Khamis,23 Oktober 2014

Novel Bersiri - Cikgu Rania (Siri 36): Tenggelamkah aku dalam rindunya?

Oleh Samsiah Mohd Nor

TIDAK sukar mencari Sekolah Menengah Jaya Perdana. Masuk saja ke Taman Jaya Perdana, bangunan sekolah sudah kelihatan dari jalan raya utama. Meskipun sekolah itu terletak dalam sebuah taman perumahan, tetapi lokasinya strategik. Sambil memandu perlahan, Rania memantau di sepanjang laluan. Kebanyakan pelajar berjalan kaki ke sekolah. Berbagai-bagai bangsa. Ada Melayu, India dan Cina.

Kiri kanan jalan, kelibat murid-murid berjalan kaki nampak jelas. Di tepi pagar sekolah, tidak sampai sepuluh buah kenderaan ibu bapa yang menurunkan anak-anak dari kenderaan masing-masing. Situasi pagi nampak terkawal. Selepas memarkir keretanya tidak jauh dari pondok pengawal, Rania mencari hala ke pejabat sekolah.

Beberapa pelajar Islam mengucap salam manakala yang bukan Islam mengucapkan selamat pagi semasa bertembung dengannya.

Sekolah 1 Malaysia, bisik Rania sebaik ditunjukkan arah ke pejabat sekolah. Beberapa orang guru turut menegurnya. Suasana pagi agak sibuk. Pelajar dan guru bergegas menuju ke kelas masing-masing.


“Pengetua ada mesyuarat pengurusan pagi ni,” kata Cik Hanis Huda, kerani sekolah yang ceria air mukanya. Dibawanya Rania ke bilik guru.


“Tempat ni kosong. Dulu cikgu GSTT yang duduk. Cikgu boleh duduk sini sementara tunggu pengetua. Bagi nombor telefon cikgu, nanti mesyuarat habis, saya telefon cikgu,” ujar Hanis Huda lagi sebelum meninggalkannya sendiri.

Pejabat guru sunyi. Rania ralit memerhatikan situasi sekeliling. Apa yang istimewanya sekolah ini seperti kata ayah? Rania mulai mengemaskan meja guru yang berhabuk dan berdebu itu. Guru yang keluar masuk ke pejabat guru bertegur sapa seadanya dengan Rania.

“Dah jumpa pengetua,” tanya seorang guru agak senior setelah lebih sejam dia menunggu.

“Belum.”

“Pengetua mesyuarat pengurusan. Selalunya lama juga tu,” jelas guru itu ramah.

Rania sekadar tersenyum.

“Jalan-jalan dulu cikgu. Tengok kawasan sekolah,” usul guru yang memperkenalkan dirinya sebagai Puan Ameenah Atan. Selintas pandang, dipetakan kawasan sekolah pada Rania.

“Kantin di bawah tu ha,” jari telunjuknya dituding ke satu arah. “Ada cikgu tengah makan. Boleh kenal-kenal dulu,” suara nyaringnya menampar gegendang telinga Rania.

“Terima kasih puan,” Rania menghargai keramahan Puan Ameenah Atan.

Sejurus cikgu bersuara nyaring itu berlalu, Halim menghubunginya. Riang suara Halim pagi itu seperti juga pagi-pagi lain. Dia bertanya tentang situasi sekolah baru pada Rania dan galak pula bercerita tentang perkembangan kesihatannya.

“Sekejap lagi Kak Ros nak bawa aku berurut lagi, nak kuatkan lagi kaki aku.”
“Kau rasa macam mana?” tanya Rania.

“Aku rasa makin bertenaga. Tak pergi pun tak apa. Tapi Kak Ros tu, kau tahulah...”

“Dia sayangkan kau Lim,” kata Rania yang sudah mula bergerak menghala ke tangga di belah utara, menuju ke arah kantin sekolah. Termakan juga dia akan kata-kata Puan Ameenah Atan supaya berkenal-kenalan dengan cikgu sekolah tersebut.

“Petang nanti jadi tak kita jumpa di KL?”

“Kalau tak ada apa-apa di sekolah ni, jadilah. Nanti aku confirm,” jelas Rania. Matanya memerhati situasi di kantin. Ada beberapa orang pekerja sedang menyiapkan makanan murid-murid.

