Khamis,23 Oktober 2014

Penceroboh minta jaminan keselamatan

Membakut: Kerajaan Malaysia berusaha sebaik mungkin bagi mengelak pertempuran antara kedua-dua pihak dan berduka cita dengan insiden yang berlaku di Kampung Tanduo, Lahad Datu, kelmarin.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, kerajaan Malaysia sabar dan berusaha sebaik mungkin bagi mengelak pertumpahan darah apabila melakukan rundingan dengan kumpulan penceroboh.


“Kita kesal dan dukacita kerana sepatutnya rundingan diselesaikan lebih awal sebelum ada nyawa terkorban. Kita juga memberi jaminan kepada mereka (penceroboh) untuk balik ke negara asal secara aman.

“Pihak tertentu, terutama polis dan tentera, juga cuba mengelak, namun ia sudah berlaku,” katanya ketika ditemui selepas melawat jambatan di Kampung Limadang, Membakut, dekat sini, semalam.


Anifah berkata, selepas kejadian itu mengorbankan nyawa kedua-dua pihak berlaku, baru mereka meminta jaminan untuk pulang ke negara asal daripada kerajaan Malaysia.


“Yang saya kesal ialah, selepas nyawa terkorban di kedua-dua pihak, baru mereka meminta jaminan kita, alangkah baiknya jaminan ini diminta sewaktu perundingan yang dijalankan (sebelum ini),” katanya.

Anifah berkata demikian ketika mengulas kenyataan Sultan Jamalul Kiram III Agbimuddin Kiram yang bersetuju memanggil pulang tenteranya yang kini dikepung anggota pasukan keselamatan negara di lokasi pencerobohan.


Akhbar tempatan melaporkan, Sultan Sulu meminta kerajaan Malaysia dan Filipina memberi jaminan pengikutnya pulang ke negara asal dengan selamat.

Bagaimanapun, Anifah berkata, keputusan berhubung permintaan sultan itu akan diputuskan kerajaan, khususnya Kementerian Dalam Negeri.


“Kementerian saya tidak terbabit secara langsung, peranan saya apa saja permintaan kerajaan Filipina, saya sampaikan kepada pihak berkenaan,” katanya.


Anifah turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai insiden berkenaan kerana ia adalah perkara yang sukar dielakkan.


“Sebab itu saya enggan memberi kenyataan mengenai apa yang berlaku di Lahad Datu kerana khuatir maklumat itu tidak tepat dan kenyataan hanya dibuat pihak bertanggungjawab, termasuk Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/03
`