Ahad,23 November 2014

Pukul, tetak sampai mati

Oleh MOHAMAD HUSSIN

Alor Setar: “Saya terkejut mendapat berita anak saya mati kena tetak. Baru dua minggu lalu saya menghubunginya dan dia kelihatan seperti biasa dan ceria,” kata Wan Mahmud, 69, ibu kepada Mohammad Najib Bakar, 37, yang maut ditetak dalam pergaduhan berhampiran tanah perkuburan Hindu di Lorong Sharif, Jalan Langgar, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.29 malam, mangsa dikatakan dipukul dan ditetak di belakang kepala, leher dan kedua-dua kakinya oleh sekumpulan lelaki di kawasan itu.


Difahamkan, mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, kerana cedera parah.

Wan berkata, dia terkejut apabila polis memaklumkan kejadian itu kerana anaknya tidak menunjukkan perubahan sikap, malah kelihatan seperti biasa dan sangat ceria.


“Arwah memang anak yang bertanggungjawab, bermurah hati serta selalu menghormati orang tua. Saya tak sangka arwah mempunyai musuh sehingga mereka sanggup memukul dia sehingga mati.


“Perbuatan itu sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan kerana sanggup memukul anak saya dengan teruk. Kalaulah dia ada buat salah, takkan sampai nak membunuh,” katanya yang ditemui di rumahnya di Flet Tongkang Yard, di sini, semalam.

Foto

NAIB Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abdul Muthalib Harun, (kiri) melawat ibu mangsa, Wan (kanan) atas kematian anaknya.

Menurutnya, dia tidak menemui arwah sejak sebulan lalu kerana pergi ke rumah anak perempuannya yang baru melahirkan cucunya di Kota Sarang Semut, di sini.


“Arwah anak keenam daripada tujuh beradik tinggal bersama saya di Tongkang Yard sejak beberapa tahun lalu. Arwah belum berkahwin dan hanya membuat kerja kampung jika ada yang meminta pertolongannya seperti menebang pokok dan membina rumah di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Md Jan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.


Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian seorang lelaki dipukul dan ditetak berhampiran perkuburan Hindu di Lorong Sharif, Jalan Langgar, di sini.


“Berdasarkan maklumat itu, anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa rebah dalam keadaan cedera parah.


“Kami menghubungi ambulans dan membawa mangsa ke HSB. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.


“Mangsa cedera parah akibat tetakan di belakang kepala, leher serta kaki kiri dan kanan,” katanya.


Adzaman berkata, semakan rekod mendapati mangsa mempunyai rekod jenayah lampau dan terbabit dalam dua kes narkotik pada 2007 dan 2008.


“Polis masih menjalankan siasatan mengenai punca pergaduhan itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

Artikel Lain