“Kita kena beli barang-barang kan Ren?” tanya Halim macam orang bodoh.

“Memanglah.”

“Kau kena ikut sekali,” tekan Halim.

“Ya. Aku ikut.”

“Jaga diri ya sayang. Bye,” pertama kali Halim memanggilnya sayang. Rania terkedu. Dalam terkedu itu, tiba-tiba telefon bimbitnya pula disambar seseorang. Rania cemas menyaksikan alat komunikasinya yang sedang dibelek-belek oleh seorang murid lelaki bertubuh kurus tinggi.

“Saya tengok sekejap. Brand apa, ada brand ke telefon ni?” murid itu terus mengomel sendirian.

Rania berasa pelik. Hendak diambil balik telefon bimbitnya tapi terasa bimbang pula. Samseng ke budak ini? Hati kecil Rania bertanya sendiri.

“Ada brand?” soal budak lelaki itu lagi tatkala dilihat Rania hanya terkebil-kebil memerhatikan gelagatnya.

“Er, cikgu ke?” soalnya seperti lagak Yang Berhormat.

Rania angguk.

“Khusairi, pulang balik telefon cikgu,” suara seseorang yang memberikan arahan menyebabkan Rania menoleh. Seorang lelaki berpakaian lengkap menghampiri mereka berdua.

“Nak tengok brand sekejap cikgu.”

“Pulang balik cikgu tu punya,” pujuk guru lelaki itu lembut.

“Nama saya Khusairi,” dia memperkenalkan diri sambil menghulurkan semula telefon bimbit kepada Rania.

“Oh! Terima kasih Khusairi,” Rania segera memasukkan telefon bimbitnya dalam beg tangan.

“Sama-sama. Siapa nama?” soal Khusairi lagak pegawai penyiasat pula. “Nak minum? Saya belanja,” katanya sambil dikeluarkan dompet dan menayang beberapa helai wang kertas seringgit.

“Maaf cikgu, murid khas,” bisik guru lelaki sewaktu Khusairi menegur teman-teman seangkatannya yang baru sampai di kantin, diiringi sekumpulan guru-guru Pendidikan Khas.

“Cikgu ni cantik. Nanti saya belanja minum,” puji Khusairi dengan senyum seakan mahu menggoda. Hendak tergelak guru lelaki itu melihat aksinya.

Rania angguk. Mengertilah dia bahawa sekolah yang baru dijejaki itu bukan sahaja menempatkan pelajar 1 Malaysia bahkan juga murid-murid daripada kategori Pendidikan Khas. Patutlah ayah kata sekolah ini sekolah istimewa. Fikir Rania seraya melayangkan pandangan pada kelompok murid-murid khas yang sedang menikmati makanan. Di setiap meja, ada guru khas yang akan memantau segala pergerakan dan tingkah laku mereka. Bermacam-macam ragam yang dapat disaksikan. Ada lebih lima orang murid sindrom down yang wajah mereka sangat mirip. Seorang yang bertubuh gempal dan berkulit putih baru selesai makan. Dia bangun terkocoh-kocoh, Rania perasan dia asyik memerhatikan dirinya. Murid itu menghampirinya lalu duduk di sisinya. Seorang guru Pendidikan Khas mengekori langkahnya.

Pipi Rania disentuh murid gempal tersebut. “Licin, putih,” pujinya. Guru yang mengekorinya tersenyum pada Rania.

“Cikgu baru?” tanyanya pada Rania.

Rania angguk. Mereka saling berkenalan.

“Fatin, ini cikgu,” jelas Cikgu Farah pada murid khas bernama Fatin Hana. Dalam senyum-senyum malunya sekali lagi pipi Rania diusapnya.

“Cikgu cantik,” ujarnya lagi.

“Dia suka cikgu,” ujar Cikgu Farah.

Rania membiarkan Fatin Hana mengusap wajahnya.

“Orang baru, dia excited,” terang Cikgu Farah.

Melalui perbualan singkat dengan Cikgu Farah, sikit sebanyak tentang program Pendidikan Khas bagi murid-murid istimewa di sekolah tersebut diketahui Rania. Sayu rasa hati Rania melihat wajah comel yang sedang merenungnya. Rania menatapnya balik. Matanya, hidungnya, mulutnya! Datang seorang lagi murid sindrom down. Wajahnya tidak jauh beza dengan wajah Fatin Hana.

