Isnin,20 Oktober 2014

RM80,000 untuk kursus jahitan, kecantikan

Oleh Siti Zarinah Sahib

“SAYA mahu me­nyediakan kursus kecantikan dan jahitan kepada ibu tunggal, Orang Asli serta mereka yang tidak berkemampuan.

“Apabila tamat kursus saya akan memberi semua peralatan yang mereka gunakan secara percuma,” kata wanita ini bersungguh-sungguh ketika ditemu duga tiga panel penilai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi memilih enam penerima Dana Belia yang akan menerima geran RM80,000.

Bukan itu saja, Site Rohainie Ramli, 29, dilihat begitu bersungguh-sungguh ketika melontarkan idea dan tidak kekok memberikan pendapat dan ini adalah salah satu sebab dia terpilih bersama lima lain sebagai penerima Dana Belia 2011.

Ketika berkunjung ke Taipan Bandar Bukit Raja, Klang, Site Rohainie mengotakan janjinya apabila mengendalikan kursus kecantikan dan jahitan kepada 40 wanita terdiri daripada ibu tunggal dan wanita kurang berkemampuan.

Foto

TINJAU...Site Rohainie meninjau peserta yang menjalani kursus kecantikan.

Foto

BERSUNGGUH-SUNGGUH...peserta mempraktikkan ilmu yang dipelajari.


Bilik ala pejabat ini lengkap menyediakan peralatan menja­hit, tidak ubah seperti sebuah kedai jahit yang menempatkan 24 peserta manakala bersebelahannya terdapat 16 wanita sedang bertungkus-lumus mempelajari teknik urutan wajah.


Menurutnya, idea untuk membuka kelas jahitan dan kecantikan timbul kerana memahami kehendak wanita yang ingin memulakan perniagaan, tetapi tidak mempunyai modal.

Sebab itu, dia bukan saja menyediakan kemahiran, malah membekalkan peralatan percuma serta memantau perjalanan perniagaan mereka selepas tamat kursus kelak.
“Saya faham ramai wanita mempunyai idea, tetapi tidak tahu menggunakannya disebab­kan kekangan modal.

“Justeru, dengan kemahiran serta peralatan percuma diharap dapat membantu mereka menambah pendapatan keluarga.

“Sekurang-kurangnya mereka boleh menjahit pakaian sendiri dan anak-anak serta memberikan perkhidmatan mengurut dari rumah ke rumah,” katanya.

Dalam nada gembira, Site Rohainie menjelaskan niatnya cuma satu, ingin membantu wanita luar bandar terutama ibu tunggal yang tiada mata pencarian supaya mereka dapat menggunakan kemahiran yang ada untuk meningkatkan taraf hidup.

Justeru, selepas terpilih dia terus mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mencari peserta. Ini kerana dia mahu pastikan hanya mereka yang benar-benar layak saja ditawarkan mengikuti kursusnya.

“Saya menetapkan kriteria untuk ibu tunggal, Orang Asli dan orang susah terutama yang memiliki anak ramai serta tidak bekerja.

“Ini kerana saya mahu membantu wanita yang ingin membuka perniagaan, tetapi tidak mampu melaksanakannya. “Sekurang-kurangnya minda mereka terdedah untuk memulakan sesuatu yang bukan saja membawa kebaikan kepada diri tetapi juga masyarakat,” katanya yang meminati bidang kecantikan sejak remaja.

Selepas tamat tingkatan lima, dia terus mengikuti kursus kecantikan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Kubu Baru kemudian bekerja di beberapa salun sebagai terapi kecantikan sebelum menjadi tenaga pengajar Yayasan Pendidikan di Petaling Jaya pada 2009.

“Pengalaman sepanjang menjadi tenaga pengajar sa­ngat berguna dan semua ilmu ini saya sampaikan menerusi modul pembelajaran yang saya sediakan,” katanya.

Sepanjang tempoh tiga bulan bermula 20 April lalu, semua 40 wanita ini mengikuti kursus kecantikan dan jahitan dikendalikan tenaga pengajar bertauliah daripada Yayasan Pendidikan.

Mereka didedahkan dengan kursus asas jahitan seperti teknik memotong, membuat pola dan menjahit baju kurung serta teknik menjahit gaun kanak-kanak.

Untuk rawatan wajah, latihan membabitkan teknik mencuci dan mengurut wajah, teknik solekan siang, malam, solekan pengantin serta urutan selepas bersalin.

Bukan itu saja mereka turut didedahkan kursus perniagaan dan asas perakaunan.

