Jumaat,19 Disember 2014

Penghuni jambatan

Oleh Nurul Nafisah Mazlan

KUALA LUMPUR: “Dulu nampak seorang saja yang tinggal di bawah jambatan itu, kini selepas sebulan berlalu ada dua orang berada di tempat sama,” kata pemandu bas henti-henti, Sulaiman Razak, 35, apabila ditanya mengenai gelandangan yang menjadikan jambatan berdekatan Jalan Bangsar, di sini, sebagai rumah mereka.

Katanya, amat membimbangkan jika perkara itu berlanjutan kerana selain memberi pandangan tidak elok, kehadiran mereka juga boleh membahayakan masyarakat awam lebih-lebih lagi apabila tidak mengetahui status kesihatan gelandangan terbabit.


“Saya perasan sejak tiga bulan lalu ada seorang gelandangan di bawah jambatan itu berteduh siap dengan khemah buatan sendiri dan bantal, tetapi baru-baru ini ada seorang lagi mungkin rakannya turut tinggal bersama.

“Tidak mustahil jika tiada tindakan diambil, selepas ini tambah seorang lagi rakan mereka. Lama-kelamaan kawasan itu tidak selamat buat pengguna jalan raya,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.


Menurutnya, tambah merisaukan apabila keadaan itu boleh membahayakan orang awam yang melalui kawasan terbabit pada waktu malam kerana jalan itu sunyi dan gelap selain jauh dari penglihatan orang ramai kerana jambatan berkenaan terletak di tengah jalan raya.


Tinjauan ke kawasan berkenaan pada waktu pagi mendapati mereka tiada di tempat berkenaan kerana keluar mencari makan dengan merayau-rayau di kawasan sekitar dan keadaan di situ bersepah dengan sampah-sarap.

Foto

TERBIAR...pakaian orang gelandangan yang ditinggalkan di bawah jambatan berhampiran Jalan Bangsar.

Foto

TEMPAT TINGGAL...tempat tidur dua gelandangan di bawah jambatan berhampiran Jalan Bangsar.

Malah, terdapat dua tempat tidur berasingan yang masing-masing beralaskan kotak dan baju sebagai bantal selain beberapa pakaian dan dua unggun api yang dibuat bagi mengelakkan cuaca sejuk pada waktu malam.


Sementara itu, penjawat awam, Norlaila Junaidy, 28, berkata, sikap tidak mempedulikan keadaan sekeliling sama ada daripada segi keselamatan atau pandangan orang awam membuatkan segelintir gelandangan tidak kisah menjadikan bawah jambatan sebagai tempat tinggal, malah ia perkara biasa bagi mereka.

“Setiap kali hendak buat pusingan U di Jalan Bangsar, saya pastikan kereta berkunci dan tingkap dinaikkan kerana khuatir berlaku perkara tidak diingini seperti mereka menerjah ke arah kereta.


“Walaupun kehadiran dua gelandangan terbabit tidak membahayakan orang awam, namun langkah berjaga-jaga perlu diambil supaya dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.


Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat ketika dihubungi memberitahu, isu berkenaan akan dikaji dan dipanjangkan kepada pihak atasan untuk dinilai sebelum langkah seterusnya diambil.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/13
`