Tuhan, hebatnya kekuasaanMu! Kau cipta wajah-wajah yang serupa. Kau cipta insan-insan istimewa sebegini, menyedarkan aku tentang hakikat kehidupan.

Suara guru-guru mengarahkan murid-murid berkumpul semula untuk balik ke kelas kedengaran. Rania memerhatikan mereka bergerak serentak.

“Nanti cikgu belanja saya makan tau,” suara Khusairi mengejutkannya. Rania tertawa sendiri.

“Tadi kata nak belanja cikgu,” usik Rania.

“Duit dah habis,” ditunjukkan dompetnya yang sudah tidak berisi. Gelihati Rania melihat telatah mereka.

Betul kata ayah. Sekolah ini istimewa! Detiknya sendiri.

Tentang murid-murid Khas di sekolah itu termasuk dalam senarai hal yang diperihalkan oleh Pengetua SMK Jaya Perdana kepada Rania.

“Keseluruhannya kita ada seribu seratus orang murid. Lima puluh lapan orang terdiri daripada murid Pendidikan Khas. Kalau cikgu nak tengok aktiviti mereka, cikgu pergi ke bangunan D. Ada mereka di situ,” terang Puan Hajjah Jalilah Jamal. Selain itu, Rania turut dimaklumkan tentang latar belakang kebanyakan murid tersebut.

“Rata-rata daripada golongan sederhana. Emak pak depa ni tak sekolah tinggi. Kerja di kilang dan berniaga kecil-kecil, jadi cikgu kena pandai-pandailah main peranan,” ujar Puan Jalilah yang ada kalanya tersasul menggunakan loghat Kedah.

“Insya-Allah puan,” janji Rania penuh semangat. Hari pertama, dia belum diberikan jadual tetap tapi dia mulai mengenali para pelajar apabila masuk sebagai guru ganti.

“Cikgu baru ya....oooo adik manis,” seorang pelajar lelaki berketurunan India mengusiknya apabila dia masuk ke kelas Tingkatan 3 Harapan.

“Sudah kahwin belum cikgu,” sampuk pula murid yang bernama Mustafa.

Mereka menjerit-jerit mahu bertanya lagi sehingga Rania terpaksa menenangkan suasana.

“Kalau nak tanya, jangan menjerit-jerit macam tu,” nasihat Rania.
“Saya angkat tangan dulu cikgu.”

Entah mengapa, Rania berasa gelihati melihat tingkah laku pelajar yang masih dalam mandala peralihan dalam kematangannya. Sukar juga untuknya mengawal situasi hingar bingar seperti di pasar borong. Namun menerusi pendekatan psikologi, murid-murid itu dapat dikawal akhirnya.

Hari pertama yang agak mencabar dan memenatkan! Detiknya dalam perjalanan pulang. Sampai di rumah, diceritakan pada ibu tentang sekolah baru.

“Tak penat nak keluar lagi dengan Kak Ros dan Halim?” tanya Puan Sri Zalia memotong ceritanya.

“Taklah.”

“Nak beli barang apa?” tanya Puan Sri Zalia.

“Tengoklah apa barang yang jumpa.”

“Yang beli dengan Qayyum tu tak boleh pakai?”

“Ren dah simpan dalam kotak,” sahut Rania dan begegas keluar menuju ke kereta Ros Ilyani dan Halim yang sedang menunggu.

“Kasihan Ummar Qayyum,” getus Puan Sri Zalia sewaktu melihat kereta dipandu Ros Ilyani meninggalkan kawasan rumah.

“Apa macam sekolah baru?” tanya Ros Ilyani.

“Seronok. Ren jumpa banyak perkara baru.”

“Apa yang baru?” tanya Halim pula.

“Banyak Lim. Aku rasa bahagia dan rasa sangat bersyukur pada Allah. Tak tengok dan tak jumpa sesuatu yang istimewa, kita takkan tahu betapa istimewanya kita!”
“Betul kata kau Ren, jumpa insan istimewa macam kau baru aku rasa istimewanya aku,” luah Halim.

