Khamis,18 Disember 2014

Penceroboh alam siber

SELASA lalu, seorang remaja berusia 19 tahun, Ryan Cleary dari Wickford, Essex, England ditahan Metropolitan Police Service of London (Scotland Yard) selepas disyaki terbabit dengan jenayah siber antarabangsa.

Clearly dipercayai salah seorang penggodam kumpulan LulzSec yang terbabit menggodam agensi risikan kerajaan di United Kingdom (UK) serta Amerika Syarikat (AS), iaitu Serious Organised Crime Agency (Soca) United Kingdom dan Central Intelligence Agency (CIA).

Suspek ini turut didakwa mendalangi pencerobohan laman web Senat di AS, National Health Service (NHS) di England, selain menggodam laman web syarikat permainan video gergasiSony Playstation dan Nintendo; serta syarikat penyiaran Fox Network dan Public Broadcasting Service (PBS) di AS.

Berdasarkan laporan akhbar Sun UK, penahanan Clearly melalui penyiasatan bersama antara Scotland Yard dengan Federal Bureau of Investigation (FBI) AS.

Akhbar melaporkan, ketika tangkapan dilakukan, 10 kereta polis tiba di rumah Clearly dan suspek disoal hampir lima jam berhubung kes itu.

Jurucakap Scotland Yard berkata, Clearly yang menggunakan nama samaran Viral di talian Internet masih ditahan di Balai Polis, London Tengah dan akan didakwa mengikut Computer Misuse Act and Fraud Act.

“Ia (dakwaan) berhubung rapat dengan FBI. Tangkapan ini akan diikuti penyiasatan terhadap pencerobohan rangkaian terhadap perniagaan antarabangsa dan agensi risikan dan apa yang dipercayai, ia dilakukan satu kumpulan penggodam sama,” katanya.

Ada dakwaan mengatakan, Clearly diburu agensi risikan UK dan AS selepas identitinya termasuk nama, alamat dan nombor telefon bimbit didedahkan musuhnya dalam satu laman web.


Mengenai dakwaan pencerobohan Clearly bersama LulzSec, mereka mula menggodam laman web berprofil tinggi sejak 7 Mei lalu, dimulai dengan laman web stesen penyiaran beroperasi di AS, Fox Network.

Ikuti laporan ringkas serangan dipercayai dilakukan Clearly dan rakannya; l 7 hingga 12 Mei - Fox Network.

Pangkalan data siri realiti televisyen, U.S X Factor dicerobohi. Kira-kira 250,000 data sulit dalam pangkalan data terbabit didedahkan secara talian (online).

l 15 Mei - Bank-bank UK. Sebanyak 3,100 maklumat akaun bank dari transaksi Internet digodam dan didedahkan kepada umum melalui Internet.

l 15 Mei - Syarikat Penyiaran PBS. Penggodam mencerobohi alamat e-mel kakitangan PBS dan menyebarkan e-mel palsu yang mendakwa kononnya mendiang penyanyi rap, Tupac Shakur yang mati pada September 1996 masih hidup dan kini menetap di New Zealand.


l 2 Jun - SonyPictures.com. Maklumat kira-kira sejuta pengguna lama web ini didedahkan di talian Internet, termasuk pendedahan maklumat peribadi dan kupon dari syarikat terbabit yang dimiliki pengguna mereka. Kumpulan penggodam ini memperkecilkan kelemahan sistem keselamatan dan sekuriti yang dibangunkan Sony terhadap laman web berkenaan.

l 9 Jun - NHS. Kumpulan ini, LulzSec memberi e-mel kepada NHS mendedahkan kelemahan sistem sekuriti Internet badan keselamatan milik kerajaan England itu yang sudah dikenal pasti penggodam.

