Rabu,26 November 2014

Pembedahan artroskopi

ARTROSKOPI adalah prosedur yang mana pakar bedah ortopedik boleh membuat pemeriksaan, diagnosis dan merawat masalah di dalam rongga sendi. Perkataan artroskopi berasal daripada dua perkataan Greek iaitu ‘arthro’ bermaksud sendi dan ‘skopein’ yang bermaksud melihat. Secara mudahnya, ia bermaksud melihat ke dalam sendi.

Ketika prosedur, pakar bedah ortopedik memasukkan kamera kecil dikenali sebagai artroskop ke dalam rongga sendi. Imej daripada kamera itu seterusnya disalurkan ke skrin monitor dan pakar bedah merujuk kepada imej itu untuk melakukan pembedahan menggunakan peralatan artroskopi yang halus.

Penggunaan peralatan bersaiz halus dalam pembedahan artroskopi membolehkan hanya tebukan kecil pada kulit dilakukan berbanding luka pembedahan besar atau panjang seperti dalam pembedahan secara terbuka yang standard.

Ini akan menghasilkan sakit selepas pembedahan yang kurang, tempoh lebih pendek untuk sembuh dan kembali kepada aktiviti kesukaan.


Artroskopi sendi bahu bermula pada 1970-an. Ia menjadikan proses diagnosis, rawatan dan penyembuhan daripada pembedahan lebih mudah dan cepat. Penambahbaikan artroskopi sendi bahu berlaku setiap tahun kerana perkembangan teknik pembedahan dan penciptaan peralatan artroskop berteknologi tinggi.


Sendi bahu ialah sendi yang kompleks, yang berkebolehan melakukan lebih banyak pergerakan berbanding sendi lain pada badan kita. Ia terbentuk daripada tiga tulang iaitu tulang lengan (humerous), tulang selangka (clavicle) dan tulang skapula. Sendi bahu berbentuk bola dan soket. Empat urat tendon dipanggil ‘rotator cuff’ mengelilingi kapsul sendi dan membantu mengekalkan kedudukan bola di dalam soketnya.

Pembedahan artroskopi akan dicadangkan ketika rawatan jika anda terasa sakit pada sendi bahu, yang tidak sembuh selepas mendapat rawatan secara tanpa pembedahan untuk tempoh ditetapkan. Rawatan tanpa pembedahan yang biasa diberikan lebih awal termasuk berehat daripada aktiviti sukan, terapi fizikal dan ubatan atau suntikan yang boleh mengurangkan radang pada sendi bahu.

Radang ialah tindak balas badan yang normal berikutan kecederaan dan penyakit. Pada sendi tercedera atau berpenyakit, aktiviti radang menyebabkan sendi menjadi bengkak, sakit dan kaku.

Trauma, penggunaan secara berlebihan dan koyak disebabkan proses degeneratif ialah punca kebanyakan masalah sendi bahu.

Artroskopi sendi bahu boleh membantu mengurangkan gejala sakit yang terhasil daripada kerosakan atau koyak pada urat tendon ‘rotator cuff’, labrum, permukaan rawan sendi dan tisu lain di sekeliling sendi bahu. Masalah sendi bahu yang biasanya dirawat secara pembedahan artroskopi ialah:


Sindrom terhimpit (impingement syndrome)

Keadaan di mana urat tendon ‘rotator cuff’ radang atau melelas kerana tendon terhimpit di antara tulang lengan dan tulang akromion. Ia dirawat dengan mengikis sebahagian tulang akromion yang menghimpit tendon. Prosedur bursektomi (membuang tisu bursa) juga perlu dilakukan untuk menambah ruang bagi tendon itu.


Kecederaan Tendon Rotator Cuff

Tendon rotator cuff yang paling biasa tercedera atau terkoyak ialah tendon Supraspinatus. Pembedahan artroskopi membolehkan tendon rotator cuff yang terkoyak dibaikpulih menggunakan ‘suture anchor’ dan luka selepas pembedahan yang sangat kecil berbanding luka besar selepas pembedahan secara biasa membolehkan proses pemulihan dimulakan lebih awal.


Mendapan Kalsium

Mendapan kalsium di dalam tendon ‘rotator cuff’ menyebabkan sakit keterlaluan dan sendi bahu menjadi kaku. Pembuangan mendapan kalsium berkenaan secara artroskopik mampu melegakan rasa sakit.


Sendi Akromioklavikular terkehel

Kecederaan sendi akromioklavikular membabitkan ligamen korakoklavikular terkoyak yang memerlukan penstabilan semula ligamen itu secara rekonstruksi.


Sendi bahu longgar

Menstabilkan sendi bahu yang longgar dengan membaikpulih labrum yang koyak memerlukan pembedahan artroskopi. Kapsul sendi yang koyak dan lemah juga boleh dibaik pulih secara pembedahan artroskopi.


Bicep tendinopati

Tendon bisep yang genting dan terhakis boleh dilicinkan dengan membuang tisu yang rosak atau melakukan ‘tenodesis’ bisep (melekatkannya semula ke tulang).


Kecederaan tulang rawan

Kecederaan tulang rawan sendi boleh dirawat secara teknik pertumbuhan semula seperti kepatahan mikro atau secara OATS (osteochondral autologus transplantations).


Sendi bahu kaku (frozen shoulder)

Sendi bahu kaku ialah satu keadaan yang belum diketahui sebabnya iaitu pesakit mendapat radang synovium dan seterusnya pengecutan tisu yang menyebabkan pergerakan sendi sangat terhad. Untuk mendapatkan kembali pergerakan sendi bahu, kapsul sendi dilonggarkan secara artroskopi dan seterusnya, fisioterapi adalah efektif.


Artritis (radang sendi)

Melicinkan tulang rawan dan pembuangan tisu sendi yang longgar boleh melegakan gejala artritis untuk tempoh tertentu.

Secara amnya, pembedahan artroskopi sendi bahu selamat dan prosedur berjaya dengan komplikasi yang sedikit. Komplikasi yang biasa berlaku termasuk lebam, bengkak, sakit pada portal untuk prosedur artroskopi dan gejala kekal selepas prosedur (pembedahan gagal atau kejadian berulang).

Secara amnya, kelebihan dan kebaikan selepas pembedahan secara artroskopi berbanding cara lazim iaitu pembedahan terbuka ialah, anda akan merasa sakit selepas pembedahan yang kurang, mempunyai risiko komplikasi lebih rendah, tempoh tinggal di hospital yang lebih pendek, tempoh penyembuhan lebih cepat dan parut luka yang sangat kecil.

Jika pesakit mampu mengikuti program terapi fizikal selepas pembedahan dengan baik, pesakit berpeluang kembali melakukan aktiviti kegemaran dengan lebih awal.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/11/13

Artikel Lain

`