Ahad,21 Disember 2014

Parkir maksiat

Oleh Syanty Octavia Amry

CHERAS: Siang tempat beriadah dan bersantai, malam pula tempat memadu kasih dan melakukan maksiat golongan lelaki lembut. Begitu suasana di kawasan letak kereta Taman Tasik Permaisuri, dekat sini, yang menjadi tumpuan anak muda menghabiskan waktu senggang mereka pada hujung minggu.

Amat menjijikkan apabila pemandangan diselitkan adegan menyakitkan mata gelagat lelaki sejati bertukar ‘lembut’ apabila disapa kaum sejenis yang dipercayai cuba ‘melanggan’ mereka.


Tinjauan Metroplus baru-baru ini, mendapati rata-rata mereka adalah pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang seronok menghabiskan masa hujung minggu untuk melepak di situ.

Hampir tiga jam melakukan pemerhatian, mereka semakin galak melakukan aksi termasuk berteriak bagi menarik perhatian orang ramai yang datang ke kawasan berkenaan.


Walaupun malam semakin larut, keadaan semakin ‘hangat’ apabila beberapa kenderaan satu demi satu masuk ke tasik dipercayai mencari ‘port’ terpencil dan sunyi jauh daripada pandangan umum.


Berbeza pula pada waktu siang, kawasan berkenaan sunyi dan dipenuhi deretan kereta yang diparkir pengunjung.

Pekerja tasik berkenaan, V Chitra, 49, berkata, banyak masalah timbul apabila remaja melepak di situ paling ketara keadaan persekitaran yang kotor selain aktiviti menghidu gam dan menghisap dadah, botol kosong dipercayai botol arak juga bertaburan.


“Selalunya remaja terbabit mula aktif apabila malam semakin lewat antara jam 11 malam hingga 3 pagi. Saya sempat melihat kelibat mereka pada jam 8 malam dan ketika itu mereka datang sekadar melepak dan berbual kosong.

“Namun, lebih mengecewakan mereka mengotorkan kawasan sekitar terutama pondok kecil di situ. Seharusnya ia digunakan sebagai tempat kawalan, tetapi disebabkan terbiar ramai yang menyalahgunakan pondok berkenaan sehingga rosak dan kotor,” katanya. Pekerja pembersih tandas, R Selvarani, 40, berkata, pemantauan daripada pihak berkuasa sering dilakukan di situ, tetapi remaja terbabit melarikan diri apabila melihat kelibat motosikal polis meronda.


“Mereka terlalu licik dan cepat menyedari kehadiran pihak berkuasa, tetapi selepas itu mereka datang kembali dan meneruskan aktiviti masing-masing.


“Kami tiada masalah untuk sesiapa saja datang beriadah atau melepak, tetapi biar aktiviti yang dilakukan berfaedah dan tidak mendatangkan mudarat kepada orang lain,” katanya.


Sementara itu, Pengurus Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr Ismail Stapa, ketika dihubungi berkata, perkara itu sudah lama berlaku, namun pemantauan berterusan tetap dilakukan pihaknya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/27

Artikel Lain

`