Ros Ilyani memberi peluang pada mereka berdua bercerita. Sepanjang jalan sambil membeli mana-mana barang keperluan, mulut Rania becok bercerita. Banyak kedai di KLCC disinggah mereka. Sampai di sebuah kedai menempah kad ucapan, Halim mengajak Rania masuk.

“Belum hantar cincin lagi dah nak tengok kad,” ujar Rania.

“Apa salahnya, tengok saja, manalah tahu ada yang berkenan,” kata Ros Ilyani. Mendengar itu, Rania akur. Ada beberapa contoh kad undangan perkahwinan yang agak menarik dipilih mereka.

“Simpan saja, esok kalau terdesak, dah ada. Tinggal nak telefon saja,” kata Ros Ilyani sebaik keluar dari kedai tersebut.

“Dah banyak berjalan ni, kaki kau okey ke Lim?” tanya Rania penuh pengertian.
“Kaki aku sekarang dah makin kuat. Kau pun boleh aku angkat sekali,” usik Halim. Ros Ilyani berdehem. Rania buat-buat tidak dengar.

“Makan dululah, Kak Ros dah lapar,” ujar Ros Ilyani lalu terus menghala ke restoran Pizza Hut. Halim bersama Rania mengikut saja. Di sebelah sebuah meja kosong, Ros Ilyani tiba-tiba berhenti.

“Jalanlah Kak Ros,” Rania yang terkandas di belakang menolak perlahan tubuh Kak Ros.

“Ren, tu kan Ummar Qayyum?” suara Ros Ilyani bergetar. Berubah air muka Rania mendengar kata-kata Ros Ilyani. Matanya masih belum bertembung dengan insan yang disebut Ros Ilyani.

Berderau darah Rania sebaik sahaja melihat Ummar Qayyum bersama Murni. Hendak berundur sudah tidak boleh. Menggigil tubuhnya tatkala terpandangkan Ummar Qayyum memaut bahu Murni menghampiri mereka yang masih tercegat dek terkejut. Rania berasa seperti mahu tumbang. Debaran di dadanya semakin kencang sewaktu Ummar Qayyum sudah berdiri di sisinya. Ummar Qayyum menghulurkan tangan kepada Halim.

“Jumpa di sini ya!” Dengan wajah penuh pesona, Ummar Qayyum menegur sopan. Halim bangkit hormat, menyambut tangan Ummar Qayyum. Rania berasa seram-sejuk. Serba-salah usah dikira. Baru Rania sedar tinggi rendahnya langit.

“Dari mana?” tanya Murni. Wajahnya bersahaja.

Rania yang masih kebingungan tidak fokus pada apa yang berlaku. Macam mana boleh terserempak? Kecilnya dunia! Laut jiwa Rania terus bergelora. Menyedari keadaan Rania yang seperti tidak berpijak di bumi, Ros Ilyani segera menjawab soalan Murni. Sejujurnya Rania tidak mampu hendak mengadap muka Murni tapi banyak pula soalan Murni padanya.

“Dah sihat?” tanya Ummar Qayyum pada Halim. Dadanya gementar. Dia terkejut sebenarnya. Lelaki berkerusi roda yang dulunya sering ditemani Rania di tasik kini sudah segak dan sasa berdiri. Dia cuba mententeramkan hati nurani yang berasa gementar padahal tadi dia tenang sahaja.

“Alhamdulillah,” sahut Halim cuba bertenang juga tapi sukar sekali. Sempat dikerling Rania. Wajah gadis itu pucat tidak berdarah.

“Join kami?” Itu pula yang keluar dari mulut Halim. Rania menyumpah dalam hati.

“Boleh?” tanya Ummar Qayyum meminta kepastian seraya menjeling sekilas pada Rania. Dia tahu Rania tidak selesa melihat dia di situ.

“Apa salahnya,” Halim memintas mata Rania. Sedar dia akan kemelut yang sedang dirasai Rania. Murni pula duduk di sebelah Ros Ilyani. Mereka berbual ala kadar. Ummar Qayyum pula betul-betul mengadap wajah Rania sedang Halim duduk di kerusi hujung antara Ummar Qayyum dengan Rania. Kerana dia duduk di antara mereka berdua, dapat dilihat jelas riak dan air muka bekas pasangan kekasih itu.

