Ahad,23 November 2014

Pilihan raya kecil Kuala Besut mungkin pada Ramadan

Oleh Hairulazim Mahmud

KUALA LUMPUR: Pilihan raya kecil Kuala Besut mungkin diadakan pada Ramadan ini selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Dr A Rahman Mokhtar meninggal dunia akibat paru-paru berair pagi tadi.

Untuk itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memanggil mesyuarat khas dalam tempoh 10 hari sebaik kerusi berkenaan disahkan kosong oleh Speaker DUN Terengganu, Mohd Zubir Embong bagi menentukan tarikh pilihan raya kecil pertama pasca Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Selain itu, mesyuarat berkenaan akan menentukan tarikh keluar notis, penamaan calon, tempoh kempen dan hari pengundian.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, mengikut Perlembagaan pilihan raya kecil hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari selepas kematian berkenaan.


"SPR menunggu surat pengesahan kekosongan daripada Speaker DUN dan proses lain akan kita buat seperti biasa mengikut peraturan serta undang-undang sedia ada," katanya kepada Harian Metro, di sini, hari ini.


Terdahulu Dr A Rahman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri meninggal dunia setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kira-kira seminggu lalu akibat komplikasi paru-paru berair.

Bagaimanapun Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.18 pagi tadi.

Beliau meninggalkan balu, Azizah N Omar dan empat anak, Mohd. Zaihan, Mohd. Razhan, Mohd. Zaffuan dan Nurul Najihah.

Dr A Rahman dilahirkan pada 22 Mac 1958 di Kampung Pulau Perhentian, Besut adalah pemegang ijazah kedoktoran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang kemudian menyambung pelajaran ke Kolej Kesihatan Umum Universiti Of Philippines di Manila sebelum dilantik sebagai Exco kerajaan negeri sejak 2008.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/26

Artikel Lain

`