Khamis,23 Oktober 2014

Pandu Uji: Kelebihan Mirage terserlah

Oleh ERYWAN NORSHAL

Industri automotif semakin rancak dalam memperkenalkan ken­deraan jimat minyak kepada masyarakat dunia berikutan kenaikan kos bahan itu di pasaran global.

Akibat kenaikan harga mi­nyak, muncul kenderaan kompak menggunakan enjin berkapasiti kecil bagi menyelesaikan masalah itu.

Kenderaan kompak Mitsubishi Mirage yang dibawa ke pasaran negara ini, banyak membantu apabila ia diiktiraf jimat minyak selain mesra alam.

Jentera diimport dari Thailand itu tidak boleh dipandang se­belah mata kerana ia berbeza berbanding kenderaan kompak konvensional.

Foto

Kenderaan kompak Mitsubishi Mirage.

Foto

ENJIN Mivec 12 injap yang berkapasiti 1.2 liter

Foto

RUANG kabin tampak kemas.

Foto

BUTANG menghidup dan mematikan enjin.

Foto

PANEL meter tampak ringkas.


Ini berikutan jentera ini dilengkapi beberapa ciri terkini, sekali gus setanding dengan kenderaan sedan premium yang berada di pasaran tempatan.


Kelebihan model ini terserlah apabila ia mampu dipandu sejauh 21 kilometer dengan hanya menggunakan seliter petrol dan menjadikan antara jentera kompak terhebat di negara ini.

Walaupun pelbagai kereta kompak di pasaran, Mitsubishi Mirage tiada tandingan apabila membebaskan karbon dioksida lebih rendah berbanding kenderaan lain dalam kelasnya.

Bagi mengenal lebih lanjut model ini, penulis bersama media lain diberi peluang memandunya dari Kuala Lumpur ke Melaka baru-baru ini, sekali gus Mitsubishi Mirage memberi satu pengalaman menarik.

Ciri keistimewaannya tampak ‘luar biasa’ apabila dilengkapi kunci pintar, butang penghidup enjin dan penyaman udara automatik, seolah-olah membuatkan penulis berada dalam kenderaan sedan premium.

Ruang dalamnya pula kelihatan ringkas dan kemas dengan kombinasi warna gelap yang memenuhi kabinnya selain dipadankan kerusi balutan material kain berkualiti.

Biarpun dikategorikan kenderaan kompak, ruang dalamannya masih menawarkan keselesaan kepada lima penumpang dewasa serta mempunyai ruang but untuk memunggah barangan keperluan harian.

Ketika mengambil gambar jentera ini, penulis tertarik dengan beberapa faktor yang membuatkan ia tampak ‘comel’, terutama kombinasi lampu dan bampar depan.

Malah, spoiler belakang yang dilengkapi lampu brek LED ‘melahirkan’ ciri-ciri sporty pada jentera ini, selain bertujuan meningkatkan tekanan ke bawah bagi memberi kestabilan ketika dipandu laju.

Reka bentuknya menggunakan reka bentuk bebas ropol untuk mengurangkan berat dan lebih aerodinamik bagi meningkatkan tahap penggunaan bahan api yang ekonomi.

Saiz kenderaan ini dengan panjang 3.71 meter, lebar berukuran 1.665 meter, manakala 1.49 meter untuk ketinggian ternyata memberi kebebasan untuk pengendalian di kawasan bandar, terutama di laluan sempit dan sesak.

Pada sesi pandu uji, penulis berpeluang memandu dua model iaitu menggunakan transmisi manual dan automatik, di mana kedua-duanya memberi penjimatan minyak sama.

Ketika memandu Mitsubishi Mirage transmisi manual lima kelajuan, penulis teruja kerana tempat duduknya selesa dengan cermin depan yang memberi pandangan luas.

Sebaik memasuki gear satu, kenderaan ini terasa ringan untuk memecut, selain mudah dikendalikan apabila dipadankan dengan suspensi Topang MacPherson di depan manakala ‘Torsion Beam’ di belakangnya.

Kedapan bunyi dalam ruang kabinnya sedikit senyap untuk mengurang bu­nyi enjin Mivec 12 injap yang berkapasiti 1.2 liter.

Enjin menggunakan tiga silinder itu mampu menghamburkan kuasa maksimum sehingga 78 PS dan dikatakan mampu memecut melebihi 160 kilometer sejam (km/j).

Mitsubishi Mirage varian automatik pula menggunakan Transmisi Boleh Ubah Berterusan (CVT) untuk memberi kuasa tork tinggi bagi memberi kuasa pecutan dengan penggunaan bahan api secara optimum.

Keistimewaan Mitsubishi Mirage juga terletak pada jejari pusingan kecil iaitu memudahkan membuat pusingan ‘U’ dengan 4.4 meter.

Selain itu, penulis berpeluang memandu di Litar Sukan Bermotor Antarabangsa Melaka (MIMC), Ayer Keroh, Melaka, di mana ternyata pengendaliannya stabil apabila dipandu laju kerana ia tidak terlalu membuang.

Biarpun bukan jentera perlumbaan, ia tetap mantap di kawasan berselekoh tanpa membuatkan penulis berasa takut untuk memandunya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03