Selasa,28 Oktober 2014

Pelan besar UM Land

Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri

UNITED Malayan Land Bhd (UM Land) merancang untuk membangunkan projek komersial dan kediaman bercampur di Medini, Iskandar Malaysia, Johor yang membabitkan nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.4 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Charlie Chia berkata, cadangan pembangunan di wilayah selatan berkenaan juga termasuk ‘town house’, pangsapuri, pangsapuri berservis, pejabat kecil di rumah (Soho), hotel, kawasan peruncitan yang turut mempunyai premis jualan makanan dan minuman, serta pusat peruncitan yang khusus.


Katanya, UM Land juga menandatangani pembelian pajakan bersama Iskandar Investment Bhd (IIB) untuk tanah seluas 5.35 hektar di Medini bagi melaksanakan projek terbabit.

“Pengambilalihan tanah seluas 5.35 hektar itu bernilai RM83 juta dan ia juga lokasi strategik iaitu hampir dua kilometer dari Legoland. “Projek ini juga masih dalam peringkat perbincangan dan kami menjangkakan ia akan dimulakan pada suku ketiga dan keempat tahun depan.


“Bagaimanapun, pembangunan itu akan dilaksanakan dalam empat fasa dan akan mengambil masa antara enam hingga 10 tahun untuk disiapkan sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian dan pertukaran dokumen pembelian pajakan antara UM Land dan IBB di Kuala Lumpur. Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim.


Menurut Chia, lokasi pembangunan projek berkenaan juga berada berdekatan dengan kawasan mudah diakses iaitu dari pusat bandar Johor Bahru melalui Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Skudai, Lebuhraya Second Link dan Lebuhraya Persisiran Pantai Johor Bahru-Nusajaya.

Menurutnya, syarikat dalam proses untuk membentuk hartanah yang baru dengan penambahbaikan menerusi operasi suasana urban di Iskandar Malaysia.


“Dengan kepercayaan besar yang diberi kepada UM Land, kami komited untuk meningkatkan kehadiran syarikat secara lebih positif di selatan Malaysia, sekali gus menyumbang dalam pasaran hartanah di sana,” katanya ketika ditemui.

Pengambilalihan tanah, seluas 5.35 hektar pada nilai RM83 juta dilakukan oleh anak syarikat milik penuh UM Land, Lextrend Sdn Bhd dan anak syarikat milik penuh IIB, Medini Development Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24
`