Khamis,23 Oktober 2014

Nahas belon udara: 2 warga Brazil mati

Ankara: Sebuah belon udara panas berlanggar dengan sebuah lagi belon lain di udara di kawasan pembentukan batu gunung berapi di Turki dan terhempas ke bawah semalam, membunuh dua pelancong Brazil dan mencederakan 23 lagi yang berada di atasnya, kata pihak berkuasa.

Nahas itu berlaku di atas wilayah tengah Cappadocia apabila belon yang sedang naik berlanggar dengan bakul rotan belon lain yang berada di atasnya, menyebabkan fabrik belon terbabit koyak sebelum ia jatuh ke bawah.

Nahas itu yang kedua menyebabkan kematian di Cappadocia sejak ia mula beroperasi sedekad lalu - menimbulkan persoalan mengenai keselamatan belon udara dan agensi penerbangan awam Turki berkata, pihaknya telah melancarkan soal siasat terhadap nahas itu.

Berikutan pelancongan sedemikian menjadi bertambah popular, timbul soalan sama ada terlalu banyak belon yang dilancarkan pada masa yang sama di Cappadocia.


Pada 2009, seorang pelancong Britain terbunuh dan sembilan lagi cedera apabila dua belon turut berlanggar.


Penumpang yang berada di dalam belon yang terhempas kebanyakannya dari Brazil, Argentina dan Sepanyol, menurut gabenor wilayah Nevsehir, Abdurrahman Savas. Ramai yang patah tulang dan dirawat di hospital sekitar Nevsehir.

Seorang pelancong Kanada yang menetap di Amerika yang menyaksikan nahas itu dari belon lain berkata, kemalangan berlaku kira-kira 45 minit selepas sebanyak 100 belon berlepas pada kunjungan awal pagi.

“Kami mendengar perbualan di radio dan kami tahu sesuatu sudah berlaku. Terdapat transmisi kecemasan: “Lepaskan payung terjun kamu! Lepaskan payung terjun kamu!,” kata Ross yang belon dinaiki berada kira-kira 200 meter dari belon yang terhempas.

“Ia mungkin berada 300 meter di udara dan ia terjunam dengan laju ke bumi,” katanya dalam wawancara melalui telefon.

“Terdapat koyakan besar di fabrik belon itu, mungkin 10 hingga 15 meter panjang,” katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21
`