Ahad,21 Disember 2014

Pelajar berentap ‘flashmob’

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

TAHUN ini genaplah 65 tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) beroperasi. Bagi meraikan sambutan 65 tahun penubuhannya serta ulang tahun ke-50 Orkestra RTM, stesen penyiaran milik kerajaan ini bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia membawakan program realiti TV terbaru, Refleksi Orkestra.

Menariknya ia menonjolkan aktiviti ‘flashmob’ yang semakin popular di kalangan remaja.

‘Flashmob’ ditafsirkan sebagai persembahan spontan sama ada nyanyian atau tarian oleh sekumpulan manusia di tempat awam.

Inilah kelainan yang ditunjukkan oleh peserta yang terbabit dalam program unik yang julung kali diterbitkan RTM ini.


Penolong Pengarah Perhubungan Raya RTM, Mohd Shahri Saripan, berkata program terbitan Haniff Ahmad dan Khairil Radzi itu bukanlah berbentuk pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan.


Bagaimanapun, ia masih menimbulkan ‘mood’ persaingan kepada 65 hingga 80 peserta daripada kalangan murid dan pelajar sekolah dari tingkatan satu hingga tingkatan lima menerusi setiap episod yang diterbitkan.

“Program ini masih membawa persaingan kepada peserta menerusi setiap episod. Dengan pembabitan lima pasukan orkestra ‘wind’, konsep persembahan berbentuk ‘flashmob’ yang masih baru ini nyata menyumbang kepada menyuntik pembaharuan dalam menarik tumpuan penonton terutama di kalangan remaja.

“Program ini ke udara selama 30 minit setiap episod. Sepanjang ke udara, penonton dapat berkongsi aktiviti dilakukan sepanjang latihan.

“Malah, mereka juga boleh melihat gelagat, semangat dan kesungguhan peserta berlatih serta menghafal lagu sehingga tiba hari persembahan sebenar bersama artis pujaan mereka,” katanya.

Shahri berkata, peserta program ini dicadangkan Kementerian Pelajaran dengan memilih tiga buah sekolah berasrama penuh sekitar Kuala Lumpur iaitu Sekolah Seri Puteri Cyberjaya, Sekolah Menengah Sains Selangor, Cheras dan Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya.

Turut dicadangkan juga dua sekolah dari Seremban iaitu Sekolah Datuk Abdul Razak dan Kolej Tunku Kurshiah.

“Mereka juga akan dinilai Pengarah Perkhidmatan Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail. Selepas itu, RTM menghantar seorang pengajar bagi mengenal pasti kelemahan dan memperbaiki kekurangan setiap peserta. Lagu yang bakal dibawakan oleh mereka hanya diberi pada Khamis manakala rakaman dibuat pada Sabtu atau Ahad.

“Masa yang diberikan memang singkat sekali gus mencabar kemampuan mereka. Cabaran yang perlu dihadapi bukan saja untuk menghafal skor lagu dalam masa singkat, malah mereka perlu mempersembahkan rangkaian tiga lagu secara medley yang mana dua lagu pilihan pasukan dan sebuah lagu oleh RTM.

“Tak cukup dengan itu, produksi turut membawa artis popular tanah air sebagai kejutan untuk bersama mereka menyampaikan lagu pilihan orkestra RTM. Contohnya Alyah tampil untuk Sekolah Seri Puteri, Farawahida (Sekolah Menengah Sains Selangor), Farah AF (Sekolah Sultan Alam Shah) dan Zahid (Sekolah Datuk Abdul Razak),” jelas Shahri.

Lokasi yang menjadi pilihan produksi ialah tempat yang menjadi tumpuan ramai seperti Berjaya Times Square, Pavilion, Taman Tema Sunway Lagoon dan KL Sentral. Untuk mengadakan rakaman di tempat sebegini sangat mencabar dan produksi menggunakan 12 kamera jenis digital SLR (DSLR).

“Untuk episod akhir pula, kami menggunakan sebanyak 44 kamera DSLR di mana rakaman dibuat di Dataran Merdeka sempena Karnival Terima Kasih Harian Metro, baru-baru ini. Kami menggabungkan semua lima peserta terbabit dan berjaya mencatat rekod Malaysia iaitu ‘Flashmob Orkestra Terbesar Di Malaysia’ dalam Malaysia Book of Records.

“Dengan slogan ‘Wajah baru refleksi sebuah orkestra berjiwa muda’ program ini diharapkan dapat memberikan impak baru terhadap program terbitan RTM selain mencungkil bakat muda dalam bidang muzik orkestra, sekali gus menyemarakkan usaha merakyatkan RTM,” katanya.

Program Refleksi Orkestra disiarkan setiap Ahad bermula 15 Mei lalu jam 1 tengah hari menerusi saluran 180 Astro manakala ulangannya pada setiap Rabu jam 9 malam. Keseluruhan program ini berjumlah tujuh episod.

Episod akhir yang dirakamkan di Dataran Merdeka akan disiarkan pada minggu keenam.

Sementara pada minggu berikutnya, disiarkan dua episod khas iaitu Directors Cut yang memuatkan rakaman terbaik yang tidak dimuatkan dalam episod sebelumnya dan edisi carta 10, memaparkan rakaman aksi lucu, luar jangkaan dan penonton ‘sporting.’

Artikel ini disiarkan pada : 2011/05/25

Artikel Lain

`