“Apa khabar Rini?” tanya Ummar Qayyum lama kemudian.

Rini! Hati Rania bagai dipalu. Itu namanya yang dipanggil Ummar Qayyum masa kecil. Sebaknya menikam jantung.

“Okey,” sahut Rania perlahan. Matanya dijatuhkan pada pinggan kosong putih polos sedang di bawah meja, jarinya mencubit paha memaksa diri untuk bertenang. Tiba-tiba dia terkenang coretan ringkas Ummar Qayyum padanya.

‘Cuma, I rasa sedikit terkilan. Kenapa tak berterus terang pada I bahawa you sudah ada yang lain. Kalau dari dulu you tidak berahsia, tak banyak hati insan yang terluka. Dan, tak perlu I kecewakan hati seorang gadis desa semurni MURNI.
Qayyum’

Itu tuduhan melulu Qayyum terhadapnya. Dan perempuan berhati berduri bernama Murni itu ada di depan matanya kini. Bagaimana aku hendak berhadapan dengan situasi ini?

“Macam mana sekolah baru?” tanya Ummar Qayyum lagi. Dalam gulatan seribu rasa, Rania sekali lagi terkesima. Mana Qayyum tahu aku sudah berpindah sekolah? Halim juga nampak terkejut meskipun waktu itu dia sedang memesan menu.

“Biasa saja,” sahutnya bagai melepas batuk di tangga. Ummar Qayyum diam seketika. Dia mencuri pandang ke arah Rania.

Rania! Rintihnya dalam hati. Banyak persoalanku tidak berjawab. Kenapa Ren? Soalnya sendiri dan sekali lagi dikerlingnya Rania yang diam dan kelu.

Menyedari Halim yang sedang mengamati tingkah lakunya, dikawal lirik mata.

“Dah siap semua persediaan?” Ummar Qayyum memandang Rania dan Halim silih berganti. Gelisah bermukim semula di wajah Rania. Wajah Halim dipandang Rania.

“Dah banyak yang dah buat. Tadi kami tengok kad undangan,” jawab Halim ikhlas.

Rania mengeluh kecil. Halim tolonglah! Rintih Rania dalam hati.

Berubah air muka Ummar Qayyum. Menyesal pula mengajukan soalan bodoh yang akhirnya menjerat diri.

“I tumpang gembira untuk kalian berdua,” lirih suara Ummar Qayyum. Jujurkah kata-kataku itu? Atau sekadar tanam tebu di pinggir bibir?

“Jangan lupa jemput kami kak,” sampuk Murni tiba-tiba.

Rania berasa hendak muntah waktu itu juga. Wajah Murni tak dipandangnya tapi mulutnya berbunyi begini:

“Tak lupa. Murni dan Abang Qayyum akan jadi tetamu istimewa yang akan kami undang,” Rania tiba-tiba mendapat kekuatan.

“Bila majlisnya?” tanya Murni galak. Ummar Qayyum tak senang duduk.

Rania tidak mampu berpura-pura. Dadanya bergetar bagai melihat tsunami besar. Nafasnya tercungap-cungap. “Secepat mungkin. Kalau boleh esok, esok saya nak langsung.”

“Kak Ren okey ke?” Murni seperti mencabar.

Rania kumpul kekuatan. Aku tak bersalah. Kenapa aku gementar dan tidak keruan begini. Tuhan! Tolong aku. Apa sahaja ayat-ayat yang terlintas di kepala, dibaca Rania. Al-Fatihah, empat Qul semuanya bersatu dalam hati.

Pergilah Qayyum, pergilah, rintih Rania dalam hati. Seiring rintihannya, telefon bimbit Ummar Qayyum berdering. Ummar Qayyum meneliti nama pemanggil yang tertera di skrin. Kerut di mukanya ketara. Dia meminta diri seraya menyambut panggilan tersebut.

Murni galak bercerita sedang Ros Ilyani mendengar saja. Dari sisi, Rania mengintai kelibat Ummar Qayyum. Jelas kabut mewarnai wajah Ummar Qayyum.

Tanpa Rania sedari, kabut turut mewarnai air muka Halim.


Bersambung...

Artikel ini disiarkan pada : 2011/04/19
`