kapal Soyuz dan membayar AS$20 juta (RM60.61 juta) kepada Russia untuk membangunkan program terbabit.

Mengapakah Korea Selatan yang dianggap lebih maju berbanding Malaysia dalam bidang sains angkasa sanggup mengeluarkan wang sebegitu banyak untuk pembangunan program angkasa mereka?

Sudah tentu ia menarik perhatian, lebih-lebih lagi isu penghantaran angkasawan ke angkasa adalah satu perkara sensitif kerana ia membabitkan perbelanjaan besar.

Memang ia sukar dipertahankan, tambahan pula manfaat yang bakal diterima begitu tersirat dan kebiasaannya tidak boleh dinyatakan secara jelas, melainkan daripada segi ilmu dan akademik.

Jadi, itulah kuncinya. Kita perlu melihat ia daripada aspek ilmu dan akademik. Seperti Korea Selatan, harapan Malaysia adalah menyemarakkan lagi semangat anak muda kita mengenai kebolehan menerajui bidang sains angkasa.

Dengan PCA1M, kita boleh jadikan ia sebagai satu titik mula negara untuk terus meneroka sains angkasa lepas dan ia hanya dapat direalisasikan melalui pembabitan generasi muda.

Kita mungkin masih belum mampu mencipta roket ke angkasa, apatah lagi melahirkan orang yang berupaya mengendalikan kapal angkasa, menjadi jurutera angkasa, memberi arahan dan menjadi ketua di ISS serta menjadi kru di ISS selain sebagai saintis dan pengkaji di angkasa.

Pun begitu, tidak mustahil satu hari nanti kita mampu melakukannya, yang penting kita perlu langkah untuk memulakannya. Dulu pun, siapa menyangka negara bakal memiliki seorang angkasawan, iaitu Datuk Sheikh Muszaphar Shukor," kata Dr Faiz.


PENGALAMAN DALAM PCA1M - Awang Shahrizan

"PCA1M mengajar saya banyak perkara dan tidak terbatas pada pengetahuan terhadap ilmu sains angkasa, mahupun untuk menjadi angkasawan semata-mata.

Ia juga berguna untuk membina ketahanan fizikal dan mental. Daripada apa yang saya pelajari dalam program, keseimbangan dalam semua aspek kehidupan sama ada daripada segi pemikiran, akademik, emosi, motivasi, hubungan peribadi dan keupayaan diri sungguh penting.

Faktor inilah yang mungkin membuatkan saya terpilih sebagai pemenang keseluruhan PCA1M, lagi pula saya boleh berkomunikasi dengan semua orang dan tidak bermasalah menjalankan kerja berpasukan.

Sepanjang program, cabaran besar buat saya ialah ketika menjalankan aktiviti Ikhtiar Hidup. Setiap peserta tidak boleh tidur dan dalam masa sama kami perlu melakukan pelbagai aktiviti.

Jika melakukan kesilapan, kami direndam di dalam air laut, dan saya percaya ia baik untuk menguji tahap ketahanan mental seseorang.

Daripada aktiviti lasak yang kami lakukan itu, secara tidak langsung ia menunjukkan karakter sebenar kami. Sukar juga untuk menggambarkan bagaimana seorang angkasawan boleh terpilih, kerana apa kami lakukan ini hanya sedikit berbanding ujian sebenar.

Peluang mengikuti lawatan ke pusat latihan angkasawan Yuri Gagarin di Star City, Russia adalah bonus besar buat saya. Ia menjadi motivasi buat saya untuk terus berjaya dalam apa bidang yang saya ceburi.

Itu pengalaman berguna yang saya peroleh sepanjang mengikuti program ini dan saya berbangga kerana menjadi perintis bersama rakan lain dalam PCA1M," kata Awang Shahrizan.

Daripada segi latar belakang, Awang Shahrizan adalah perunding kewangan di Malaysian Assurance Alliance Bhd (MAA). Anak muda berasal dari Bukit Katil, Melaka ini berkelulusan Diploma dalam Teknologi Maklumat, Kolej Yayasan Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/03/06
`