Sabtu,25 Oktober 2014

Pergerakan tangan mesti pantas

Oleh Siti Salmiah A Hamid

PERMAINAN boneka bertali atau ‘string puppet’ antara seni persembahan yang diketahui memerlukan kepakaran dan kemahiran tinggi kerana tangan si pengendali boneka perlu pantas untuk memukau pandangan penonton.

Ini yang dibuktikan dua pengendali boneka bertali profesional sewaktu mengadakan persembahan di Genting International Showroom, Resort World Genting, baru-baru ini.

Pergerakan tangan yang pantas seiring alunan muzik begitu sebati dengan personaliti bertenaga John Chisholm dan Josef Probst.

Kedua-dua pengendali boneka itu menghasilkan pertunjukan bersemangat dan menyeronokkan dengan menggunakan pelbagai boneka bertali hanya dalam satu pergerakan.

Foto

KESEMUA boneka bertali yang digunakan dalam persembahan.

Foto

Foto

PASANGAN lembu comel dengan gaya tersendiri.

Foto

JOHN (kiri) dan Josef (kanan) bersama boneka bertali.


Menerusi 88 boneka, John Chisholm dan Josef Probst beraksi di persembahan pentas di Genting Highland yang menjanjikan hiburan untuk semua peringkat umur.


John Chisholm, 62, dari North West, England, memulakan kerjayanya sebagai pembuat boneka serta mengadakan persembahan boneka dengan sebuah rangkaian televisyen (TV) utama Britain selain mendapat jemputan di sekitar United Kingdom.

Ia termasuk persembahan gala untuk Duke of Edinburgh, Putera Philip dan Royal Variety Show di London Palladium sebelumnya Ratu Elizabeth dan Ibu Ratu.

Menurut John, dia memulakan kerjaya sebagai pengendali boneka bertali sejak 1971.

“Namun, ia adalah cabaran yang besar untuk memulakan persembahan ini kerana setiap boneka mempunyai keunikannya tersendiri sama ada rupa dan pakaian terutama watak yang dimainkan.

“Contohnya boneka yang membawa watak Michael Jackson terkenal dengan pergerakan atau tarian ‘moonwalk’.

“Bukan saja sukar mempelajari tarian ini malah saya perlu menyamakan pergerakan tangan dengan pergerakan kaki boneka yang menari moonwalk, mengikut rentak muzik yang dimainkan.

“Selain itu, setiap boneka perlu diperbaharui dan diperbanyakkan pergerakannya membabitkan mata, tangan, kaki, badan, kepala dan keseluruhan ruang persembahan digunakan bersesuaian dengan watak dan tema muzik,” katanya.

Persembahan untuk satu boneka mengambil masa 45 minit. Mungkin agak mengecewakan kerana masa yang diperuntukkan adalah sangat singkat.

Namun, pengendali boneka bertali terpaksa mempercepatkan masa persembahan kerana sekiranya terlalu lama boleh menyebabkan penonton bosan.

“Untuk membiasakan diri dengan boneka bertali yang akan dipersembahkan, saya mengambil masa sekurang-kurangnya empat minggu daripada penciptaan boneka itu dan melatih jari mengikut muzik seiring pergerakan boneka.

“Ia untuk membiasakan diri dengan setiap boneka kerana perkara paling utama ialah menggerakkan kepalanya mengikut rentak lagu.

“Di situ terletaknya kelebihan pengendali boneka yang perlu mahir dengan penggunaan tali atau ‘string’ yang sangat berguna untuk menyokong pergerakan boneka.

“Tanpa kelebihan jari jemari yang mahir menggunakan tali, persembahan boneka dianggap cacat kerana kepantasan dan keunikan persembahan seharusnya memberi keseronokan kepada penonton,” kata John.

Josef Probst, 60, dari Vienna, Austria, bermain boneka sejak 1974 dan merantau ke seluruh Eropah untuk mengadakan persembahan.

“Bermula pada 1982, kami bergabung melakukan persembahan bersama sehingga ke peringkat antarabangsa.

“John sudah dikenali ramai kerana bukan saja mahir mengendalikan boneka bertali malah mencipta kostum dan bonekanya sendiri.

“Pelbagai gelaran diberikan kepada boneka terbabit malah ada yang mengikut watak pelakon atau watak dalam filem tertentu seperti Thor si kapten kapal, Mae, Lola, Yanosh si pemain biola dan Puan Spade antara ahli keluarga mereka.

“Untuk mencipta boneka memerlukan kerja tangan yang sangat halus dan teliti selain persembahan yang memerlukan pergerakan pantas, berseni, unik dan naratif berbilang bahasa.

“Lebih 30 tahun kami mengasah bakat membolehkan semua persembahan boneka bertali kelihatan sempurna serta memberi keseronokan kepada penonton,” katanya.

John dan Josef berjaya mencapai kejayaan cemerlang menerusi persembahan boneka bertali yang menghiburkan penonton di seluruh Amerika Syarikat, Eropah, Timur Tengah dan Asia.

Mereka turut meluaskan pengaruh boneka bertali pada pelayaran utama seperti Cunard, P&O, Crystal, Silversea, Saga dan Norwegian Cruise Line.

Mereka akan mengadakan persembahan boneka, ‘Stars on Strings’ di Resorts World Genting sehingga 9 Disember ini.

Tiket persembahan berharga RM25 (VIP) dan RM15 (PS1) manakala untuk pemegang Kad Ahli Ganjaran Genting boleh menikmati kadar istimewa pada harga RM18 (VIP) dan RM11 (PS1).

Hanya tambah RM10 untuk dapatkan satu tiket PS1 sekiranya anda pemegang tiket First World Indoor Theme Park atau Fantastica! 2.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/22
`