Rabu,22 Oktober 2014

PKBM tarik nafas lega

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menarik nafas lega apabila Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengeluarkan arahan untuk membina satu lagi velodrom di Kuala Lumpur sebagai ganti velodrom sedia ada.

Biarpun ia bukan velodrom kelas satu dan hanya sekadar velodrom latihan, ia sudah cukup melegakan bagi pelumba basikal negara terutama di sekitar Lembah Klang kerana tidak perlu membazirkan masa ke Nilai hanya untuk menjalani latihan.


Bagi PKBM menerusi Timbalan Presidennya, Datuk Naim Mohamad (gambar) mengucapkan jutaan terima kasih kerana keputusan itu.

“Kami amat berterima kasih dan bersyukur dengan perkembangan terbaru ini jadi segala apa yang dirancangkan tahun depan seperti menganjurkan pertandingan dan latihan tidak akan tergendala.


“Kami amat bersetuju Malaysia hanya perlu satu velodrom kelas satu dan ia akan dibina di Nilai manakala velodrom lain mampu digunakan untuk latihan dan pertandingan tempatan yang dikendalikan oleh negeri dengan menggunakan sumber kewangan mereka sendiri,” katanya.


Pembinaan velodrom latihan itu amat penting dalam usaha pelumba negara melayakkan diri menyertai Siri Piala Dunia Klasik, Kejohanan Berbasikal Asia, Sukan Asia, Komanwel dan Kejohanan dunia dan ia amat berguna untuk latihan dan pertandingan penting yang boleh dianjurkan tanpa halangan.

Foto

VELODROM Kuala Lumpur menjadi gelanggang setiap kali kejohanan dianjurkan.

Kelmarin, Khairy mengharapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat membina sebuah velodrom latihan terlebih dulu sebelum velodrom sedia ada di Cheras dirobohkan dan hasrat yang sama disuarakan oleh PKBM sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/09
`