Isnin,22 Disember 2014

Petikan gitar 4 legenda

Oleh Norhadiani Baharom

KEDUDUKAN mereka sering di belakang penyanyi dan sekali-sekala menerajui hadapan pentas, namun populariti mereka sehebat vokalis dalam sesebuah kumpulan.

Menambat pendengar hanya dengan petikan jari yang punya kuasa magis, siapa tidak kenal pada empat pemuzik handalan ini - Man Keedal, Hillary Ang, Joe dan Kid.

Sebut saja nama mereka, secara automatik peminat kaitkan dengan posisi mereka sebagai gitaris yang mewakili kumpulan gergasi seperti Letfhanded, Wings dan Search.

Bukan sekadar hebat di posisi mereka sendiri, kewujudan dan kemunculan empat gitaris handalan ini setiap kali di pentas membawa aura dan memberi impak pada penonton yang membanjiri stadium.


Itulah hakikatnya era kegemilangan muzik rock tanah air, sesebuah kumpulan bukan hanya hebat kerana vokalis saja, tetapi juga kerana ahli kumpulan yang lain.


Mereka adalah ahli kumpulan yang diminati atas merit mereka sendiri sebagai pemain muzik yang sangat mahir dan corak permainan yang tersendiri. Tidak hairanlah jika era 80-an dan awal 90-an, gitaris juga mempunyai peminatnya sendiri yang sangat tinggi impaknya.

Atas kenangan unik inilah, pihak RK Polaris menganjurkan konsert istimewa yang menggabungkan empat gitaris tersohor negara yang diberi nama Konsert G4: Petikan Legasi.

Konsert berlangsung pada 30 September 2012 bermula jam 8 malam itu akan diadakan di KL Live Centre, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Sharifah Mursidah Syed Malik selaku penganjur Konsert 4G berkata, konsert yang menampilkan empat gitaris itu diketengahkan kerana konsep persembahan seumpama itu belum pernah diperkenalkan sebelum ini.

“Saya difahamkan barisan pemuzik yang terbabit, persembahan ini pernah dijayakan mereka sekali saja, itupun dalam durasi yang singkat sewaktu menjayakan konsert Satu Suara tidak lama dulu.

“Bagaimanapun, menerusi Konsert G4: Petikan Legasi ini, setiap seorang daripada mereka akan beraksi selama 30 minit, sekali gus memainkan lagu yang bersifat peribadi dan rasakan ‘feel’ setiap kali memulakan sesi petikan gitar.

“Ia tidak semestinya lagu hit daripada kumpulan mereka saja, boleh jadi lagu kumpulan Barat atau karya tempatan yang lain. Yang pastinya, lagu dimainkan mereka adalah karya yang memberi impak besar kepada siapa diri mereka hari ini.

“Man Keedal misalnya, penganjur difahamkan beliau akan berkolaborasi dengan kumpulan dari Singapura Yazid Lovehunters.

“Kid, Joe dan Hillary pula masih menantikan jawapan artis yang akan bekerjasama dengan mereka berikutan berlaku perubahan pada tarikh konsert itu,” katanya.

Sharifah menambah, pemilihan empat gitaris berkenaan dibuat atas konsistensi pengaruh mereka dalam dunia gitar Malaysia.

Konsert G4 ini turut diserikan dengan penampilan artis undangan istimewa.

“Pemain gitar hebat ini berada dalam arena muzik lebih dari 20 tahun.

“Untuk mencipta nama sebagai gitaris yang hebat dan dihormati, kesungguhan, minat dan kesedaran untuk terus majukan diri adalah elemen penting memacu kerjaya mereka yang sehingga kini masih relevan untuk pendengar dan peminat.

“Konsert ini juga boleh dijadikan ruang untuk belajar bagi anak muda yang mempunyai minat mendalam terhadap peralatan muzik gitar dan menjadikan ia sesuatu pekerjaan yang menjamin masa depan,” katanya.

Pada pencinta petikan magis Man Keedal, Hillary, Joe dan Kid, jangan lepaskan peluang menonton konsert ini dengan kadar harga tiket RM100 dan RM120 yang sudah boleh ditempah dengan menghubungi 016 6838444 (Aszuad), 019 9412345 (Dino) serta 019 6249443 (Faiz).

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/08
`