Ahad,23 November 2014

Perancis enggan bekal senjata kepada pemberontak Syria

PARIS: Menteri Luar Perancis menolak permohonan pemberontak Syria untuk mendapatkan senjata bagi menumbangkan rejim Presiden Bashar al-Assad, semalam. Alain Juppe berkata, tindakan memberi senjata kepada pemberontak boleh membawa kemusnahan akibat perang saudara di Syria.

“Rakyat Syria sangat berpecah-belah dan jika kerajaan memberi senjata kepada mana-mana kumpulan pembangkang, kita akan membawa negara itu kepada perang saudara di antara penganut Kristian, Alawiyyah, Sunni dan Syiah,” katanya kepada stesen radio Perancis, semalam.


Krisis politik Syria genap setahun semalam sejak pembangkang melancarkan gerakan menumbangkan rejim Bashar sehingga membawa pertumpahan darah serius di negara itu.

Usaha diplomatik pelbagai negara bagi menyelesaikan konflik berkenaan setakat ini belum menampakkan hasil.


Perancis - bekas penjajah Syria - bersama Barat dan kebanyakan negara Arab kini menyokong gerakan pemberontak bagi menyingkirkan Bashar.


Bagaimanapun, di kalangan pemberontak, mereka juga tidak bersatu dan sehingga kini gagal membentuk persepakatan tunggal.

Kenyataan Juppe itu selaras dengan pandangan Presiden AS, Barack Obama, yang mengingatkan bahawa tindak balas antarabangsa mungkin menyebabkan lebih banyak kematian.


Kelmarin, penyelaras operasi Tentera Pembebasan Syria, Ahmad Kassem, meminta negara asing menghantar wang dan senjata kepada mereka yang kini semakin tertekan.

Pemimpin pembangkang, Burhan Ghalioun, berkata mereka menunggu tindakan komuniti antarabangsa dan tidak berharap mereka terus berkata-kata saja.


“Kami mempertahankan diri dan melindungi orang awam yang diserang tentera Syria,” katanya. -AP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/17

Artikel Lain

`