Ahad,26 Oktober 2014

Resort di tengah hutan

Oleh Suliati Asri

Keheningan pagi dengan bunyi unggas dan burung yang merdu ditambah cuaca sejuk yang menusuk sampai ke tulang benar-benar mencergaskan mata yang masih mengantuk.

Kehijauan alam semula jadi berusia 130 juta tahun cukup mendamaikan, sekali gus memberikan penga­laman yang sukar diperoleh di mana-mana.

Bersarapan pagi di tepi sungai dengan deruan air yang mengalir membuat­kan santapan di pagi itu cukup bermakna.

Mahukan rasa yang cukup eksklusif itu? Mutiara Taman Negara adalah lokasi terbaik.


Berkonsepkan perkampungan dalam hutan dan dibangunkan di atas tapak 15 hektar di Taman Negara Pahang, resort ini menawarkan kemudahan mewah dan selesa bagi anda yang cintakan kedamaian dan alam semula jadi.


Menginap di resort ini buat kali ketiga, suasana dan ketenangan yang disajikan terutama kehijauan alam semula jadinya masih sama.

Namun, bilik chaletnya punya sedikit perubahan dan nampak lebih bergaya, moden serta mewah.

Di bawah seliaan pengurus besar yang baru, Nathan Vaithi, pengubahsuaian yang dijangka siap sepenuhnya pada Mei ini akan memberikan pengalaman baru kepada pengunjung.

Resort yang menawarkan 130 bilik, pengubahsuaian yang dimaksudkan Nathan banyak membabitkan dalaman chalet antaranya tilam, perabot serta lobi yang berwajah baru, tetapi masih mengekalkan konsep tradisional.

Beliau berkata, pengubahsuaian ini adalah penting bagi memberikan keselesaan dan pengalaman baru buat pengunjung.

“Seperti sebelumnya, setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan penghawa di­ngin, kipas siling, tandas, air panas serta sejuk.

“Semua kemudahan itu masih dikekalkan, tetapi ditambah dengan mini bar, perabot dan katil baru, peti keselamatan dan juga bilik air yang lebih moden,” katanya.

Atas permintaan, Jun ini, sesetengah bilik akan dilengkapi televisyen dan telefon.

“Dulu, kami tidak menye­diakan televisyen dan telefon supaya pengun­jung dapat rehat dan menikmati kehijauan alam semula jadi,” katanya.

Mengetengahkan ‘tagline’ baru iaitu ‘Experience beyond word’, pengalaman menginap di Mutiara Taman Negara ini sesuatu yang cukup mengujakan.

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini termasuk ‘Night Jungle Walk’, laluan kanopi, ‘Rapids Shooting’, berkunjung ke perkampungan Orang Asli dan juga mandi di air terjun.

“Menerusi pembaharuan ini termasuk meningkat perkhidmatan, Mutiara Taman Negara menjanjikan pengalaman terbaik untuk bersantai.

“Saya berazam meletakkan Mutiara Taman Negara dalam senarai desti­nasi yang terkenal di negara ini.

“Saya juga berharap agar lebih banyak pelancongan terutama tempatan bercuti dan merasai sendiri keunikan di hutan hujan tertua di dunia ini,” katanya.

Pakej yang disediakan di Mutiara Taman Negara termasuk penginapan, makan minum dan perkhidmatan jurupandu untuk aktiviti `Night Jungle Walk’, merentas hutan ke laluan kanopi, ‘Rapids Shooting’, Melawat Perkampungan Orang Asli dan tambang bas pergi-balik dari Kuala Lumpur ke Kuala Tembeling serta tambang bot pergi-balik dari jeti Kuala Tembeling.

Buat kali pertama­nya, Mutiara Taman Negara dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan PERHILITAN akan mengadakan Sambutan Hari Tapir Sedunia.

Pelbagai aktiviti yang dijalankan termasuklah melihat sendiri tiga ekor Tapir di resort itu.

Layari laman web, www.mutiarahotels.com untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/18
`