Dalam e-mel itu, mereka berkata, “Kami maksudkan, anda (NHS) tidak bahaya dan hanya mahu membantu anda untuk pertingkatkan isu berkaitan teknologi.” l 13 Jun - Senat AS. Laman web senat ini digodam dan mengakibatkan daftar masuk pengguna dicerobohi.


l 15 Jun - CIA. LulzSec melakukan serangan ‘denial of service’ (penafian perkhidmatan) terhadap pangkalan data CIA menyebabkan laman web agensi perisikan berkenaan dan talian Internet tutup selama tiga jam.

l 20 Jun - Soca. Lama web perisikan UK ini turut digodam dengan serangan ‘denial of service’ (penafian perkhidmatan).

Mengikut laporan Sun UK, LulzSec adalah serpihan kumpulan penggodam, 'Anonymous' yang pernah dikaitkan dengan pencerobohan di laman web Mastercard dan Paypal.


Sementara itu, dalam laman web sosial Twitter, LulzSec mendedahkan Clearly bukanlah salah seorang penggodam dalam kumpulan terbabit. Dalam satu petikan Twitter itu menyebut: “Ryan Cleary bukan salah seorang daripada LulzSec. Kami hanya gunakan pangkalan datanya sebagai salah satu rangkaian bersembang (chatrooms), itu saja.”

Ibu suspek, Rita, 44, mengakui anaknya itu seorang yang terlalu taksub dengan Internet, tetapi tidak menyangka dia boleh melakukan sesuatu yang sangat berbahaya.

“Dia terlalu obses dengan komputer dan Internet. Saya hanya tinggalkan makan malam di pintu biliknya, dan susah sangat hendak bertemu dengannya,” katanya.

Selepas Clearly ditahan, Rita sempat bertemu dan bercakap dengannya. Katanya: “Dia (Clearly) tidak bercakap banyak mengenainya (kes) tetapi ada berkata dia sayangkan dan meminta saya hadir ke mahkamah untuk bertemu dengannya. Dia juga meminta saya menyediakan baju bersih dan buku untuk dibaca (dipenjara).”

Sebelum ini, di AS seorang lelaki dari Britain, Gary McKinnon pernah ditahan akibat terbabit dengan pencerobohan Internet dan jenayah siber sebagaimana yang berlaku terhadap Clearly.

McKinnon ditahan kerana menceroboh pangkalan data komputer di ibu pejabat keselamatan negara AS, Pentagon dan National Aeronautics and Space Administration (Nasa), untuk mencari maklumat sulit disimpan kerajaan AS mengenai makhluk asing.


Akibatnya, McKinnon didapati bersalah atas semua tuduhan itu dan dipenjarakan 60 tahun. Clearly bakal menerima nasib sama jika didapati bersalah atas tuduhan melakukan jenayah siber.

>INFO
SUSPEK: Ryan Cleary
UMUR: 19 tahun
KESALAHAN: Menggodam data sulit tanpa kebenaran
SASARAN GODAMAN: Agensi risikan kerajaan di United Kingdom (UK) serta Amerika Syarikat (AS), iaitu Serious Organised Crime Agency (Soca) United Kingdom dan Central Intelligence Agency (CIA). Turut mendalangi pencerobohan laman web Senat di AS, National Health Service (NHS) di England, selain menggodam laman web syarikat permainan video gergasi global, Sony Playstation dan Nintendo; serta syarikat penyiaran Fox Network dan Public Broadcasting Service (PBS) di AS.
LOKASI: Wickford, Essex, England
FAKTA JENAYAH: Cleary dipercayai salah seorang penggodam dari kumpulan, LulzSec. Suspek didakwa terbabit dengan jenayah siber dengan menggodam laman web agensi perisikan dan syarikat perniagaan antarabangsa dalam tempoh dua bulan sejak 7 Mei hingga 20 Jun lalu.
FAKTA KES: LulzSec adalah serpihan daripada kumpulan penggodam, 'Anonymous' yang sebelum ini pernah dikaitkan dengan pencerobohan di laman web Mastercard dan Paypal. Berhubung penangkapan Clearly, setakat ini belum ada laporan lanjut didedahkan mengenainya, begitu juga penyiasatan terhadap LulzSec.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/06/25
`