Selasa,25 November 2014

Pakej jelajah helikopter

Oleh Rosyahaida Abdullah

SUBANG: Bagi merealisasikan impian mencapai status pelancongan bertaraf mewah, Kementerian Pelancongan tampil dengan pakej lebih menarik kepada warga tempatan dan pelancong asing menerusi Pelancongan Helikopter 1Malaysia.

Pakej pelancongan berbentuk jelajah menggunakan helikopter itu ditawarkan dengan harga RM1,250 hingga RM4,950 bagi sebuah helikopter.


Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, berkata pakej itu adalah antara inisiatif kementerian dalam usaha menarik pelancong berkemampuan untuk menikmati pemandangan dari udara seperti mana dilaksanakan di beberapa negara.

Menurut beliau, ketika ini, sebanyak 10 helikopter disediakan bagi pakej itu yang ditawarkan di tiga lokasi utama di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Pulau Langkawi dan Kota Kinabalu.


“Jika sambutan menggalakkan, dalam tempoh tiga bulan, kementerian mungkin mula menambah helikopter dan kawasan rangkaian bagi memperluaskan akses liputan pemandangan,” katanya selepas merasmikan Pelancongan Helikopter 1Malaysia 2011 di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, semalam.


Hadir sama, Pengarah Eksekutif Kumpulan Ara Corporation (M) Sdn Bhd, Tan Sri Ravindran Menon dan Pemangku Ketua Pengarah Tourism, Datuk Azizan Noordin.

Ng berkata, harga pakej itu bergantung kepada jangka masa jelajah yang mana penumpang boleh memilih antara 15 minit, 30 minit atau satu jam.


“Negara kita mempunyai pelbagai tempat menarik seperti pantai, hutan simpan, tasik dan bangunan bersejarah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/07/27
`