Kelas dikendalikan pada Sabtu dan Ahad bermula pada jam 9 pagi hingga 4.30 petang dan akan berakhir Julai ini.

Menurut Faridah Hanim Abdullah Zain, 18, dia mengetahui mengenai kursus kecantikan menerusi kakak iparnya yang turut mengikuti kursus jahitan.

Sebelum ini dia memang berminat dalam bidang kecantikan namun disebabkan bayaran mahal untuk mengikuti kursus dia tidak mampu mengikutinya.

“Saya bersyukur kerana dapat mengikuti kursus percuma ini, sekurang-kurangnya selepas tamat kursus saya boleh bekerja di salun untuk mencari pengalaman atau membuka perniagaan,” kata anak ke-10 daripada 12 beradik ini.

Pendapat ini dipersetujui ibu tunggal Hanishah Mohd Mukhtar, 37.

Dia yang berasal dari Perak ini hilang mata pencarian selepas suami meninggal pada 2008.

“Ketika suami meninggal saya sedang mengandung anak kelapan.

“Selepas bersalin saya bekerja di pasar raya namun terpaksa berhenti disebabkan anak sakit.

“Selepas anak sihat saya cuba mencari pekerjaan lain tetapi hampa sehinggalah rakan mengajak saya menyertai program ini,” katanya yang turut menerima bantuan JKM.

Hanishah mengakui kursus kecantikan yang diikutinya ini sangat berguna kerana sebelum ini dia pernah mengikuti kursus andaman namun tidak dapat mempraktikkan disebab­kan kekangan modal untuk membuka perniagaan.

“Saya mahu belajar bersung­guh-sungguh dan apabila keluar nanti dengan ilmu dan peralatan diberikan saya mahu memulakannya dengan memberikan perkhidmatan dari rumah ke rumah. Mungkin menyediakan khidmat urut selepas bersalin atau melakukan rawatan wajah,” katanya.

Bagi Rashadah Hamid, 46, dia mengikuti kursus jahitan disebabkan galakan suami.

“Daripada duduk di rumah saja, ada baiknya saya belajar sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada keluarga. Sekurang-kurangnya dengan ilmu yang saya miliki walaupun tidak membuka perniagaan, saya boleh menjahit baju sendiri dan anak-anak,” katanya yang meminta kerjasama suami untuk menghantarnya pergi dan balik sepanjang latihan.

Sebelum ini dia langsung ti­ada asas menjahit namun selepas hampir sebulan mengikuti kursus banyak peningkatan ditunjukkan.

“Saya belajar memotong, membuat pola dan menjahit baju kurung. Saya sangat teruja melihat baju yang sudah siap. Macam tidak percaya saya boleh menjahit sepasang baju kurung,” katanya gembira.

Menurut Naib Presiden Sosial Korporat 1MDB, Azura Annuar sejak dilancarkan pada Januari lalu pihaknya menerima hampir 600 permohonan daripada belia yang berumur antara 15 dan 40 tahun.

Namun lebih separuh terpaksa ditolak disebabkan tidak memenuhi kriteria ditetapkan.

“1MDB terpaksa menapis permohonan kerana ada pemohon tidak memenuhi kriteria selain tidak sesuai dipertimbangkan untuk menerima dana.

“Ada juga pemohon menepati kriteria, tetapi projek mereka kurang berkualiti dan tidak mampu mencapai tahap 1MDB,” katanya.

Jelas Azura, dana berbentuk geran bernilai RM80,000 ini disediakan kepada belia sebagai platform untuk mereka melahirkan harapan, idea dan kreativiti menerusi projek diilhamkan dan pada masa sama, membantu mempromosikan perpaduan.

Menurutnya, Site Rohainie dipilih bersama lima yang lain kerana dia menepati kriteria selain mempunyai idea berbeza serta boleh membawa kebaikan kepada masyarakat setempat. Dia juga mampu bergerak sendiri melaksanakan projek dan mencipta banyak peluang kepada masyarakat ke arah yang lebih positif dan produktif.

Selain Site Rohainie, lima penerima lain ialah Kevin Zahri Abdul Gaffar (membangun laman web sukan), Koh Kang Boon (filem antimerokok), Nasrul Amri Samsudin (aplikasi komputer untuk usahawan), Sharifah Nur Fardillah Wan Saufi (menyedia laman web pendidikan khas untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia) dan E Thayalan (peraduan fotografi).

Untuk penerima sulung, 1MDB memperuntukkan RM710,000 kepada enam penerima terbabit dengan setiap individu menerima dana antara RM80,000 dan RM150,000 bergantung kepada saiz projek.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/05/24
`