Ahad,23 November 2014

Operasi kesan lokasi William jatuh

Subang Jaya: Polis dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor memeriksa kawasan sekitar Kampung Bukit Lanchong, tidak jauh dari Putra Heights, semalam, bagi mengesan lokasi kemungkinan William Yau Zhen Zhong, 6, dipercayai terjatuh.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, operasi dilakukan bagi mencari petunjuk lokasi mangsa dipercayai terjatuh, terutama di longkang besar dan sungai.


“Ini berdasarkan andaian awal serta situasi semasa pada hari Zhen Zhong dilaporkan hilang secara tiba-tiba dari depan sebuah kedai elektrik di Putra Heights pada 16 Januari lalu. Setakat ini polis percaya mangsa terjatuh ke dalam Sungai Klang.

“Berikutan itu, polis dengan dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Forensik serta JPS menjalankan operasi khas mencari kawasan sebenar mangsa terjatuh di Kampung Bukit Lanchong tidak jauh dari Putra Heights,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Menurutnya, polis turut berusaha mendapatkan maklumat penduduk kampung sama ada pernah ternampak mangsa berada di kawasan terbabit sepanjang kanak-kanak itu dilaporkan hilang.


Kelmarin, ibu bapa mangsa mengesahkan mayat yang ditemui tersangkut pada bot di Jeti Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, jam 6.30 petang, Khamis lalu, adalah anak mereka berdasarkan seluar pendek dan seluar dalam yang dipakai, selain tiga kesan parut pada dahi dan belakang kepala mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26
`