Ahad,23 November 2014

Saham FGV mewah

Oleh Helmy Abd Rahman

GOLONGAN peneroka dan pemilik saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) yang akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia, 28 Jun ini, disaran menyimpan saham berkenaan untuk tempoh jangka panjang berdasarkan potensi besarnya terus meningkat, sekali gus mampu memberi pulangan dividen tinggi kepada pelabur.

Penganalisis saham, Nazarry Rosli berkata, ini kerana saham FGV bersifat mewah dan kukuh berikutan mendapat sokongan kerajaan selain pelabur institusi besar di negara ini.


“Sebenarnya apabila menyentuh konsep pelaburan bagi saham mewah seperti FGV, adalah lebih baik untuk pelabur menyimpan saham bagi jangka panjang atas dua faktor iaitu potensi peningkatan harga dan pemberian dividen tinggi.

“Contohnya, ketika Bursa Malaysia yang juga saham diniagakan di kaunter mewah disenaraikan dulu pada harga RM3 yang kemudiannya mencecah RM16 dan pemilik sahamnya, seingat saya pernah dua kali menerima dividen melebihi RM1 (sesaham),” katanya kepada Bisnes Metro di Kuala Lumpur, semalam.


FGV akan menawarkan 2.19 bilion saham biasa yang 1.915 bilion ditawarkan kepada pelabur institusi Bumiputera dan pelabur institusi asing, manakala baki 273.61 juta saham lagi diperuntukkan kepada pelabur runcit.


Bahagian runcit tawaran awam permulaan (IPO) saham FGV itu akan ditawarkan pada harga lebih rendah berbanding harga institusi iaitu sebanyak RM4.55 sesaham, manakala harga institusi pula ditentukan menerusi proses penetapan harga.

Berdasarkan petunjuk harga RM4.55 juta sesaham, FGV dijangka mampu mengumpul RM10.5 bilion, sekali gus menjadikan IPO syarikat itu sebagai terbesar di Asia dan kedua terbesar dunia selepas IPO facebook setakat ini bagi 2012.


Mengulas lanjut, Nazarry berkata, penyenaraian FGV juga tepat pada masanya kerana ia akan merancakkan pasaran dengan menambah kecairan di Bursa Malaysia, lebih-lebih lagi ketika keadaan pasaran agak lembap pada masa ini.

“Dengan adanya FGV, tentunya akan merancakkan pasaran yang agak lembap ketika ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/06/02

Artikel Lain

`