Isnin,24 November 2014

Nikmat mata memandang

Oleh Hartini Mohd Nawi

TIADA siapa yang menafikan keindahan semula jadi memberikan ketenangan dan terapi terbaik untuk kesempurnaan hidup seisi keluarga.

Suasana hijau yang terbentang di depan mata mengungkapkan persepsi tersendiri kepada penghuni dan tetamu yang bertandang.

Idea reka letak yang terancang memperlihatkan sebuah latar panorama indah disulam landskap lembut dan kejur.

Latar keunikan itulah mewarnai sebuah kediaman teres di Taman Melati, Kuala Lumpur hingga mencuri perhatian orang ramai.

Foto

SEMULA JADI...elemen air menzahirkan suasana yang anda inginkan.

Foto

REHAT SEKETIKA...bersantai di kerusi taman sambil melihat keindahan landskap dan mendengar desiran air.

Foto

SELARI...ruang santai berbumbung menghiasi taman.

Foto

PENUH SENI...binaan tiang yang dihiasi batuan semula jadi.

Foto

IDEA...susunan batu-batuan semula jadi ini berikan pandangan di luar kebiasaan.

Foto

KARAKTER TAMAN...pepohon hijau ditanam pada tempat khas.

Foto

MEMBUAI RASA...ruang yang luas membenarkan laluan mudah ke taman.


Pemiliknya, Faizah Omar, 56, dan suami Razak Abd Jalil, 56, mempunyai cerita tersendiri berkenaan pengubahsuaian kediaman mereka itu dari landskap hingga keseluruhan ruang dalaman.


Asalnya latar hijau yang menyerikan taman kediaman itu hanyalah landskap biasa ditanam beberapa pokok pilihan selain reka letak pasu dan kerusi hiasan ringkas.

Kolam mini air berpancuran yang berada di sudut tepi taman sudah lama dibina dan desiran airnya tetap menyuntik suasana tenang.

Namun, segala itu belum cukup untuk mewujudkan keindahan semula jadi yang Faizah dan keluarga inginkan.

Lantas, mereka sepakat mengubah pandangan biasa itu dengan menzahirkan idea unik selari bajet, keperluan dan cita rasa seisi keluarga.

Kerja-kerja pengubahsuaian taman itu dilakukan secara ­berperingkat hasil kombinasi idea pemilik rumah dan pakar landskap Melati Evergreen Enterprise.

“Kami inginkan suasana landskap hijau yang memberikan ketenangan sepanjang masa terbentang indah sebaik mata memandang.

“Bagaimanapun, ia bukan latar yang sarat hingga menyakitkan pandangan kerana suasana begini sudah cukup memberikan manfaat untuk kami nikmati,” katanya.

Memperincikan keunikan taman itu, ia sebenarnya bermula dari pengubahsuaian bahagian depan kediaman yang diberi wajah baru.

Rekaan moden kontemporari dan ringkas diketengahkan menerusi atap jenis ‘clay roofting tile glosy’ selain diserikan dengan papan berukiran.

Ayat suci ‘Bismillah’ dipahat di bahagian tengah berasaskan kayu cengal dan resak sebagai papan penyokong.

Tiang seri yang dibaluti batu-batuan rona semula jadi jenis ‘broken stone palimanan’ menambahkan rasa ingin tahu tetamu untuk melangkah ke ruang seterusnya.

Binaan beberapa anak tangga ‘tile woods series’ menuju terus ke taman menzahirkan perasaan berbeza kerana keindahan semula jadi itu benar-benar berada di depan mata.

Penghuni dari dalam rumah pula berpeluang melihat panorama landskap itu tanpa halangan sebaik pintu gelungsur dibuka.

“Asalnya ia menempatkan tingkap biasa dan sebaik diubah suai, kehadiran pintu gelungsur ini memberikan sudut pandangan berbeza ditambah dengan pengaliran udara semula jadi sempurna,” kata anak kelahiran Segamat, Johor itu.

Hasilnya suasana hijau bukan sekadar hamparan indah rumput permaidani tetapi juga beberapa tanaman terpilih yang disusun teliti.

Semestinya kolam mini air berpancuran sedia ada menghiburkan halwa telinga dan diberi wajah baru termasuk ruang pejalan kaki berasaskan batu-batuan ala semula jadi.

Sudut santai lengkap dengan set kerusi taman itu disempurnakan beberapa pepohon hijau aneka karakter di tepinya.

Penzahiran taman indah itu terus memperlihatkan landskap baru dengan bahagian pagar bersebelahan sudut santai dihiasi tanaman seperti tomatocacus, loropothilum, song of paradise, muraya, bunga kertas, pilantus dan cuphia.

“Sebaik landskap menarik ini siap hasil idea bersama Melati Evergreen Enterprise, kami sekeluarga tidak mampu mengungkap dengan kata-kata keunikannya.

“Ini kerana terjemahkan idea sesuai dengan pilihan konsep pastinya memberikan kepuasan serta makna tersendiri hingga mengubah keseluruhan pemandangan di kawasan kediaman kita,” katanya yang turut berkongsi idea dengan tiga cahaya matanya.

Bagi pakar landskapnya, kesinambungan landskap itu perlu dikekalkan kesuburan dan aspek penjagaan perlu diberi perhatian sewajarnya.

Kesibukan tugas juga tidak menghalang anda mencipta suasana terbaik di taman kerana asalkan ada kemahuan di situ ada jalan.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/09/30
`